JKM Belanja RM1.028 bilion

Wednesday, January 5, 2011

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan RM1.028 bilion untuk membantu 413,763 orang miskin di negara ini dari Januari hingga November tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, penerima bantuan itu terdiri daripada 117,150 warga emas, 109,782 keluarga miskin, 93,646 kanak-kanak, 89,461 orang kurang upaya (OKU) dan 3,724 mangsa bencana.

"Jumlah bantuan yang disalurkan ini adalah dari RM100 hingga RM450 sebulan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Shahrizat berkata, bentuk bantuan yang diberikan adalah meliputi pelbagai skim mengikut kelayakan dan kesesuaian penerima.

"JKM pada tahun ini akan mempergiatkan lagi pendekatan Kebajikan Produktif yang bertujuan membebaskan golongan miskin daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Menurut Shahrizat, ini kerana jabatan itu tidak mahu hanya menjadi agensi yang memberikan bantuan kewangan kepada orang miskin.

Katanya, kumpulan sasaran itu termasuk ibu tunggal miskin yang akan dibantu dalam bentuk latihan dan juga kemahiran di dalam bidang keusahawan termasuk modal.

Beliau berkata, Kebajikan Produktif telah dimulakan empat bulan lalu dan disebabkan program itu masih di peringkat awal, maka ukuran kejayaannya belum dapat dipastikan lagi. - UTUSAN

11 Usahawan Wanita Berjaya Kongsi Pengalaman

Seramai 11 usahawan wanita berjaya akan berkongsi pengalaman dalam bidang perniagaan dan pembangunan ekonomi dengan peserta Persidangan Ekonomi Wanita Malaysia-China-Asia Pasifik yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Mac ini.

Pengerusi persidangan itu, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, antara pengusaha wanita terlibat ialah Ketua Eksekutif Kumpulan Securiforce, Datuk Dr. Maznah Hamid; Pengerusi Hong Leong Assurance, Loh Guat Lan serta Pengarah Sistem Cisco, Anne Abraham.

Menurutnya, program bertempat di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-100 Hari Wanita Antarabangsa.

"Persidangan ini merupakan landasan untuk wanita mendapatkan galakan dan dorongan bagi meningkatkan lagi keuntungan perniagaan pada masa depan.

"Menerusi persidangan ini diharap golongan wanita dapat berdiri setaraf dengan golongan lelaki dalam industri perniagaan," katanya pada sidang akhbar mengenai persidangan itu di sini hari ini.

Persidangan itu dianjurkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-China dan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Malaysia-China serta disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Tambah Mei Fun, beberapa topik menarik akan dibincangkan antaranya faktor yang membuatkan wanita lebih bijak menguruskan kewangan, cara untuk menjadi seorang eksekutif serta peluang dan peranan wanita dalam transformasi ekonomi.

Menurutnya, antara tetamu yang akan hadir ke persidangan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berharap masyarakat akan mengubah pandangan dan pemikiran mereka terhadap wanita berikutan kejayaan yang ditunjukkan oleh semakin ramai golongan itu.

"Saya berharap masyarakat akan mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita. 

"Kami mahu golongan lelaki dan wanita bekerja bersama-sama dan memanfaatkan bakat dan daya saing wanita dalam pelbagai bidang," katanya. - UTUSAN

360,000 Peluang Kerja Tahun Ini - Sheikh Yahya

Rakyat diminta meningkatkan kemahiran yang ada untuk merebut lebih 360,000 peluang pekerjaan yang dijangka ditawarkan sepanjang tahun ini.
 
Ketua Pengarah Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed berkata, kebanyakan pekerjaan baru tersebut melibatkan kategori pekerjaan gaji sederhana dan tinggi.

"Kita jangkakan lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan akan ditawarkan pada tahun ini hasil daripada pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Jabatan Tenaga Kerja sendiri telah bekerjasama dengan beberapa koridor termasuk kawasan Iskandar Malaysia untuk mengenal pasti dan memenuhi jawatan kosong yang akan diwujudkan sepanjang 2011 dan tahun-tahun selepas ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang 2020 dengan 60 peratus daripadanya menawarkan gaji sederhana dan tinggi.

Sheikh Yahya berkata, peluang pekerjaan pada masa ini masih tertumpu kepada kawasan Pantai Barat tetapi ia dijangka diperluaskan ke kawasan lain selari dengan peluang ekonomi yang dijana oleh projek-projek koridor di seluruh negara.

"Kita menjangkakan pelaksanaan projek koridor serta Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) akan mewujudkan lebih ramai peluang di negeri-negeri lain di luar Pantai Barat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 283,455 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui pelbagai program penempatan kerja yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam tempoh 2007 hingga 2010.

Menurutnya, Jobs Malaysia umpamanya mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan mencatatkan 1.1 juta pencari kerja terkumpul setakat 31 Disember 2010. - UTUSAN

Program Permata Pintar UKM 17 Januari ini

Seramai 139 pelajar pintar tingkatan empat menjadi kumpulan pertama terpilih menyertai Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula 17 Januari ini.

Penaung Program Permata Pintar Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, daripada jumlah itu seramai 115 telah bersetuju mengikuti program itu yang terdiri daripada 71 pelajar lelaki dan 44 pelajar perempuan.
Rosmah Mansor melawat bangunan Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, semalam. Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (dua kanan). - BERNAMA

Menurutnya, 23 pelajar lagi belum memberi jawapan dipercayai kerana ibu bapa ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai yuran bagi memasuki sekolah itu.

Jelasnya, pelajar berkenaan dipilih menerusi tiga ujian saringan iaitu Ujian Permata Pintar UKM1, Ujian Permata Pintar UKM2 dan Ujian UKM3 (Ujian Kompetensi Matematik dan Sains).

"Insya-Allah apabila pelajar ini diberi tempat dan surat tawaran, jangan risau mengenai pembayaran yuran," katanya selepas melawat tapak sekolah itu di UKM, Bangi hari ini.

Menurutnya, beliau akan berikhtiar dan berunding dengan pihak tertentu terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berminat dengan pelaksanaan sekolah itu.

"Kita akan mendapat jawapan dan cara bagi mengatasi kanak-kanak atau keluarga yang tidak mampu menghantar anak-anak pintar ke sini," katanya.

Jelasnya, untuk peringkat awal, para pelajar akan ditempatkan di Kolej Zaaba sehingga kolej kediaman Pusat Permata Pintar Negara UKM siap sepenuhnya kelak.

Rosmah turut memberitahu, para guru yang bakal mengikuti program Permata Pintar Negara mula menjalani latihan sejak pertengahan November lalu yang dikendalikan oleh Universiti of New South Wales, Australia.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara berkata, walaupun program tersebut berbentuk sekolah asrama penuh dengan bantuan kerajaan, tetapi ia mempunyai autonomi sendiri dalam prinsip pelaksanaannya.

Menurutnya, jadual pembelajaran bagi fasa pertama itu tetap sama dengan sekolah biasa iaitu dari pukul 8 pagi hingga 4.30 petang.

Jelasnya, terdapat enam komponen yang ditampilkan dalam program Permata Pintar iaitu akademik, bahasa komunikasi antarabangsa, projek saintifik, portfolio penilaian, kokurikulum dan pembinaan jati diri. - UTUSAN

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya