KADA Terus Bantu Petani Miskin Menerusi Pelbagai Projek

Saturday, December 25, 2010

Petani miskin di kawasan operasi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terus mendapat pembelaan Kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai program ekonomi dan keusahawanan menerusi pelaksanaan agenda membasmi kemiskinan tegar.
 
Anggota Lembaga Pengarah KADA, Datuk Dr. Ilias Hussin berkata, bermula September lepas peruntukan sebanyak RM4 juta diluluskan bagi membangunkan projek ekonomi berasaskan industri kecil dan sederhana di empat jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Ketereh dan Bachok.

Menurutnya, matlamat utama ialah melahirkan 100 usahawan pertanian yang berdaya maju dan mampu berdikari bagi setiap kawasan yang dipilih dengan melaksanakan tiga tanaman iaitu cendawan, cili fertigasi dan itik telur.

"Usaha yang dijalankan ini membolehkan mereka (petani) memperoleh hasil pendapatan di antara RM750 sehingga RM1,000 sebulan untuk melepasi garis pendapatan miskin tegar," katanya selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah di Sekolah Kebangsaan Keting dekat sini hari ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meluluskan peruntukan lebih RM273,000 untuk membekalkan beg dan pakaian seragam sekolah kepada 1,826 pelajar sekolah rendah dan menengah di jajahan ini.

Hari ini, 670 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol, SMK Seri Gunung, SMK Jelawat, SMK Kubang Telaga, Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, SK Kuchelong, SK Kubang Telaga, SK Bakong, SK Alor Bakat, SK Telaga Ara dan SK Keting menerima bantuan berkenaan.

Ilias yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok berkata, sebelum ini kebanyakan petani KADA yang dipilih menyertai program berkenaan hanya berpendapatan di antara RM300 hingga RM500 sebulan.

Katanya, projek menanam cendawan di daerah itu diberi fokus utama kerana hasil tanaman itu dibeli dalam kuantiti yang banyak oleh Koperasi Bela Rakyat DUN Jelawat untuk dipasarkan ke beberapa pasar raya besar di ibu negara, Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata, koperasi itu memerlukan sebanyak lapan tan metrik cendawan sehari bernilai RM8,000 yang turut dilanggan secara tetap oleh 100 pemborong bagi pasaran dalam negeri.

Selain itu jelasnya, seramai 24 petani KADA di daerah ini turut terpilih sebagai peserta Program Satu Azam Akhiri Zaman Kemiskinan yang mendapat peruntukan sebanyak RM10,000 setiap orang untuk melaksanakan projek pemprosesan makanan berasaskan hasil pertanian dan perniagaan yang berkaitan dengan industri asas tani. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya