FAMA bantu penanam kubis

Wednesday, April 21, 2010

Rakyat Malaysia secara purata mengunyah kira-kira 6,000 tan metrik sayur berdaun termasuk kubis sebulan.

Secara tidak langsung ia turut meningkatkan permintaan kubis dari tanah tinggi.

Cameron Highlands merupakan lokasi utama penanaman kubis yang terkenal di negara ini.

Permintaan dengan jumlah besar untuk sayur-sayuran ini kebanyakannya adalah daripada pembeli seperti pihak hotel, institusi pendidikan dan asrama.

Bagaimanapun, pekebun di Cameron Highlands yang kebanyakannya menanam benih hibrid yang diimport dari Jepun, Taiwan dan Korea di atas plot tanah 0.8 hektar yang disewa, hanya mampu menghasilkan antara 4,000 hingga 5,000 tan metrik sebulan.

Purata ladang di tanah tinggi mengeluarkan hasil antara 15 dan 20 tan metrik kubis seekar (0.44 hektar), yang mengambil masa antara 75 dan 90 hari untuk matang.

Walaupun keadaan cuaca sejuk di Cameron Highlands sesuai untuk ditanam kubis, petani masih perlu menabur sejumlah baja asli dan kimia agro serta racun serangga yang diimport untuk mengekalkan kualiti tanaman.

Ini bermakna kos pengeluaran untuk setiap kilogram ialah 65 sen, yang tertinggi jika dibandingkan dengan kos yang ditanggung oleh pekebun di Thailand, China dan malahan Belanda.

Menurut ahli jawatankuasa Persatuan Pekebun India Cameron Highlands, Nanthakumar Suprumani, walaupun hasil tanaman telah meningkat berikutan penggunaan benih hibrid, namun peningkatan kos pengeluaran terutama baja dan racun serangga menyebabkan jurang keuntungan kecil.

"Saya kini perlu menambah RM120 untuk botol baja yang sama, yang harganya cuma RM64 pada Disember 2009," kata Nanthakumar.

Nanthakumar, yang kebunnya terletak di kaki Gunung Brinchang, juga bingung dengan tindakan pengharaman penggunaan baja murah dari Thailand sedangkan kubis dari negara itu dibenarkan masuk ke negara ini.

"Sudah pasti pekebun Thai menggunakan baja yang sama untuk tanaman mereka!", tegas beliau.

Pekebun sayur di Cameron Highlands juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerja.

Untuk membolehkan pengguna memperoleh kuota harian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menubuhkan satu sistem maklumat pemasaran untuk memastikan kuota pengeluaran bulanan dan musim di samping mengawasi pertimbangan tawaran-permintaan.

Para pegawai FAMA pula bekerjasama dengan wakil-wakil dari Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands untuk mengendalikan kajian fizikal bulanan untuk menjamin tahap pengeluaran sayur-sayuran.

Berdasarkan maklum balas yang diterima, FAMA mengemukakan hasil kajian dan cadangannya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang kemudian akan mengeluarkan Permit Kelulusan (AP) untuk mengatasi jangkaan kekurangan bekalan dengan mengimport dari Thailand, Indonesia dan China.

"Paras pengeluaran bulanan di Cameron Highlands membentuk asas bagi memastikan jumlah yang akan diimport.

Pada masa sekarang, kira-kira 3,000 tan metrik dibawa masuk setiap bulan," kata Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz baru- baru ini.

Tetapi jika data digunakan tidak tepat ia boleh menjejaskan perancangan yang dibuat.

Input yang tidak tepat daripada pekebun boleh membawa kepada pengimportan yang berlebihan dan harga akan jatuh menjunam hasil daripada lambakan.

Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila pengimport tidak mengisytiharkan kargo yang akan masuk ke pelabuhan selain penyeludupan.

Maklumat menerusi khabar-khabar angin menyebut faktor berkenaan sebagai penyebab kemerosotan harga, hingga mencecah serendah 40 sen sekilogram pada Oktober tahun lalu.

Kebiasaan dalam sebarang pengambilalihan perdagangan, harga bagi setiap barang akan meningkat apabila ia berubah tangan.

Khidmat orang tengah

Dalam perniagaan kubis, harga margin antara pekebun dan orang tengah adalah antara 100 dan 200 peratus.

Ditambah lagi dengan 100 hingga 150 peratus antara orang tengah dengan pemborong; selanjutnya antara 100 dan -200 peratus antara pekedai dan pengguna; dan ketika pembeli mengambil kubis dari rak jualan, harga adalah tiga hingga empat kali ganda berbanding di pintu pekebun.

Faktor seperti sambutan perayaan utama, kawalan harga, harga import yang murah, permintaan daripada pembeli berinstitusi, dan pemilihan cara pengagihan turut mempengaruhi harga.

Kubis Cameron Highlands diedarkan secara terus, kontrak dan pemasaran konsainan.

Memandangkan ramai pekebun kekurangan logistik untuk menghantar hasil mereka terus kepada pengguna, mereka mendapatkan khidmat orang tengah.

Dalam pemasaran konsainan, pekebun akan hanya mengetahui harga di pintu kebunnya selepas pihak konsainan menjual hasil berkenaan di pasar borong Selayang.

Bagaimanapun, tidak semua 120 pemborong yang memberi khidmat kepada pekebun Cameron Highlands mempunyai perasaan memihak kepada kepentingan pelanggannya.

Kurangnya ketelusan telah menghalang pekebun daripada mengesahkan sama ada harga yang mereka peroleh itu memuaskan.

Sebagai pengeluar yang malang dengan tidak mempunyai peranan dalam membuat keputusan harga, penanam kubis sering mengeluh bahawa hasil titik peluh mereka sering dikaut oleh orang tengah.

Harga yang adil 

"Kami bergantung kepada belas kasihan pemborong," kata Nanthakumar.

Bersetuju dengan kenyataan itu, usahawan tani Syed Abdul Rahman yang mengendalikan Taman Agro Al-Mashoor di Tanah Rata menggesa pihak berkuasa agar mengawasi aktiviti pemborong bagi memastikan harga mereka adalah sesuai dan adil.

Apabila pekebun yang naik marah mengugut untuk melambakkan stok mereka di premis FAMA di Cameron Highlands pada Oktober lepas, FAMA meredakannya dengan menawarkan pembelian kira-kira 500 tan metrik kubis berharga RM350,000 yang kemudian diagih-agihkan ke pasar raya di seluruh Lembah Klang.

Hampir semalaman selepas itu, harga runcit kubis naik kepada RM1.30 hingga RM1.40 sekilogram.
Ia naik lagi kepada RM3.50 sekilogram apabila kuota AP pada Disember dikurangkan sebanyak 65 peratus, atas cadangan FAMA.

Menerusi FAMA, penanam kubis Cameron Highlands mengetahui bahawa mereka mendapat harga yang adil atas usaha mereka dan seperti yang lain Nanthakumar kini menyalurkan hasil tanamannya kepada FAMA.

Berikutan kawasan tanah yang sememangnya terhad di Cameron Highlands, hasil pengeluaran kubis sudah semestinya tidak akan dapat meningkat melainkan pekebun menggunakan cara berteknologi tinggi dalam penanaman seperti sistem fertigasi atau hidroponik.

Bagaimanapun, cara sedemikian memerlukan modal permulaan yang banyak. walaupun mereka berkemampuan berbuat demikian, ramai tidak akan melakukannya memandangkan tanah yang mereka gunakan untuk berkebun itu adalah disewa untuk tempoh sementara di samping menghadapi masalah mendapatkan pekerja.

Menurut Setiausaha Persatuan Penanam Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Chay Ee Mong, bercucuk tanam di kawasan tanah tinggi memerlukan tenaga kerja yang ramai tetapi pekebun tidak mendapat jumlah yang mencukupi.

Oleh demikian, AP tidak akan dihapuskan dalam masa terdekat ini.

"FAMA akan terus berhati-hati dengan melakukan pengawasan dan penguatkuasaan, bagi mengelakkan sebarang aktiviti menyorok dalam proses pemasaran, yang akan menyebabkan harga naik.

"Kami akan memastikan penanam sayur Cameron Highlands mendapat pulangan berpatutan atas usaha mereka," kata Mohamed Shariff.

Bagaimanapun, pekebun juga perlu memainkan peranan masing-masing. Selagi mereka mengisytiharkan jumlah pengeluaran yang sebenar, masalah lebihan dalam pasaran tidak akan berlaku. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya