Tawar khidmat mekanik bergerak

Saturday, August 7, 2010

KOTA BHARU 6 Ogos - Sekiranya motosikal anda pancit atau mengalami kerosakan kecil di tengah jalan, jangan panik kerana seorang mekanik bergerak sedia memberikan bantuan tanpa mengira waktu atau lokasi dengan caj berpatutan.

Mohd. Halimi Puteh menukarkan tiub motosikal seorang pelanggannya di Kota Bharu, semalam.

Pengguna hanya perlu membuat panggilan dan menyatakan lokasi. Dalam tempoh kurang 15 minit mekanik tersebut akan bergegas ke lokasi untuk memberikan perkhidmatan.

Bermula dengan niat sekadar ingin membantu, Mohd. Halimi Puteh, (gambar) 37, dari Kampung Baung Pengkalan Chepa di sini, akhirnya menjadikan pekerjaan tersebut sebagai sumber pendapatan untuk menyara keluarga sejak 15 tahun lalu.

Mohd. Halimi yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun itu memberitahu, dia mampu membaiki antara 10 hingga 16 motosikal sehari dengan bayaran antara RM12 hingga RM15, bergantung kepada jenis kerosakan.

"Peringkat awalnya saya buat secara sambilan sekitar tahun 1995. Masa itu saya merupakan orang pertama yang menjalankan perkhidmatan ini dan sambutan diberikan amat menggalakkan.

"Berdasarkan maklum balas itulah, saya nekad untuk berhenti bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel milik seorang rakan di Jalan Kuala Krai dan terlibat dengan kerjaya baru ini sepenuh masa," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd. Halimi berkata, sungguhpun pendapatan yang diperoleh tidak menentu, namun dia tetap bersyukur dan gembira dengan usahanya itu.

Malah dia mengakui tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat, sebaliknya berbangga kerana dapat membantu penunggang-penunggang motosikal di saat mereka amat memerlukan bantuan.

"Setakat ini hasil yang diperoleh cukup untuk menampung keperluan keluarga dan membesarkan anak saya.

"Biasalah adat orang berniaga ada kalanya kita dapat lebih, ada kala dapat kurang. Tetapi bagi saya itu bukan soalnya yang penting ia memberikan kepuasan," ujarnya.

Mohd. Halimi memberitahu, sejak menjalankan perkhidmatan mekanik bergerak itu, dia belum pernah menerima panggilan palsu atau ditipu oleh pelanggan yang hendak mendapatkan perkhidmatannya.

"Alhamdulillah, sepanjang 15 tahun menjalankan perkhidmatan ini, tidak pernah berlaku perkara yang tidak diingini.

"Namun begitu saya tetap berhati-hati dan sentiasa berdoa agar segalanya berjalan dengan selamat.
"Saya berpegang kepada prinsip buat kerja dengan ikhlas dan jangan sesekali menipu pelanggan. Ini kerana sekali kita menipu pelanggan mereka tidak akan percaya dan menggunakan khidmat kita lagi," jelasnya.

Tambah Mohd. Halimi, dia berhasrat untuk memperluaskan lagi perkhidmatannya ke daerah lain sekiranya ada individu yang berminat menjadi rakan kongsi. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya