Nilai perubatan 'zamrud' lembut

Friday, April 30, 2010

TERIK matahari yang memancar tengah hari itu langsung tidak melunturkan semangat sekumpulan pakar penyelidik dan penuntut institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara untuk meredah laut Pulau Besar, Melaka bagi mencari khazanah alam itu.

Masing-masing tekun meranduk dan sekali-sekala menyelam sambil tangan pantas mencapai khazanah dasar laut itu.

Selepas berjam-jam meranduk, mereka kembali ke darat membawa hasil tangkapan tetapi bukan ikan atau harta karun, sebaliknya rumpai laut.

Hakikatnya terdapat pelbagai rumpai laut yang beraneka warna dan bentuk dibawa pulang oleh peserta Persidangan Taksonomi Rumpair Laut Asia Tenggara anjuran Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), Universiti Malaya (UM) itu.

Rumpai laut itu kemudian dikenal pasti dan dijadikan sampel rujukan ilmiah untuk mengkaji potensinya.

Rumpai laut termasuk dalam kumpulan alga. Alga terdiri daripada mikroalga (fitoplankton) dan makroalga (rumpai laut).

Mikroalga boleh hidup di dalam air tawar dan masin, manakala rumpai laut hidup di dalam air laut sahaja.

Terdapat kira-kira 380 spesies rumpai laut di perairan Malaysia. Habitatnya ialah di pesisiran pantai, pantai berbatu, pantai berlumpur, bakau, terumbu karang dan pantai berpasir.

"Malaysia kaya dengan rumpai laut kerana kedudukannya yang terletak dalam lingkungan Lautan Pasifik dan Laut Merah.

RUMPAI laut mempunyai banyak khasiat dan pelbagai kegunaan.


"Ia merupakan salah satu kawasan megadiversiti di dunia yang mempunyai biodiversiti marin yang tinggi termasuk rumpai laut.

"Hampir 380 spesies rumpair laut yang terdiri daripada chlorophyta (rumpai laut hijau - 102 jenis), rhodophyta (rumpai laut merah - 185 jenis), phaeophyta (rumpai coklat - 72 jenis) dan cyanophyta (rumpai laut biru hijau - 32 jenis)," kata Pengarah IOES UM, Profesor Dr. Phang Siew Moi.

Pelbagai spesies yang bernilai tinggi belum dikomersialkan. Di Malaysia, hanya spesies Kappaphycus dan Eucheuma dikultur secara besar-besaran.

Siew Moi memberitahu, banyak kajian dan penyelidikan dijalankan bagi menentukan sebatian bioaktif daripada rumpai laut.

Setiap penemuan terbaru mengenai sebatian tersebut dikenal pasti dan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.

Kebanyakan sebatian bioaktif berfungsi sebagai antivirus dan antikanser, manakala yang lain boleh dibangunkan menjadi ubat tetapi ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya sebelum dapat direalisasikan.

Dalam perubatan tradisional, kebanyakan rumpai laut digunakan oleh penduduk di Asia.

Sebagai contoh, nelayan akan menggunakan serbuk Halimeda untuk dicampurkan dengan air sebelum diberikan kepada kanak-kanak bagi mencegah cacing.

"Carraguard merupakan satu microbiocide yang dibuat daripada karrageenan. Ia digunakan sebagai antiviral untuk melawan HIV dan berfungsi sebagai kontraseptif di Afrika.

"Halimeda discoidea, Laurencia, Bryopsis dan Sargassum pula bertindak menghalang pertumbuhan sel leukemia, sel barah payu dara dan HIV," ujarnya.

Rumpai laut juga katanya, boleh menjadi sumber bio bahan api. Selepas diesktrak untuk mendapatkan agar, bahan buangan biomas boleh diperam atau ditapaikan untuk menghasilkan metana, metanol atau etanol.

Ia juga boleh digunakan sebagai sumber tenaga alternatif bagi menampung permintaan sektor pengangkutan negara.

RAMPAI laut berpotensi menjadi sumber tenaga alternatif.


Katanya lagi, Gelidium amansii (rumpai merah) boleh diproses untuk mendapatkan agar yang kemudiannya dijual untuk digunakan dalam industri makanan atau ditapai bagi menghasilkan bioetanol.


"Selebihnya boleh digunakan untuk menghasilkan metana atau jika kualiti fibernya tinggi, ia boleh digunakan untuk membuat kertas berkualiti tinggi.

"Penghasilan kertas daripada rumpai laut telah dilakukan oleh syarikat Korea iaitu Pegasus International.

"Di Malaysia, kebanyakan karrageenan dihasilkan daripada Kappaphycus atau Eucheuma yang dieksport atau digunakan untuk memproses makanan haiwan dalam tin, jeli, penstabil makanan dalam minuman tenusu, aiskrim dan banyak lagi," jelasnya.

Siew Moi memberitahu, rumpai yang boleh dimakan sebagai ulam atau salad ialah Eucheuma, Solieria dan Caulerpa lentillifera. Ia banyak dijual di pasar Semporna, Sabah.

"Spesies rumpai perang iaitu Sargassum, Padina, Turbinaria pula digunakan dalam sup Cina yang berkhasiat untuk menyejukkan tubuh, menyingkirkan toksin dalam badan dan sumber iodin untuk mengelakkan penyakit goiter.

"Di sebalik pelbagai khasiatnya, rumpai laut turut menghadapi pelbagai ancaman seperti pencemaran air laut, kesesakan trafik marin dan pemanasan global yang boleh merencatkan pertumbuhan dan mengurangkan daya tahannya terhadap penyakit," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Bahagian Akuakultur Marin, Jabatan Perikanan Malaysia, Adibi Rahiman Md. Nor memberitahu industri rumpai laut di Malaysia kini tidaklah sehebat negara jiran, Indonesia dan Filipina yang lebih dahulu terlibat dalam industri tersebut.

Katanya, dalam industri rumpai laut, ada dua cabang utama iaitu huluan dan hiliran. Bagi industri huluan, pengkulturan rumpai laut di Malaysia hanya boleh dilakukan di kawasan Semporna, Lahad Datu dan Kunak di Sabah.

"Mereka yang terlibat dalam dalam industri huluan ini terdiri daripada orang kampung dan syarikat swasta. Hasil tuaian akan dikeringkan dan dijual untuk tujuan semi proses.

RUMPAI laut boleh dibangunkan menjadi ubat-ubatan.


"Di Malaysia, hanya ada dua kilang yang memproses semi refine karrageenan (SRC) yang terbahagi kepada dua iaitu gred makanan dan gred bukan makanan," ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua bahan tersebut kemudiannya dieksport ke Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom sebagai karageenan (RC) yang diproses.

Ia digunakan dalam industri pemprosesan daging, wain, bir, cuka, aiskrim, yogurt, sos, ubat gigi, losen, syampu dan kertas.

Negara-negara yang mempunyai teknologi pemprosesan SRC akan menjual produk akhir ke seluruh dunia termasuk Malaysia pada harga yang lebih tinggi.

"Industri rumpai laut di Malaysia sudah lama. Industri pengkulturan bermula sejak tahun 1970-an lagi dan kini negara kita merupakan pengeluar ketiga terbesar untuk sumber bahan mentah Kappaphycus dan Eucheuma selepas Indonesia dan Filipina.

"Menyedari bahawa industri rumpai laut mempunyai potensi yang besar, kerajaan telah membentuk Jawatankuasa Rumpair Laut Negara yang berperanan menilai projek-projek rumpai laut yang dijalankan sama ada di peringkat huluan atau hiliran melalui jawatankuasa teknikal," katanya.

Kini, Jabatan Perikanan sedang dalam usaha mengumpulkan pakar-pakar rujuk dalam bidang rumpai laut untuk membangunkan industri yang berpotensi tinggi ini.

Sehubungan itu, kerjasama antara pelbagai pihak seperti institusi pengajian tinggi (IPT), saintis dan agensi kerajaan sangat penting demi memajukan industri tersebut.

Buat masa ini, kawasan yang sesuai untuk menternak rumpai laut ialah Kunak, Lahad Datu dan Semporna di Sabah yang berkeluasan 7,535 hektar dan melibatkan 943 penternak.


RUMPAI laut yang mempunyai pelbagai warna dan bentuk.

"Bagi memastikan Malaysia mampu bergerak seiring dengan Indonesia dan Filipina, Jabatan Perikanan akan pertingkatkan program memperkenalkan variasi baru yang baik, cepat membesar dan dalam masa yang sama memperkenalkan sistem pengkulturan rumpai laut yang baik kepada petani supaya pengeluaran dapat ditingkatkan.

"Kita juga menggalakkan pelabur-pelabur swasta yang berminat untuk melabur dalam industri pemprosesan. Kita akan membantu mereka untuk memulakan projek tersebut," jelasnya.

Selain itu ada cadangan di bawah Jawatankuasa Rumpai Laut Negara untuk menubuhkan sebuah pusat penyelidikan di Semporna bagi menyalurkan maklumat kepada penternak atau pengusaha rumpai laut dan mewujudkan koperasi untuk kebaikan mereka. - Kosmo

Bookmark and Share

Seni kulit anak tempatan

Thursday, April 29, 2010

KUANTAN 28 April - Barangan yang diperbuat daripada kulit sentiasa mendapat tempat di hati penggemar produk itu kerana ia boleh membuat pemakainya nampak lebih bergaya.

 Ishak Isman turut memberi cadangan kepada pelanggan terutama dalam memilih kulit bersesuaian dengan tempahan.

Namun, ada di kalangan penggemar lebih suka membeli barangan kulit berjenama luar negara sedangkan anak tempatan mampu menghasilkannya tanpa mengorbankan kualiti malah harga yang ditawarkan juga lebih rendah.

Sebut sahaja barangan berasaskan kulit, sama ada tali pinggang, sarung tangan, kasut, beg duit, tas tangan, jaket dan seluar, semuanya ada di Kamfive Enterprise Leather Workshop yang terletak di Bazar Gambut di sini.

Bagi tuan punya premis terbabit, Khamsatun Dulliyah Abdullah, 25, oleh kerana minatnya yang mendalam terhadap seni kulit ini, dia memberanikan diri membuka perniagaan tersebut dengan titik peluhnya sendiri.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata yang lebih mesra dipanggil Tun itu, pelanggan boleh menempah barangan kulit berdasarkan cita rasa mereka sendiri atau membawa contoh barangan untuk ditiru.

''Di sini kami menerima tempahan barangan mengikut kehendak pelanggan itu sendiri, sekiranya tiada contoh barangan, kami akan memberi cadangan mengenai reka bentuk yang terbaik.

''Kita menghasilkan barangan yang ditempah berdasarkan bajet pelanggan itu sendiri dan jenis kulit yang diingini.

''Antara kulit haiwan yang menjadi pilihan ialah lembu, kambing, ular dan buaya," katanya yang telah tiga tahun mengusahakan perniagaan tersebut.

Lazimnya, sepasang kasut yang ditempah boleh disiapkan dalam tempoh dua hari sahaja dan ada yang sehingga seminggu lamanya bergantung kepada rekaan yang dikehendaki.

''Ini kerana kerja-kerja menjahit kulit adalah rumit mengikut reka bentuk yang dikehendaki dan jika tersalah jahit, ia terpaksa dibuka dan dijahit sekali lagi," tambahnya.

Ujar Khamsatun, harga yang ditawarkan ke atas barangan kulit itu adalah berpatutan iaitu sekitar RM280 dan ada yang mencecah sehingga RM1,500 bergantung kepada saiz dan jenisnya.

Khamsatun yang berkelulusan Diploma Rekabentuk dan Teknologi Kasut dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam amat bertuah kerana minatnya turut dikongsi bersama suami tercinta, Ishak Isman, 45, yang telah 26 tahun berkecimpung dalam bidang sama. Sebelum ini Ishak pernah bekerja di Kompleks Pertama, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Menceritakan pengalamannya, Khamsatun memberitahu, dia dan suami menjalankan perniagaan sedemikian di Kuala Lumpur.

Oleh kerana berlaku kegawatan ekonomi, dia dan suami mengambil keputusan untuk berpindah dan mencuba nasib di sini.

Dalam pada itu, Khamsatun turut berkongsi petua untuk menjaga barangan kulit supaya lebih tahan lama.

Menurutnya, pakaian kulit tidak boleh disimpan di dalam tempat tertutup atau dibalut dengan plastik kerana ia boleh menyebabkan kulat.

''Kasut kulit yang basah tidak boleh dipakai sehingga kering dan bagi mengelakkan ia mengembang, elakkan menjemur kasut di bawah sinaran matahari kerana ia akan mengeringkan minyak kulit," katanya.

Menurut Khamsatun, penjagaan barang kulit sebenarnya tidaklah rumit kerana ia hanya perlu dikilatkan dengan pengilat kasut khas supaya sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak berkulat.

Selain menjual barangan kulit, Khamsatun juga menawarkan perkhidmatan membaiki seluar jeans dan menjual cenderamata berasaskan kulit.

''Sekiranya tempahan yang diterima amat menggalakkan, kami mampu memperoleh keuntungan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan," ujarnya.

Ditanya mengenai pelanggannya, Khamsatun memberitahu, mereka yang datang ke premisnya terdiri daripada pelbagai lapisan dan kelas masyarakat tetapi semuanya peminat barangan kulit.

''Ada juga pelanggan yang datang luar dari negeri ini seperti Terengganu, Kelantan dan Johor. Mereka adalah pelanggan tetap saya," katanya.

Menurutnya lagi, sambutan dan sokongan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan sehingga perniagaannya mampu bertahan sehingga kini.

''Rata-rata pelanggan yang datang ke sini berpuas hati dengan hasil kerja kami.

''Setakat ini tiada lagi rungutan daripada mereka. Saya akan mendapat kepuasan jika mereka menghargai hasil kerja kita," ujarnya.

Khamsatun berharap industri kraf di negara ini akan terus berkembang kerana tidak ramai yang memilih untuk menceburi bidang ini terutama sekali golongan muda.

Tambahnya, dia bernasib baik kerana di bandar ini tidak ramai pesaing untuk menghasilkan barangan kulit.

Bagaimanapun ujarnya, dia sedia bersaing dengan mana-mana pengusaha bagi membolehkan pelanggan membuat perbandingan dari segi kualiti kerja yang dihasilkan.

''Dengan adanya pesaing, barulah boleh kita menilai hasil kerja kita sama ada ia terbaik atau sebaliknya," ujarnya. - Utusan

Bookmark and Share

Potensi rebung madu

Melentur buluh biarlah daripada rebung' adalah antara peribahasa yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu.

Adnan OSMAN: Rebung madu mempunyai keistimewaan tidak miang dan rasanya juga tidak pahit seperti rebung biasa. 

Ini menunjukkan betapa dekat dan prihatinnya masyarakat Melayu dengan alam sekitar seperti buluh dan rebung.

Buluh sememangnya mempunyai banyak kegunaan daripada landskap, bahan binaan rumah sehinggalah kepada perabot, sementara rebung pula enak dijadikan masakan gulai lemak cili padi.

Melihat kepada banyaknya kegunaan buluh dan rebung, Adnan Osman mula membawa pokok-pokok buluh dari China bagi perniagaan landskapnya.

Antara buluh yang dibawa masuk adalah buluh rebung madu yang mudah ditanam, sesuai untuk tanaman landskap serta rebungnya pula tidak miang seperti rebung biasa.

Mula membawa masuk buluh rebung madu pada tahun 2004, Adnan mengusahakannya di tanah seluas 100 hektar di Kedah.

"Saya memilih rebung madu kerana ia mudah diselenggarakan walaupun di tanah yang kering, berpasir mahupun lembap," katanya semasa ditemui di ladang rebung madunya di Projek Pertanian Moden Lanchang, Pahang.

Lawatan ke ladang rebung madu merupakan sebahagian daripada lawatan program Agrochallange Putrajaya-Pekan yang berlangsung baru-baru ini.

Pengurus Tunas Budi Sdn Bhd ini menyifatkan rebung madu yang ditanam amat istimewa kerana cepat membesar, tidak miang serta tidak pahit seperti rebung biasa.

"Buluhnya yang kecil, rumpunnya yang rapat serta tidak mempunyai miang menyebabkan ia sesuai ditanam di sekeliling rumah," katanya.

Ditanya mengenai pengendalian rebung madu, Adnan memberitahu, tidak sesukar mana kerana tanaman berkenaan tidak memerlukan air yang banyak.

"Malah pokok ini boleh hidup walaupun di kawasan yang ditambak dan kering mahu pun di tempat berpaya.

"Cuma apabila ditanam di kawasan yang agak basah, buluhnya akan tumbuh lebih besar," katanya yang memelihara itik sebagai produk sampingan ladangnya.

Jelas Adnan, tanaman buluh rebung madu hanya memerlukan kawasan yang tidak begitu besar kerana satu ekar boleh ditanam dengan 300 rumpun buluh.

Ini bermakna satu rumpun hanya memerlukan kawasan seluas 12 kaki x 12 kaki.

"Apa yang lebih menarik, jangka hayat buluh bukan hanya boleh mencapai sehingga beratus-ratus tahun tetapi mudah hidup dan boleh dituai dalam masa yang singkat," katanya.

Biasanya rebung akan membesar sebanyak enam inci sehari dan boleh dituai setiap dua hingga lima hari.

"Serumpun buluh biasanya boleh menghasilkan dua kilogram rebung sebulan dengan harga pasaran RM5 hingga RM7 sekilogram," katanya.

Adnan berkata, sehingga kini lebih 90 peratus rebung diimport terutamanya rebung kaleng.

"Buat masa ini tidak sampai 10 peratus rebung tempatan yang berada di pasaran tempatan dan bekalan tidak dapat menampung permintaan pelanggan," katanya.

Adnan yang sentiasa peka dengan aktiviti pemasaran telah mula mempelbagaikan industri hiliran bagi rebung madu.

Selain menjualnya secara segar untuk gulai, beliau juga memprosesnya dalam bentuk jeruk untuk dimakan sebagai kudapan.

"Jeruk rebung madu memang mendapat sambutan yang amat menggalakkan kerana rasanya yang lemak manis.

"Jeruk ini diproses tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet," katanya yang bercadang untuk mengkomersialkannya dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun bagi merealisasikan impiannya, Adnan perlukan bekalan rebung madu yang mencukupi.

Justeru bagi mengatasi masalah berkenaan, Tunas Budi Sdn Bhd telah mengadakan pusat jualan serta latihan bagi menanam rebung madu.

"Kami menyediakan pakej menanam rebung madu bermula dengan kaedah menanam, penjagaan, cara menuai sehingga memproses kepada sesiapa yang berminat.

"Kami juga memberikan pilihan sama ada mereka menjual rebung kepada kami atau memasarkannya sendiri," katanya.

Dengan ini, penanam tidak perlu terikat dengan syarikatnya bagi tujuan pemasaran dan mereka boleh membuat pilihan sendiri.

Berkonsepkan agro pelancongan, Adnan juga menyediakan kemudahan penginapan calet bagi peserta yang berminat mengikuti kursus tanaman rebung madu di ladangnya.

"Ini bagi membolehkan peserta merasai pengalaman bagaimana mengendalikan tanaman rebung madu secara hands-on," katanya.

Kursus dibahagikan kepada dua pakej iaitu pakej satu hanya meliputi tanaman dan tuaian dan kedua tanaman, tuaian dan pemprosesan jeruk.

Adnan berkata, selesai kursus peserta boleh membeli rumpun buluh untuk ditanam sendiri dengan harga yang berpatutan di ladangnya.

Pembaca yang ingin maklumat lanjut mengenai tanaman rebung madu boleh menghubungi Adnan di 016-4935395, 013-9180248 atau e-mel: nanbamboo@yahoo.com. - Utusan


Bookmark and Share

11,950 keluarga miskin tegar dipulihkan

Wednesday, April 28, 2010

KOTA KINABALU 27 April - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya mengeluarkan sebanyak 11,950 keluarga daripada kumpulan miskin tegar dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.


Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, melalui program pembasmian kemiskinan menyeluruh yang sedang dilaksanakan itu, seramai 32,693 lagi keluarga miskin tegar akan dapat dikeluarkan daripada status itu menjelang akhir tahun ini.

"Ketika Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) diwujudkan, kita ada 44,643 keluarga miskin di seluruh negara dan sekarang selepas empat bulan melaksanakan pelbagai program, jumlah itu telah menurun kepada 32,693 keluarga.

"Kita tidak ada pilihan lain dan akan pastikan sasaran mengeluarkan seramai 44,643 keluarga miskin tegar akan dicapai menjelang Disember tahun ini.

"Bagaimanapun kita perlukan kerjasama kerajaan negeri yang lebih mengetahui di mana mereka, siapa dan apa keperluan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas majlis taklimat NKRA kementeriannya kepada kerajaan Sabah di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman; menteri-menteri Kabinet negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Menurut Shahrizat, kementeriannya begitu komited membasmi kemiskinan dengan menumpukan NKRA kementerian itu kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Malah, katanya, pada masa ini, pihaknya telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1.16 bilion bagi melaksanakan pelbagai program membasmi kemiskinan di seluruh negara pada tahun ini.

Dalam pada itu, jelasnya, segala program yang dilaksanakan pihaknya adalah menyeluruh dan mengambil kira keperluan sesebuah negeri bagi memastikan keberkesanannya.

"Terpulang kepada kerajaan negeri untuk membuat cadangan tentang program yang sesuai kerana ada program yang sesuai dibuat di Sabah tidak sesuai di Kuala Lumpur dan sebaliknya.

"Kita akan kenal pasti ketua isi rumah dan sekiranya dia terlantar kita akan beri bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat tetapi pada masa sama, kita juga mencari ahli keluarganya bagi diletakkan di bawah program menjana pendapatan," katanya.

Sementara itu, Shahrizat berkata, kementeriannya mengenal pasti seramai 32,046 keluarga di Sabah yang akan dilibatkan dalam program membasmi kemiskinan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 15,293 keluarga dengan pendapatan bulanan RM540 ke bawah adalah miskin tegar manakala, 16,753 dikategorikan miskin dengan pendapatan RM960 ke bawah," ujarnya. - Utusan

Bookmark and Share

Cabaran usahawan mi

Saturday, April 24, 2010

JIKA diberi peluang menjengah ke kilang memproses mi dan kuetiau, anda pastinya akan teruja menyaksikan keunikan produk makanan itu disediakan.

Selama ini kita hanya melihat ia dijual di pasar secara mentah selain disediakan dalam bentuk yang telah di masak sama ada goreng atau berkuah.

 Norlaile Jalaludin mengira bekalan mi dan kuetiau sebelum di hantar kepada pemborong.

Baru-baru ini, sekumpulan wartawan dan jurugambar dari beberapa organisasi media tempatan telah dibawa oleh Agrobank melawat kilang memproses makanan itu di Kampung Bendang Panjang, Perak.

Bercerita dengan pemilik kilang, Norlaile Jalaludin, 40, dia amat bersyukur kerana akhirnya berjaya membangunkan syarikat perniagaan yang diberi nama Bendang Panjang Enterprise setelah melalui pelbagai cabaran.

Bermula sebagai peniaga mi dan kuetiau goreng di pasar malam sekitar Kuala Kangsar, Perak, idea untuk menghasilkan bahan mentah sendiri timbul pada tahun 2003.

''Ketika saya berniaga di pasar malam, ramai pelanggan yang bertanya tentang dari mana saya memperoleh sumber mi dan kuetiau.

''Ini kerana, mereka ingin mendapatkan kepastian supaya makanan yang dibeli datang dari sumber yang baik dan halal.

''Bermula dari situ, saya mencadangkan kepada suami untuk cuba memproses sendiri mi dan kuetiau mentah,'' jelas ibu kepada enam anak itu.

Nasib menyebelahi Norlaile apabila abang iparnya telah memperkenalkan dia dengan seorang pengusaha kuetiau dari Kelantan.

Bagi memenuhi hasratnya, dia tidak melepaskan peluang keemasan itu dengan berkunjung sendiri ke Kelantan dan berjumpa dengan pengusaha tersebut.

Selama seminggu, dia menuntut ilmu serta mempelajari teknik yang betul dalam proses membuat mi dan kuetiau.

Lanjutan daripada itu, dengan modal RM45,000 hasil duit simpanannya, Norlaile telah membeli lima mesin memproses mi untuk memulakan perusahaan.

Pada peringkat awal, dia hanya menyewa di tapak industri kecil dan sederhana (IKS) di Lubuk Merbau, Perak selama tiga tahun.

Menjelang tahun 2004, Norlaile telah membuat pinjaman daripada Mara sebanyak RM150,000 untuk membeli beberapa peralatan tambahan termasuk mesin memproses kuetiau.

Walaupun sibuk dengan perusahaan berkenaan, namun dia dan suami Sanit Kimi, 49 masih meneruskan perniagaan di pasar malam.

Ketika itu, dia memperoleh sumber mi sebanyak 300 kilogram (kg) dan kuetiau (300 kg) dari pengusaha di Pulau Pinang yang dihantar kepadanya setiap dua hari sekali.

Tidak semudah yang disangka, selama hampir dua tahun beroperasi , dia berhadapan kesukaran dalam proses pembuatan yang tidak menjadi di samping menanggung kos yang tinggi.

''Pada peringkat awal, saya gunakan tujuh guni tepung sehari bagi menyediakan mi dan kuetiau.

Bayangkan, lebih sebahagian daripadanya tidak boleh digunakan kerana adunan tidak menjadi.

''Keadaan itu memang memeritkan kerana tiada langsung untung ketika itu.

''Selain kos bahan mentah seperti tepung dan minyak, saya juga perlu menanggung kos bahan api diesel sebanyak RM250 sebulan untuk tujuan menghidupkan mesin pembakar,'' jelasnya yang ketika ini mempunyai 10 kakitangan untuk membantu proses di kilang.

Tahun demi tahun, dia semakin mahir dalam aktiviti tersebut dan hari ini, dianggarkan sebanyak 30 guni tepung bersamaan 1,500 kg diperlukan untuk membuat mee dan 1500 kg lagi untuk kuetiau.

Pada tahun 2005 pula, dia telah menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian untuk membina bangunan kilang dan stor simpanan di Kampung Bendang Panjang, Perak.

Tahun 2009 pula menyaksikan penerimaan pinjaman oleh pihak Agrobank bernilai RM50,000.

''Dana itu saya gunakan untuk membeli beberapa mesin tambahan seperti mesin pembungkus bagi melicinkan lagi operasi di kilang,'' katanya.

Melihat daripada sudut pasaran, produk mi dan kuetiau di bawah penjenamaan An-Nur itu kini diedarkan ke beberapa lokasi sekitar Perak.

Antaranya seperti Gopeng, Teluk Intan, Gerik, Bagan Serai, Ipoh, Taiping dan Kuala Kangsar.

''Selain dijual kepada pemborong, kami juga mengedarkan produk-produk ini ke pasar-pasar utama di sini.

''Kami turut menerima permintaan daripad a pemborong di Selangor. Di samping itu, kami juga berharap produk ini dapat dijual ke pasar raya besar suatu hari nanti,'' kata Norlaile.

Bagi tujuan penghantaran, syarikatnya mempunyai tiga orang pemandu supaya bekalan tiba tepat pada waktu yang dijanjikan.

Kesemua produk mi dan kuetiau di pek dalam bungkusan plastik dengan pilihan berat setengah kg, satu kg dan dua kg mengikut permintaan.

Berdasarkan harga pula, produk makanan itu dijual pada harga berbeza mengikut lokasi iaitu sekitar RM1 untuk setengah kg dan RM2 untuk satu kg.

Ketika ditanya mengenai cabaran lain yang dihadapinya, Norlaile memberitahu, dia perlu bersaing dengan beberapa pengusaha bukan bumiputera dari segi ruang pasaran dan juga harga.

Masalah lain yang dihadapi adalah seperti aktiviti penyelenggaraan mesin dan kelengkapan secara berkala.

''Jika mesin-mesin ini menghadapi masalah, kita terpaksa mencari jalan alternatif dengan mengambil bekalan daripada pengusaha lain bagi memenuhi permintaan sedia ada,'' jelasnya lagi.

Beliau yang menjadikan suami dan adik-beradik sebagai pendorong turut bercadang melengkapkan
kilangnya dengan mesin moden dan berteknologi tinggi seperti mesin pembungkus automatik pada masa depan.

Ia bertujuan meningkatkan pengeluaran produknya di samping memenuhi kualiti seperti yang diinginkan pengguna. - Utusan

Bookmark and Share

FAMA bantu penanam kubis

Wednesday, April 21, 2010

Rakyat Malaysia secara purata mengunyah kira-kira 6,000 tan metrik sayur berdaun termasuk kubis sebulan.

Secara tidak langsung ia turut meningkatkan permintaan kubis dari tanah tinggi.

Cameron Highlands merupakan lokasi utama penanaman kubis yang terkenal di negara ini.

Permintaan dengan jumlah besar untuk sayur-sayuran ini kebanyakannya adalah daripada pembeli seperti pihak hotel, institusi pendidikan dan asrama.

Bagaimanapun, pekebun di Cameron Highlands yang kebanyakannya menanam benih hibrid yang diimport dari Jepun, Taiwan dan Korea di atas plot tanah 0.8 hektar yang disewa, hanya mampu menghasilkan antara 4,000 hingga 5,000 tan metrik sebulan.

Purata ladang di tanah tinggi mengeluarkan hasil antara 15 dan 20 tan metrik kubis seekar (0.44 hektar), yang mengambil masa antara 75 dan 90 hari untuk matang.

Walaupun keadaan cuaca sejuk di Cameron Highlands sesuai untuk ditanam kubis, petani masih perlu menabur sejumlah baja asli dan kimia agro serta racun serangga yang diimport untuk mengekalkan kualiti tanaman.

Ini bermakna kos pengeluaran untuk setiap kilogram ialah 65 sen, yang tertinggi jika dibandingkan dengan kos yang ditanggung oleh pekebun di Thailand, China dan malahan Belanda.

Menurut ahli jawatankuasa Persatuan Pekebun India Cameron Highlands, Nanthakumar Suprumani, walaupun hasil tanaman telah meningkat berikutan penggunaan benih hibrid, namun peningkatan kos pengeluaran terutama baja dan racun serangga menyebabkan jurang keuntungan kecil.

"Saya kini perlu menambah RM120 untuk botol baja yang sama, yang harganya cuma RM64 pada Disember 2009," kata Nanthakumar.

Nanthakumar, yang kebunnya terletak di kaki Gunung Brinchang, juga bingung dengan tindakan pengharaman penggunaan baja murah dari Thailand sedangkan kubis dari negara itu dibenarkan masuk ke negara ini.

"Sudah pasti pekebun Thai menggunakan baja yang sama untuk tanaman mereka!", tegas beliau.

Pekebun sayur di Cameron Highlands juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerja.

Untuk membolehkan pengguna memperoleh kuota harian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menubuhkan satu sistem maklumat pemasaran untuk memastikan kuota pengeluaran bulanan dan musim di samping mengawasi pertimbangan tawaran-permintaan.

Para pegawai FAMA pula bekerjasama dengan wakil-wakil dari Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands untuk mengendalikan kajian fizikal bulanan untuk menjamin tahap pengeluaran sayur-sayuran.

Berdasarkan maklum balas yang diterima, FAMA mengemukakan hasil kajian dan cadangannya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang kemudian akan mengeluarkan Permit Kelulusan (AP) untuk mengatasi jangkaan kekurangan bekalan dengan mengimport dari Thailand, Indonesia dan China.

"Paras pengeluaran bulanan di Cameron Highlands membentuk asas bagi memastikan jumlah yang akan diimport.

Pada masa sekarang, kira-kira 3,000 tan metrik dibawa masuk setiap bulan," kata Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz baru- baru ini.

Tetapi jika data digunakan tidak tepat ia boleh menjejaskan perancangan yang dibuat.

Input yang tidak tepat daripada pekebun boleh membawa kepada pengimportan yang berlebihan dan harga akan jatuh menjunam hasil daripada lambakan.

Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila pengimport tidak mengisytiharkan kargo yang akan masuk ke pelabuhan selain penyeludupan.

Maklumat menerusi khabar-khabar angin menyebut faktor berkenaan sebagai penyebab kemerosotan harga, hingga mencecah serendah 40 sen sekilogram pada Oktober tahun lalu.

Kebiasaan dalam sebarang pengambilalihan perdagangan, harga bagi setiap barang akan meningkat apabila ia berubah tangan.

Khidmat orang tengah

Dalam perniagaan kubis, harga margin antara pekebun dan orang tengah adalah antara 100 dan 200 peratus.

Ditambah lagi dengan 100 hingga 150 peratus antara orang tengah dengan pemborong; selanjutnya antara 100 dan -200 peratus antara pekedai dan pengguna; dan ketika pembeli mengambil kubis dari rak jualan, harga adalah tiga hingga empat kali ganda berbanding di pintu pekebun.

Faktor seperti sambutan perayaan utama, kawalan harga, harga import yang murah, permintaan daripada pembeli berinstitusi, dan pemilihan cara pengagihan turut mempengaruhi harga.

Kubis Cameron Highlands diedarkan secara terus, kontrak dan pemasaran konsainan.

Memandangkan ramai pekebun kekurangan logistik untuk menghantar hasil mereka terus kepada pengguna, mereka mendapatkan khidmat orang tengah.

Dalam pemasaran konsainan, pekebun akan hanya mengetahui harga di pintu kebunnya selepas pihak konsainan menjual hasil berkenaan di pasar borong Selayang.

Bagaimanapun, tidak semua 120 pemborong yang memberi khidmat kepada pekebun Cameron Highlands mempunyai perasaan memihak kepada kepentingan pelanggannya.

Kurangnya ketelusan telah menghalang pekebun daripada mengesahkan sama ada harga yang mereka peroleh itu memuaskan.

Sebagai pengeluar yang malang dengan tidak mempunyai peranan dalam membuat keputusan harga, penanam kubis sering mengeluh bahawa hasil titik peluh mereka sering dikaut oleh orang tengah.

Harga yang adil 

"Kami bergantung kepada belas kasihan pemborong," kata Nanthakumar.

Bersetuju dengan kenyataan itu, usahawan tani Syed Abdul Rahman yang mengendalikan Taman Agro Al-Mashoor di Tanah Rata menggesa pihak berkuasa agar mengawasi aktiviti pemborong bagi memastikan harga mereka adalah sesuai dan adil.

Apabila pekebun yang naik marah mengugut untuk melambakkan stok mereka di premis FAMA di Cameron Highlands pada Oktober lepas, FAMA meredakannya dengan menawarkan pembelian kira-kira 500 tan metrik kubis berharga RM350,000 yang kemudian diagih-agihkan ke pasar raya di seluruh Lembah Klang.

Hampir semalaman selepas itu, harga runcit kubis naik kepada RM1.30 hingga RM1.40 sekilogram.
Ia naik lagi kepada RM3.50 sekilogram apabila kuota AP pada Disember dikurangkan sebanyak 65 peratus, atas cadangan FAMA.

Menerusi FAMA, penanam kubis Cameron Highlands mengetahui bahawa mereka mendapat harga yang adil atas usaha mereka dan seperti yang lain Nanthakumar kini menyalurkan hasil tanamannya kepada FAMA.

Berikutan kawasan tanah yang sememangnya terhad di Cameron Highlands, hasil pengeluaran kubis sudah semestinya tidak akan dapat meningkat melainkan pekebun menggunakan cara berteknologi tinggi dalam penanaman seperti sistem fertigasi atau hidroponik.

Bagaimanapun, cara sedemikian memerlukan modal permulaan yang banyak. walaupun mereka berkemampuan berbuat demikian, ramai tidak akan melakukannya memandangkan tanah yang mereka gunakan untuk berkebun itu adalah disewa untuk tempoh sementara di samping menghadapi masalah mendapatkan pekerja.

Menurut Setiausaha Persatuan Penanam Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Chay Ee Mong, bercucuk tanam di kawasan tanah tinggi memerlukan tenaga kerja yang ramai tetapi pekebun tidak mendapat jumlah yang mencukupi.

Oleh demikian, AP tidak akan dihapuskan dalam masa terdekat ini.

"FAMA akan terus berhati-hati dengan melakukan pengawasan dan penguatkuasaan, bagi mengelakkan sebarang aktiviti menyorok dalam proses pemasaran, yang akan menyebabkan harga naik.

"Kami akan memastikan penanam sayur Cameron Highlands mendapat pulangan berpatutan atas usaha mereka," kata Mohamed Shariff.

Bagaimanapun, pekebun juga perlu memainkan peranan masing-masing. Selagi mereka mengisytiharkan jumlah pengeluaran yang sebenar, masalah lebihan dalam pasaran tidak akan berlaku. - Utusan

Hasil benih kelah terbaik

Wednesday, April 14, 2010

IKAN kelah bukan sahaja terkenal kerana keenakan rasa dagingnya yang mempunyai tekstur yang halus malah ia sangat kuat melawan sekiranya terkena mata pancing.

Justeru, kombinasi semangat juangnya yang tinggi apabila terkena mata kail serta isinya yang sedap menjadikannya buruan kaki pancing dan peminat ikan air tawar.

Akibat tekanan penangkapan yang melampau dan permintaan yang tinggi di pasaran ia kini diancam kepupusan.

Dikenali sebagai 'King of the River', kelah merupakan ikan yang hanya dijumpai di Asia seperti di India, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Terdapat lebih daripada 19 spesies kelah yang terdapat di dunia dan di Malaysia hanya terdapat tiga spesies.

Kebanyakan ikan kelah yang dijumpai di Malaysia ialah kelah merah.

Menurut Ketua Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Jabatan Perikanan Pahang, Muhamad Hatta Mahmud, habitat semula jadi ikan kelah adalah di hulu sungai yang lebih 500 meter dari paras laut.

''Secara logiknya, ikan kelah adalah ikan yang lasak dan lincah berenang kerana ia hidup di celah-celah batu yang mempunyai air yang laju.

''Ikan kelah ini boleh membesar sehingga lebih daripada 50 kilogram (kg) dan dikenali kerana memiliki bibir dan mulut yang besar," katanya ketika ditemui pemberita di pusat tersebut.

Selain itu, ikan kelah mempunyai garisan lateral (tengah) yang jelas dilihat di tengah-tengah bahagian badan dan juga mempunyai sisik yang besar dan cantik.

Jumlah sisik di bahagian garisan lateral (tengah) ikan dewasa kebiasaannya adalah antara 20 hingga 30 keping.

Ikan kelah juga mempunyai beberapa sirip seperti pektoral, pelvik, dorsal, anal dan sirip kaudal (ekor).

Perbezaan ikan kelah dengan ikan lain ialah ia mempunyai lebihan daging di bawah dagunya.

Ikan kelah betina bertelur sepanjang tahun dan mengeluarkan telur pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di sekitar kawasan sungai.

Kebiasaannya ia akan mengeluarkan telur secara sedikit-sedikit mengikut kematangan telur berbanding dengan ikan lain yang mengeluarkan telur secara sekali gus.

Ujar Mohamad Hatta, induk kelah yang diperoleh kini merupakan generasi kedua (F2) selepas kejayaan pertama pembenihan ikan tersebut.

Selain menghasilkan benih kelah PPA Perlok ini juga turut menghasilkan benih ikan lampam sungai, baung, keli dan patin.

PPA Perlok turut menerima tempahan daripada orang perseorangan mahu pun mana-mana syarikat untuk melakukan proses pembenihan ikan menurut permintaan.

Diwujudkan sejak tahun 1998, PPA Perlok secara rasminya dibuka pada tahun 2000 dan berkeluasan 110 ekar.

Kelebihan

Apa yang menjadi kelebihan kawasan PPA Perlok ini adalah kerana mudah untuk mendapatkan punca air semulajadi yang bersih.

Sehingga kini, PPA Perlok telah menghasilkan ribuan anak benih ikan air tawar untuk menampung keperluan ke seluruh negara.

Selain itu, anak benih ikan air tawar tersebut juga telah dilepaskan di sungai-sungai sekitar Pahang bagi tujuan meningkatkan sumber perikanan di negeri itu.

Dengan itu, ia mampu mengelakkan sumber ikan di sungai yang amat bernilai, pupus kerana pelbagai faktor antaranya masalah pencemaran, penggunaan tanpa kawalan atau pembiakan semula jadi yang tidak memberangsangkan. - Utusan

60 Pengusaha Tanaman Sayur Cameron Higlands Sertai Program Ladang Kontrak

Saturday, April 10, 2010

 Gambar hiasan

CAMERON HIGHLANDS, 10 April (Bernama) -- Enam puluh pengusaha tanaman sayur berskala kecil dan sederhana di Cameron Highlands kini menyertai program ladang kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang memberi jaminan pasaran bagi hasil tanaman peserta.

Penyertaan pengusaha tanaman sayur itu ke dalam program itu adalah hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di Cameron Highlands, sebuah pusat peranginan yang juga terkenal dengan kawasan pengeluaran tanaman seperti sayur-sayuran, teh, buah-buahan dan bunga-bungaan bermutu tinggi, hari Sabtu.

Timbalan Ketua Pengarah Fama Sahbani Saimin berkata peserta program itu akan didedahkan dengan kaedah pendaftaran ladang kontrak secara elektronik di mana mereka boleh mendaftarkan maklumat tentang ladang, jenis tanaman di samping mempromosikan hasil pertanian mereka secara online.

Fama juga, katanya, akan membantu pengusaha tanaman untuk meningkatkan lagi kualiti tanaman agar dapat meneroka pasaran yang lebih luas terutama di peringkat antarabangsa.

"Kita juga memberi keutamaan kepada tiga komoditi utama yang berpotensi untuk dieksport iaitu limau Cameron, tomato dan juga kubis kerana tanaman ini berpotensi untuk mendapat pasaran lebih luas," katanya selepas majlis menandatangani MoU itu.

Buat permulaan, katanya, hasil tanaman pengusaha sayur di Cameron Highlands itu akan dipasarkan ke Singapura sebelum diperluaskan ke pasaran antarabangsa berpotensi yang lain.

Beliau berkata program itu merupakan platform untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana dalam menjamin pengeluaran hasil pertanian mendapat pulangan yang setimpal.

Program ladang kontrak itu di mana Fama sebagai agensi peneraju dalam aspek pemasaran turut melibatkan agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) daripada segi pemindahan teknologi dan Jabatan Pertanian membabitkan amalan pertanian, katanya.

Sahbani berkata kementerian itu menetapkan sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk mencapai seramai 25,000 petani dengan keluasan 35,000 hektar kawasan tanaman menyertai program ladang kontrak itu menjelang akhir tahun ini.

Setakat ini lebih 80 peratus sasaran telah pun dicapai di mana 14,000 petani dengan kapasiti kawasan tanaman seluas 25,000 hektar berjaya didaftarkan. -- BERNAMA

Betik Piola ke pasaran dunia

Tuesday, April 6, 2010

ISI yang manis, berjus dan boleh dimakan dengan mudah merupakan ciri unik dan istimewa Betik Piola keluaran Malaysian Agrifood Corporation (MAFC).

Keistimewaan itu juga menjadikan ia ikon negara kerana pasarannya bukan setakat di Malaysia tetapi telah sampai ke London, United Kingdom.
 Pengendalian betik Piola menggunakan kaedah yang sistematik bagi memastikan kesegarannya.

Malah ia turut mengangkat daerah Lanchang di Pahang sebagai Lembah Betik Negara.

Malah orang ramai yang membeli betik di tepi-tepi jalan atau di pasaraya mungkin tidak sedar bahawa buah yang sama di eksport ke luar negara.

Ia membuktikan sektor pertanian di negara ini berkembang pesat dan mampu menjana pendapatan bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada negara.

Satu ketika dahulu betik jenis Subang dan Batu Arang mendapat sambutan. Tetapi saiz kedua-dua jenis itu agak besar.

Sebaliknya kini orang ramai lebih suka betik daripada jenis Solo dan Eksotika yang lebih kecil dan mudah dihidangkan.

Naib Presiden Kanan, Unit Perniagaan Lanchang, MAFC, Dr. Baharuddin Abdul Ghani berkata, ekoran minat orang ramai terhadap betik bersaiz kecil, pihak mereka telah menjalankan penyelididikan dan pembangunannya (R&D). Hasil mereka berjaya menghasilkan betik sendiri.

Betik baru yang dihasilkan daripada jenis Carica frangi itu ditanam di Lanchang dan dipasarkan dengan nama - Piola.

Baharuddin memberitahu, MAFC mempunyai ladang betik seluas 200 hektar di Lanchang, Pahang dengan 60 hektar ladang kontrak di sekitarnya.

"Pihak kami merancang untuk menambahkan keluasan ladang sehingga 1,000 hektar dengan 30 peratus ladang MAFC manakala selebihnya ladang kontrak," katanya semasa ditemui selepas sesi taklimat kepada peserta Agrochallange Putrajaya Pekan 2010 di Lanchang, Pahang.

Betik yang dihasilkan MAFC kebanyakannya bagi memenuhi permintaan antarabangsa seperti Hong Kong, Asia Barat, Eropah dan China.

Malah katanya, semasa dipamerkan di Berlin, Jerman, betik Piola mendapat sambutan menggalakkan dan memperoleh antara 10 tempat teratas.

Sebab itu kata Baharuddin, lebih 40 peratus betik yang ditanam di ladang MAFC dieksport. Yang selebihnya untuk pasaran tempatan.

"Kami menjangka pengeluaran betik yang lebih banyak bagi memenuhi permintaan eksport apabila beberapa syarikat berminat bekerjasama dengan bertindak sebagai ladang kontrak.

"Buat masa ini kami bekerjasama dengan beberapa pihak seperti Felda, PSK Vega, usahawan serta pekebun kecil di Taman Pengeluaran Kekal Makanan (TKPM), Lanchang," katanya.

MAFC yang mula beroperasi pada tahun 2007 memilih tanaman betik memandangkan ia berpotensi dibangunkan sebagai tanaman tropika. Lagi pun negara ini tidak mempunyai ikon tanaman yang boleh diketengahkan.

Justeru MAFC, jelas Baharuddin melihat betik yang mendapat sambutan negara luar berpotensi untuk dikembangkan.

"Betik Piola berupaya dimajukan memandangkan MAFC mempunyai rangkaian bekalan dan pengurusan yang sempurna daripada penghasilan benih, penanaman, tuaian sehingga kepada meja makan.

"Malah syarikat atau pekebun kecil yang terlibat dalam ladang kontrak akan diberikan biji benih, diajar teknik menanam, diberikan khidmat nasihat teknikal bagi mencapai piawai yang ditetapkan," katanya.

Pusat Pengumpulan MAFC di Lanchang pula katanya, berupaya menguruskan sehingga 80 tan betik dalam masa lapan jam.

Baharuddin berkata, betik mengambil masa 30 bulan untuk satu kitaran dan akan mula berbuah selepas sembilan bulan dan akan terus dituai selama 21 bulan.

Mengenai proses pengendalian betik selepas tuai, katanya, betik yang dituai dan dihantar ke pusat pemprosesan dipilih secara manual sebelum dibersihkan menggunakan air paip yang mengalir.

"Ini bagi memastikan tiada bahan kotoran atau bendasing melekat pada permukaan buah," katanya.

Selepas itu buah berkenaan dibasuh sekali lagi dengan air yang ditambah dengan larutan klorin pada kepekatan 200 bahagian per sejuta.

Kemudian buah disejukkan pada suhu 15 darjah Celsius (C) bagi memastikan ia segar.

Buah itu kemudiannya dimasukkan dalam air yang mengandungi racun kulat selama 10 minit bagi membunuh kulat.

Kemudian dimasukkan semula ke dalam air biasa sebelum dibungkus dan dihantar kepada pengguna.

"Buat masa ini pusat pengumpulan kami berupaya mengendalikan sehingga 80 tan betik sehari bagi tempoh lapan jam.

"Kapasiti berkenaan mungkin akan ditingkatkan apabila ladang-ladang kontrak mula mengeluarkan hasil," katanya.

Apa menarik, betik Piola boleh telah mendapat pengiktirafan Skim Amalan Ladang Malaysia (SALM) dan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP). - Utusan

Kerajaan umum satu lagi projek perumahan Felda di Sg Dusun

Saturday, April 3, 2010

KUALA KUBU BARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berkata kerajaan telah bersetuju untuk membina sebuah lagi Projek Perumahan Warga Felda untuk Gugusan Sg Dusun di daerah Hulu Selangor.

"Kerajaan sedar tentang keperluan dan permintaan generasi baru yang tinggal di dalam rancangan yang memerlukan rumah kediaman," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Sebelum itu, Najib yang mempunyai jadual padat di Hulu Selangor hari ini telah merasmikan majlis pecah tanah tapak perumahan generasi kedua Felda di Felda Soeharto dekat sini yang juga sebahagian daripada Gugusan Felda Sungai Dusun. 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat buah-buahan hasil tapak projek GMN Felda Sungai Tengi Selatan, turut bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (kiri), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (dua dari kanan), dan Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahad (dua dari kiri) di Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Najib berkata projek yang akan dilaksanakan itu terletak di kawasan Felda Soeharto di kawasan seluas 14 hektar yang membabitkan pembinaan sebanyak 250 unit rumah dan menelan belanja kira-kira RM32 juta.

Najib berkata, rumah yang akan dibina ini adalah berkonsep mampu milik terdiri daripada rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang mempunyai tiga bilik.

Harga setiap unit ditetapkan RM42,000 bagi rumah kos rendah dan RM75,000 bagi rumah kos sederhana rendah.

"Warga peneroka boleh memiliki rumah melalui pembiayaan daripada institusi kewangan dan bagi mereka yang tidak mendapat pembiayaan, mereka boleh memiliki rumah melalui skim sewa beli," katanya.

Beliau berkata, projek perumahan ini adalah sebahagian daripada komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu generasi baru Felda memiliki rumah yang selesa.

"Hasil daripada jualan rumah ini tidak dapat menampung kos pembinaan dan kerajaan terpaksa membiayai kos infrastruktur berjumlah RM20,000 seunit yang terdiri daripada kos sistem kumbahan, perparitan, jalan, tiang lampu, tempat rekreasi dan seumpamanya," katanya.

Najib berkata, sehingga kini kerajaan telah pun menyiapkan 1,357 unit rumah di empat lokasi dengan kos berjumlah RM54.8 juta dan telah diduduki oleh warga peneroka.

"Sebanyak 1,326 unit lagi sedang dalam pembinaan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM118.8 juta dan dijangka siap secara berperingkat dalam tahun ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa meneliti keperluan dan permintaan daripada warga Felda untuk membina lebih banyak unit rumah di tanah rancangan selaras dengan iltizam kerajaan mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat rancangan di seluruh negara. - Berita Harian

MEB Penuhi Konsep 1Malaysia, Kata Dr Mahathir

Friday, April 2, 2010

PETALING JAYA, 2 April (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Selasa lepas memenuhi konsep 1Malaysia kerana ia meliputi semua kaum.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pengenalan MEB itu menunjukkan Najib memahami keperluan semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu.

" Saya rasa beliau faham keperluan menangani semua komuniti dan tidak melupakan komuniti beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku dan pameran lukisan 'Painted-Axioms of Life Experiences" karya Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa Kejururawatan Prof Datuk Dr Hashim Yaacob di Subang Jaya dekat sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

MEB dilaksanakan untuk melonjakkan ekonomi negara menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.

Apabila ditanya mengenai pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan pada 25 April depan, Dr Mahathir menyatakan kekhuatirannya tentang pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi menawan kembali kerusi itu.

Oleh itu, beliau berharap BN meletakkan calon yang sesuai dan boleh diterima oleh penduduk kawasan itu.

"Saya fikir memang penting parti kerajaan mencapai kemenangan tetapi kalau letak calon yang tidak boleh diterima penduduk tempatan, saya khuatir (calon) akan ditolak," katanya.

Mengenai genap setahun pimpinan Najib sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata tempoh setahun tidak cukup untuk menilai kepimpinan dan perubahan yang dibawa oleh Najib.

"Satu tahun belum cukup untuk membuat penilaian. Satu tahun ialah untuk mempelajari kerja," katanya.

Dr Mahathir berkata dasar dan perancangan baru yang dikemukakan oleh Najib hanya dapat dinilai apabila ia berjaya dilaksanakan dan membuahkan hasil. -- BERNAMA

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya