Seni kulit anak tempatan

Thursday, April 29, 2010

KUANTAN 28 April - Barangan yang diperbuat daripada kulit sentiasa mendapat tempat di hati penggemar produk itu kerana ia boleh membuat pemakainya nampak lebih bergaya.

 Ishak Isman turut memberi cadangan kepada pelanggan terutama dalam memilih kulit bersesuaian dengan tempahan.

Namun, ada di kalangan penggemar lebih suka membeli barangan kulit berjenama luar negara sedangkan anak tempatan mampu menghasilkannya tanpa mengorbankan kualiti malah harga yang ditawarkan juga lebih rendah.

Sebut sahaja barangan berasaskan kulit, sama ada tali pinggang, sarung tangan, kasut, beg duit, tas tangan, jaket dan seluar, semuanya ada di Kamfive Enterprise Leather Workshop yang terletak di Bazar Gambut di sini.

Bagi tuan punya premis terbabit, Khamsatun Dulliyah Abdullah, 25, oleh kerana minatnya yang mendalam terhadap seni kulit ini, dia memberanikan diri membuka perniagaan tersebut dengan titik peluhnya sendiri.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata yang lebih mesra dipanggil Tun itu, pelanggan boleh menempah barangan kulit berdasarkan cita rasa mereka sendiri atau membawa contoh barangan untuk ditiru.

''Di sini kami menerima tempahan barangan mengikut kehendak pelanggan itu sendiri, sekiranya tiada contoh barangan, kami akan memberi cadangan mengenai reka bentuk yang terbaik.

''Kita menghasilkan barangan yang ditempah berdasarkan bajet pelanggan itu sendiri dan jenis kulit yang diingini.

''Antara kulit haiwan yang menjadi pilihan ialah lembu, kambing, ular dan buaya," katanya yang telah tiga tahun mengusahakan perniagaan tersebut.

Lazimnya, sepasang kasut yang ditempah boleh disiapkan dalam tempoh dua hari sahaja dan ada yang sehingga seminggu lamanya bergantung kepada rekaan yang dikehendaki.

''Ini kerana kerja-kerja menjahit kulit adalah rumit mengikut reka bentuk yang dikehendaki dan jika tersalah jahit, ia terpaksa dibuka dan dijahit sekali lagi," tambahnya.

Ujar Khamsatun, harga yang ditawarkan ke atas barangan kulit itu adalah berpatutan iaitu sekitar RM280 dan ada yang mencecah sehingga RM1,500 bergantung kepada saiz dan jenisnya.

Khamsatun yang berkelulusan Diploma Rekabentuk dan Teknologi Kasut dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam amat bertuah kerana minatnya turut dikongsi bersama suami tercinta, Ishak Isman, 45, yang telah 26 tahun berkecimpung dalam bidang sama. Sebelum ini Ishak pernah bekerja di Kompleks Pertama, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Menceritakan pengalamannya, Khamsatun memberitahu, dia dan suami menjalankan perniagaan sedemikian di Kuala Lumpur.

Oleh kerana berlaku kegawatan ekonomi, dia dan suami mengambil keputusan untuk berpindah dan mencuba nasib di sini.

Dalam pada itu, Khamsatun turut berkongsi petua untuk menjaga barangan kulit supaya lebih tahan lama.

Menurutnya, pakaian kulit tidak boleh disimpan di dalam tempat tertutup atau dibalut dengan plastik kerana ia boleh menyebabkan kulat.

''Kasut kulit yang basah tidak boleh dipakai sehingga kering dan bagi mengelakkan ia mengembang, elakkan menjemur kasut di bawah sinaran matahari kerana ia akan mengeringkan minyak kulit," katanya.

Menurut Khamsatun, penjagaan barang kulit sebenarnya tidaklah rumit kerana ia hanya perlu dikilatkan dengan pengilat kasut khas supaya sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak berkulat.

Selain menjual barangan kulit, Khamsatun juga menawarkan perkhidmatan membaiki seluar jeans dan menjual cenderamata berasaskan kulit.

''Sekiranya tempahan yang diterima amat menggalakkan, kami mampu memperoleh keuntungan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan," ujarnya.

Ditanya mengenai pelanggannya, Khamsatun memberitahu, mereka yang datang ke premisnya terdiri daripada pelbagai lapisan dan kelas masyarakat tetapi semuanya peminat barangan kulit.

''Ada juga pelanggan yang datang luar dari negeri ini seperti Terengganu, Kelantan dan Johor. Mereka adalah pelanggan tetap saya," katanya.

Menurutnya lagi, sambutan dan sokongan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan sehingga perniagaannya mampu bertahan sehingga kini.

''Rata-rata pelanggan yang datang ke sini berpuas hati dengan hasil kerja kami.

''Setakat ini tiada lagi rungutan daripada mereka. Saya akan mendapat kepuasan jika mereka menghargai hasil kerja kita," ujarnya.

Khamsatun berharap industri kraf di negara ini akan terus berkembang kerana tidak ramai yang memilih untuk menceburi bidang ini terutama sekali golongan muda.

Tambahnya, dia bernasib baik kerana di bandar ini tidak ramai pesaing untuk menghasilkan barangan kulit.

Bagaimanapun ujarnya, dia sedia bersaing dengan mana-mana pengusaha bagi membolehkan pelanggan membuat perbandingan dari segi kualiti kerja yang dihasilkan.

''Dengan adanya pesaing, barulah boleh kita menilai hasil kerja kita sama ada ia terbaik atau sebaliknya," ujarnya. - Utusan

Bookmark and Share

1 comments:

Business said...

I've visited your blog and I liked a lot and I wish you success and become friends
My blog : Business 4 men
URL : http://business4men.blogspot.com/

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya