Projek Kambing Boer RM50 Juta Dimajukan

Saturday, December 25, 2010

Kerajaan yakin projek ladang kambing boer nasional yang sedang dimajukan di Pondok Tanjung dekat sini akan menjadi pemangkin terhadap keperluan makanan negara.
 
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, projek bernilai RM50 juta itu yang melibatkan kawasan seluas 770 hektar, mampu membekalkan bekalan daging dan baka kambing boer terbaik.

S. K. Devamany (dua dari kanan) memberi makanan kepada kambing boer di Pondok Tanjung, Taiping, semalam.

Menurutnya, projek itu dilaksanakan secara ladang kontrak melibatkan Syarikat SBBC Corporation Sdn. Bhd., Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPV) dalam usaha membekal dan memasarkan kambing boer untuk keperluan dalam dan luar negara.

"Kawasan ini juga akan mempunyai kilang untuk makanan ternakan, memproses makanan berasaskan kambing, baja ternakan dan rumah sembelihan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang pengganda kambing boer di Pondok Tanjung dekat sini.

Projek itu bermula sejak 2008 dan kini mempunyai 1,500 ekor kambing boer baka tempatan dan Australia.
Devamany berkata, setakat ini sebanyak RM10 juta daripada peruntukan sejumlah RM20 juta telah disalurkan bagi projek tersebut untuk pembangunan infrastruktur asas ladang iaitu padang ragut dan jalan ladang manakala SBBC akan memperuntukkan RM24 juta bagi pembinaan 23 kandang kambing.

Menurut beliau, projek itu apabila siap sepenuhnya akan mempunyai kira-kira 9,000 ekor kambing boer.
Katanya, projek itu merupakan sebahagian daripada 29 projek bernilai RM468 juta yang dilaksanakan di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melibatkan Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Tambahnya, NCER memberi fokus pada lima sektor iaitu pertanian, pembuatan, pendidikan, pelancongan dan infrastruktur pertanian.

Selain itu, Devamany berkata, beberapa lagi projek ekonomi seperti pelancongan dan pendidikan sedang dilaksanakan di daerah ini, Kuala Kangsar dan Gerik. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya