Kemudahan Internet kampung

Tuesday, August 17, 2010

PEKAN 16 Ogos - Pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lalu di Kuala Lumpur membuka era baru dalam menyediakan kemudahan Internet kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Lebih bermakna, pelancaran dasar baru itu bukan sahaja memberi tumpuan terhadap keperluan di bandar malah masyarakat di desa dan pedalaman bakal menikmati kemudahan tersebut.

Golongan warga emas dan kanak-kanak sekolah tidak melepaskan peluang melayari kemudahan Internet pada majlis perasmian Pusat Jalur Lebar Komuniti Kampung Ubai dan Karnival Jalur Lebar di Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Inisiatif tersebut bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah masyarakat berpengetahuan ke arah menuju ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan itu menyasarkan sehingga akhir tahun ini sebanyak 50 peratus kadar penembusan jalur lebar beroperasi di seluruh negara.

Setakat ini, negara telah mencapai 37.9 peratus bagi penembusan jalur lebar isi rumah di peringkat nasional manakala 21.2 peratus pula di Pahang.

Bagi warga kota dan bandar, mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan kemudahan Internet kerana terdapat pelbagai premis menyediakan kemudahan tersebut.

Tetapi bagaimana pula dengan masyarakat di luar bandar dan pedalaman? Sudah tentu masalah liputan yang terhad dan hanya menggunakan telefon sekadar untuk berkomunikasi dengan orang luar.

Menyedari kepentingan Internet kepada masyarakat, SKMM menggunakan Dana Peruntukan Perkhidmatan Sejagat (PPS) yang mana peruntukan jalur lebar diperluaskan ke kawasan berkenaan termasuk telefon asas (menerusi rangkaian tetap dan mudah alih), perpustakaan jalur lebar komuniti (CBL) dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK).

Kampung Ubai, Pekan merupakan salah satu daripada 37 PJK di Pahang yang beroperasi di kawasan itu.
Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan SKMM, Datuk Jailani Johari berkata, pemilihan kampung itu adalah bukti usaha kerajaan dan SKMM mempromosi jalur lebar bukan hanya tertumpu kepada masyarakat di kawasan bandar tetapi di luar bandar.

Menurutnya, pemilihan kampung itu dibuat kerana tidak ramai penduduknya yang mempunyai kemudahan jalur lebar di rumah masing-masing.

"Oleh demikian kerajaan dan SKMM menawarkan perkhidmatan PJK untuk kegunaan semua lapisan masyarakat di kawasan yang berdekatan dengan pusat itu.

"Bagi memastikan penggunaan kemudahan secara berterusan, pelbagai aktiviti dijalankan di PJK untuk menggalakkan masyarakat menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berharap kewujudan PJK di kampung itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling dalam membantu melahirkan masyarakat berilmu.

Dalam pada itu mengenai operasi PJK di Pahang, Jailani memberitahu, jumlah keahlian berdaftar dengan PJK ialah 8,000 ahli iaitu purata tidak kurang daripada 200 ahli bagi setiap PJK.

Katanya, statistik terkini menunjukkan seramai 132,000 pengunjung termasuk ahli dan bukan ahli PJK telah menggunakan komputer dan Internet di semua 37 PJK di Pahang.

Jelasnya, PJK yang beroperasi di Pahang dan seluruh negara menyediakan kelengkapan yang baik termasuk capaian Internet jalur lebar berkelajuan dua mega bit per saat (Mbps).

"Bagi membantu penduduk kampung memahami penggunaan itu, seorang penyelia daripada masyarakat setempat dilantik untuk menguruskan setiap PJK, memberi latihan dan menjalankan promosi bagi menggalakkan penduduk setempat menggunakan kemudahan itu," katanya.

Jailani berkata, langkah tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merapatkan jurang digital, menambah kemahiran diri dan meluaskan pengetahuan individu.

Tambahnya, menerusi penggunaan PJK seperti itu, masyarakat akan diberi pendedahan tentang teknologi jalur lebar dan ICT.

Perasmian PJK di Kampung Ubai itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail. - UTUSAN



Share
|






 

1 comments:

用行動來支持你~~~不留言不行!............................................................

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya