RM1 juta untuk IPTA latih siswazah di sektor strategik

Wednesday, October 21, 2009

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan kepada setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mahu memulakan program latihan kemahiran dalam sektor strategik kepada para siswazah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tawaran itu dibuka bermula sekarang dan setiap IPTA yang memohon perlu memastikan bidang terlibat akan menjamin nilai tambah dan tawaran pekerjaan kepada setiap siswazah.

"Melalui cara ini, IPTA tiada cara lain selain perlu menjalinkan hubungan rapat dengan pihak industri," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kementerian itu dan MIMOS Bhd. di sini hari ini.

MoU itu bagi melaksanakan Program Centre of Domain Expertise Accelaration in ICT (CODE 8) yang akan dikendalikan oleh MIMOS Bhd. dan disertai 50 siswazah bagi mempertingkatkan kemahiran dalam lapan subsektor berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi.

Pada majlis itu, Kementerian Pengajian Tinggi diwakili Ketua Setiausaha, Datuk Zulkefli A. Hassan manakala MIMOS Bhd. diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Wahad Abdullah.

Mohamed Khaled berkata, setiap IPTA yang berminat mendapatkan peruntukan daripada kementerian itu perlu mengemukakan kertas cadangan terutama mengenai sektor industri yang akan terlibat dalam program yang mahu diadakan.

"IPTA perlu memikirkan secara kreatif dan inovatif untuk menyediakan peluang latihan terutama dalam penyelidikan dan pembangunan industri bagi melatih dan memberi tambah nilai kepada siswazah," katanya.

Menurut beliau, tawaran tersebut adalah usaha berterusan kementerian untuk menambah nilai kebolehpasaran setiap siswazah yang bukan sahaja perlu menguasai ilmu di universiti tetapi juga kemahiran dalam sektor industri.

Terdahulu semasa berucap, beliau berkata, setiap siswazah yang mengikuti Program CODE 8 selama setahun itu akan dibayar elaun kira-kira RM2,000 untuk mengikuti latihan berkemahiran tinggi di dalam bidang ICT.

Katanya, kementerian turut menyediakan peruntukan sebanyak RM1.1 juta untuk melaksanakan program tersebut.

"Ini adalah satu contoh usahasama yang amat baik bagi memastikan siswazah mengikuti latihan kemahiran di peringkat industri. Secara kasarnya menjelang 2012, ia dijangka mampu menyumbang pada pasaran perniagaan yang bernilai RM200 bilion," ujarnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya