SEREMBAN 5 Ogos - Pihak sekolah perlu menyeimbangkan aspek akademik dan pengisian minda supaya institusi itu tidak melahirkan pemimpin masa depan yang hanya mengikut arahan tanpa mengemukakan idea kreatif dan bijak bertindak.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara ini tidak memerlukan 'insan robot' menjadi pemimpin dalam membela rakyat, sebaliknya seorang pemimpin yang dapat menggabungkan kebijaksanaan, nilai rohaniah dan seni bagi memikul tanggungjawab tersebut.
''Bukan tujuan saya untuk mengkritik sesiapa tetapi adalah mustahak untuk kita melihat corak kepimpinan masa hadapan.
''Ini kerana, jika kita tidak berhati-hati dan hanya tertumpu kepada aspek kecemerlangan semata-mata tanpa mengira pengisiannya, mungkin pelajar atau generasi muda yang bakal menjadi pemimpin memiliki jiwa yang kosong," katanya.
Mohamad bercakap kepada pemberita selepas menutup program 'Utusan Sukma Sepagi Bersastera' di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau, dekat sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad; Pengarah Eksekutif Utusan Publications & Distributors (UP&D), Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar; Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said; Tokoh Sastera, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Mahaya Mohd. Yassin.
Program yang diadakan sempena Minggu Sastera Utusan ini menyasarkan khalayak pelajar luar bandar.
Melalui program ini, para pelajar berpeluang berinteraksi secara bersemuka dengan karyawan tanah air dan organisasi sastera.
Mohamad menambah, sekiranya pihak sekolah hanya memfokuskan kepada aspek pendidikan sahaja, dibimbangi ia akan menjadi kilang yang sekadar menghasilkan 'insan robot' yang sekadar menerima arahan.
''Lebih membahayakan lagi, apabila mereka keluar menjadi pemimpin yang tidak dapat menjiwai hati nurani rakyat," jelasnya.
Sehubungan itu, kata beliau, amat penting setiap pelajar mempunyai jiwa dan minda yang seimbang untuk membangunkan negara.
Dalam pada itu, Mohamad memuji langkah Kumpulan Utusan dan UP&D yang bersungguh-sungguh membangunkan sastera di negara ini dan pada masa sama membentuk jiwa pelajar menjadi insan yang lebih kreatif dan mempunyai minda kelas pertama.
''Kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan terhadap Kumpulan Utusan dan saya berharap pada masa hadapan ia dapat dikembangkan dengan lebih baik, termasuklah memikirkan cara untuk menghidupkan Bulan Sastera dan Hadiah Sastera Negeri Sembilan bersama PEN," katanya.
Katanya, seni dan aspek sastera ini amat penting kepada pelajar dan sesiapa sahaja kerana ia mempunyai keunikan tersendiri.
''Sebab itulah orang suka tengok Tiger Woods main golf dan Roger Federer main tenis termasuklah Diego Maradona yang menyepak bola.
''Semua ini disebabkan tokoh berkenaan mempunyai seni dan gaya yang dikagumi oleh kita semua. Kadang-kala orang terlepas pandang aspek seni ini," kata Mohamad. - Utusan
0 comments:
Post a Comment