Program Tunas Mekar Lahirkan Usahawan Jutawan

Wednesday, December 29, 2010

Program Tunas Mekar yang diperkenalkan sejak 2005 berjaya melahirkan siswazah usahawan yang mampu menjana pendapatan lebih RM1.2 juta setahun.
 
Pengarah Institut Tunas Mekar Tun Abdullah Badawi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya, Sodri Ariffin berkata, salah seorang siswazah terlibat kini berjaya mengusahakan restoran dan katering di Terengganu.

"Dia memulakan perniagaan tersebut sejak tiga tahun lalu selepas berjaya menamatkan kursus Program Tunas Mekar.

''Malah pada tiga bulan pertama memulakan perniagaan tersebut, dia berjaya meraih pendapatan bersih sebanyak RM300,000," katanya.

Beliau berkata, siswazah Diploma Tekstil UiTM itu adalah antara mereka yang mengikuti program berkenaan dan berjaya membuka perniagaan dalam bidang yang diminati.

"Selain siswazah tersebut kita juga berjaya melahirkan kira-kira 14 graduan usahawan yang berpendapatan lebih RM10,000 sebulan malah mereka yang mengusahakan restoran ataupun kedai runcit kini mampu membuka lebih dua cawangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Tunas Mekar Perlis yang dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Khairi Hassan dan Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat UiTM, Prof. Dr. Mohamad Kamal Harun, di sini, hari ini.

Program Tunas Mekar diilhamkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut Sodri, siri pertama dilaksanakan pada 2005 dan sehingga kini seramai 500 siswazah telah mengikuti program tersebut manakala 300 daripadanya telah berjaya mengusahakan perniagaan sendiri.

Beliau berkata, program itu terbuka kepada semua siswazah yang berminat dalam bidang keusahawanan dengan menjalani tempoh kursus selama setahun bersama pihak pengusaha.

"Sepanjang tempoh tersebut, para siswazah dibayar elaun sebanyak RM800 sebulan dan belajar selok-belok mengusahakan perniagaan yang diminati," ujarnya.

Sodri berkata, sejak program itu diperkenalkan, jumlah siswazah lelaki yang menyertainya melebihi 60 peratus namun trend itu kini berubah apabila penyertaan siswazah wanita kini menyamai bilangan lelaki.

"Kebanyakan golongan wanita berminat untuk mengusahakan perniagaan bakeri, salon dan spa serta restoran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Program Tunas Mekar di Perlis merupakan yang pertama kali diadakan melalui siri kedua dengan 18 siswazah berjaya menamatkan program itu. - UTUSAN

1 comments:

LaH said...

salam nk tyer mcmmaner nk sertai programnie kalu dh jdik x student uitm.....brminat la... n taw x mcmmane nk sewa gerai kecik2 dlm uitm...?

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya