60 Pengusaha Tanaman Sayur Cameron Higlands Sertai Program Ladang Kontrak

Saturday, April 10, 2010

 Gambar hiasan

CAMERON HIGHLANDS, 10 April (Bernama) -- Enam puluh pengusaha tanaman sayur berskala kecil dan sederhana di Cameron Highlands kini menyertai program ladang kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang memberi jaminan pasaran bagi hasil tanaman peserta.

Penyertaan pengusaha tanaman sayur itu ke dalam program itu adalah hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di Cameron Highlands, sebuah pusat peranginan yang juga terkenal dengan kawasan pengeluaran tanaman seperti sayur-sayuran, teh, buah-buahan dan bunga-bungaan bermutu tinggi, hari Sabtu.

Timbalan Ketua Pengarah Fama Sahbani Saimin berkata peserta program itu akan didedahkan dengan kaedah pendaftaran ladang kontrak secara elektronik di mana mereka boleh mendaftarkan maklumat tentang ladang, jenis tanaman di samping mempromosikan hasil pertanian mereka secara online.

Fama juga, katanya, akan membantu pengusaha tanaman untuk meningkatkan lagi kualiti tanaman agar dapat meneroka pasaran yang lebih luas terutama di peringkat antarabangsa.

"Kita juga memberi keutamaan kepada tiga komoditi utama yang berpotensi untuk dieksport iaitu limau Cameron, tomato dan juga kubis kerana tanaman ini berpotensi untuk mendapat pasaran lebih luas," katanya selepas majlis menandatangani MoU itu.

Buat permulaan, katanya, hasil tanaman pengusaha sayur di Cameron Highlands itu akan dipasarkan ke Singapura sebelum diperluaskan ke pasaran antarabangsa berpotensi yang lain.

Beliau berkata program itu merupakan platform untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana dalam menjamin pengeluaran hasil pertanian mendapat pulangan yang setimpal.

Program ladang kontrak itu di mana Fama sebagai agensi peneraju dalam aspek pemasaran turut melibatkan agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) daripada segi pemindahan teknologi dan Jabatan Pertanian membabitkan amalan pertanian, katanya.

Sahbani berkata kementerian itu menetapkan sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk mencapai seramai 25,000 petani dengan keluasan 35,000 hektar kawasan tanaman menyertai program ladang kontrak itu menjelang akhir tahun ini.

Setakat ini lebih 80 peratus sasaran telah pun dicapai di mana 14,000 petani dengan kapasiti kawasan tanaman seluas 25,000 hektar berjaya didaftarkan. -- BERNAMA

1 comments:

Unknown said...

pembekal baja bio organik,sijil di iktiraf oleh (iso) syrikat bio organik plantation berhad, baja organik kompos hasil campuran lava gunung berapi,abu tandan bakar,hampas tandan yg di proses halus,tahi minyak grusher dari loji sawit,,,baja yang hangat di pasaran,hubungi pegawai permasaran 0124494491/0177710136

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya