Misi Usahawan Anggur

Tuesday, August 31, 2010

BAGI yang sering memandu melalui kawasan perumahan di Sendayan, Negeri Sembilan, sepintas lalu tidak ada yang menarik perhatian apatah lagi menggamit perasaan untuk singgah.

Namun jika diamati betul-betul, di satu kawasan perumahan baru akan kelihatan kawasan bukit berteres yang dipenuhi tanaman yang agak asing di negara ini.
Azrul Nazim Aziz bersama Noraini Syed Norulzaman merupakan tulang belakang projek anggur di Lembah Sendayan.

Panorama di kawasan bukit tersebut amat menarik kerana ia sebenarnya dipenuhi pokok anggur yang ditanam pada teres dengan konsep pembangunan landskap pertanian yang pastinya menggamit kunjungan orang ramai.

Rimbunan daun-daun anggur yang di celah-celahnya muncul buah kehitaman dan hijau berjuntaian merupakan satu jalinan kesenian warna yang segar dan mengujakan.

Kawasan tersebut sebenarnya sedang dibangunkan dengan projek tanaman buah-buahan pelbagai jenis. Tetapi anggur menjadi komoditi utama kerana ia mampu menarik perhatian.

Selain itu, pemilik ladang mahu projek tersebut dimajukan untuk mengeluarkan buah anggur berkualiti sekali gus menjadikannya pusat agro pelancongan.

''Misi saya ialah untuk menghasilkan anggur berkualiti manakala visi saya mahu berkongsi pengalaman mengenai teknologi penanaman anggur,'' demikian kata pengusaha ladang tersebut, Azrul Nazim Aziz.

Dia juga merupakan Pengurus Besar A-Winn Corporatian Sdn. Bhd. syarikat yang memajukan projek seluas 12 hektar itu.

Sambil merenung jauh ke kawasan bukit yang hijau dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan terutama anggur, beliau dengan nada yakin berkata, wawasannya mampu dicapai seawal-awalnya lima tahun akan datang.

Katanya, bukan mudah menjadikan hasrat itu kenyataan, memandangkan anggur merupakan tanaman yang sensitif.

Katanya, ia bermula melalui penyelidikan bagi mencari kesesuaian tanah dan benih yang boleh ditanam pada 2004 dan segalanya yang sedang dirancang berada pada landasan betul.

Azrul Nazim berkata, beliau membawa masuk teknologi penanaman anggur dari Thailand selepas melawat negara tersebut.

Pada mulanya, projek penyelidikan tersebut dimulakan di Jeram, Kuala Selangor melibatkan kawasan seluas 4.2 hektar.

Selepas itu, projek penyelidikan diteruskan di tapak yang ada sekarang melibatkan tujuh spesies anggur.

Selepas kira-kira satu tahun setengah, beliau mendapati hanya empat spesies yang sesuai ditanam iaitu malaga, black opal, black pearl dan black pink.

Pada tahun 2006, penanaman secara serius dimulakan di ladang dan sehingga kini kos yang telah dibelanjakan mencecah hampir RM7 juta.

Beliau menjelaskan, kos tersebut agak tinggi kerana melibatkan pembangunan kemudahan seperti kolam takungan bekalan air, sistem paip, membersihkan kawasan selain kos baja.

Kos paling tinggi melibatkan pemindahan teknologi selain hak paten dari Thailand.

Anak pokok yang yang digunakan pula daripada sistem tut bagi menghasilkan pokok yang berkualiti.

Ketika ini terdapat kira-kira 6,000 pokok anggur yang ditanam dan memenuhi sebahagian besar ladang yang dibangunkan kira-kira 12 hektar daripada kawasan asal sedia ada.

Anak pokok perlu dipelihara dengan teliti selama kira-kira setahun selepas dipindahkan ke ladang dan kawasan penanaman perlu dilengkapi dengan tempat penggantungan atau rumah anggur sebagai teduhan.

Pada tahap ini, buah akan mula muncul tetapi ia masih belum berkualiti dan rasanya masam.

Menurut beliau, penjagaan memainkan peranan penting bagi menghasilkan buah yang berkualiti.

Sebab itu ladangnya mengamalkan penjagaan satu lot yang menempatkan 500 pokok anggur dijaga oleh lima pekerja.

Anggur kata beliau memerlukan air yang banyak tetapi bagi membolehkan buah yang dihasilkan lebih manis, tuaian perlu dibuat pada musim panas.

Buah boleh dipetik antara tiga ke empat bulan semusim atau tiga kali tuaian setahun.

Sepohon anggur mampu menghasilkan 10 kilogram buah anggur semusim.

Pokok anggur ladang milik beliau hanya akan diganti pokok baru selepas berumur enam tahun kerana pada tahap itu, kualiti buah yang dihasilkan mula berkurangan.

Setakat ini ladang beliau mampu menghasilkan 50 tan anggur setahun dan menyasarkan untuk menghasilkan 300 tan buah setahun menjelang lima tahun akan datang dengan jumlah pokok ketika itu mencapai 9,000.

Azrul Nazim juga berkongsi pandangan bahawa pokok anggur perlu 'direhatkan' selama beberapa minggu iaitu dengan memangkas semua daun pada batang pokok.

Selepas tiga minggu, daun baru akan muncul bersama-sama putik buah dan kualitinya lebih baik.

Mengenai wawasannya, Azrul Nazim berkata, beliau mahu menjadikan ladang tersebut sebagai agro pelancongan yang dapat menarik pengunjung mengenali dengan lebih dekat lagi pokok anggur.

''Pengunjung yang melawat Port Dickson khususnya boleh boleh singgah di sini untuk melihat sendiri pokok anggur,'' katanya yang turut menanam beberapa jenis buah-buahan termasuk bidara, mempelam harum manis, jambu madu, jambu batu dan pokok buah naga.

Beliau juga mahu membangunkan pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan pelawat antaranya surau, kafeteria dan ruang untuk berehat.

Pada masa sama, beliau akan membangunkan produk berasaskan anggur seperti jus anggur dan jem secara komersial berjenama Sendayan Valley.

Pengeluaran secara komersial itu bermakna, syarikatnya akan membina kilang memproses di kawasan tersebut, sekali gus melengkapkan impiannya untuk menjadikan Lembah Sendayan terkenal dengan industri tanaman anggur.

''Inilah sebabnya saya memilih anggur sebagai tanaman komersial,'' ujarnya.

Kata-kata beliau itu turut disokong oleh Pengarah Eksekutif syarikat, Datin Noraini Syed Norulzaman bahawa anggur mempunyai keunikan sendiri yang boleh menarik perhatian pengunjung.

''Kami memilih anggur kerana keunikannya, sesuatu yang sangat istimewa,' kata Noraini.

Mereka yang berminat untuk melawat ladang boleh menghubungi 012-3701777 atau emel azrul@a-winn.com. - Utusan

Bangun Industri Rumpai Laut - Noh

Saturday, August 28, 2010

PUTRAJAYA 27 Ogos - Institut Penyelidikan Rumpai Laut Negara bakal ditubuhkan tahun depan bagi mengukuhkan pembangunan industri rumpai laut negara agar dapat bersaing di peringkat negara serantau.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, bagi tujuan itu kementerian akan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) melalui program pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi berkongsi kepakaran berkaitan industri itu.

''Penubuhan institut ini boleh memberi nilai tambah kepada penyelidikan yang sedang dijalankan di IPT yang telah pun mempunyai usahawan bersama mereka di samping kerjasama dengan pelabur luar.

''Dalam perancangan kajian ini, kita bukan setakat menanam rumpai laut malah membangunkan aktiviti-aktiviti hiliran dari pertanian ini yang memberi potensi besar dalam industri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama penyelidikan dan pembangunan rumpai laut antara Jabatan Perikanan dengan IPT awam.

Empat buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih dalam kerjasama penyelidikan itu.

Sebanyak RM15.1 juta diperuntukkan kepada empat buah universiti tersebut dalam bentuk geran bagi membangunkan kajian dan penghasilan produk berasaskan rumpai laut.

Noh berkata, program R&D itu juga akan mengenal pasti kawasan perairan lain di sepanjang rantaian nilai pengeluaran rumpai laut berbanding hanya tertumpu di Sabah.

"Kita akan mengenal pasti kawasan di Semenanjung seperti Langkawi, Pulau Pangkor dan Johor, selain di Sarawak untuk membangunkan industri ini," katanya.

dan memperbanyakkan pengeluaran spesiesnya berbanding dua sahaja di Sabah.

"Perairan di Sabah pula akan dijadikan Zon Industri Akuakultur Rumpai Laut yang diterajui oleh syarikat swasta untuk menyelaras semua aktiviti berkaitan seperti pengeluaran benih berkualiti, pengkulturan dan pemprosesan produk nilai tambah," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, pembangunan pertanian itu telah dibangunkan di kawasan seluas 20,000 hektar di Sabah dan bercadang untuk membuka lebih banyak kawasan di samping menambah tenaga kerja berbanding 1,200 pekerja sedia ada.

''Kementerian akan menggalakkan pembangunan projek-projek berkelompok berkonsepkan estet mini dalam kawasan zon tersebut yang akan melibatkan seramai 50 peserta bagi setiap 100 hektar kawasan," katanya. - Utusan

Tukang Jahit Sibuk Siapkan Tempahan

KUALA TERENGGANU 27 Ogos - Setiap kali Ramadan tiba, Arma Muda, 44, melalui hari-hari yang amat sibuk dan terpaksa bersaing dengan masa.
ARMA Muda menjahit pakaian yang ditempah pelanggan di kedainya di Kuala Terengganu.


Ia tentunya meletihkan tetapi rezeki pada bulan ini yang lazimnya menyamai apa yang diperoleh sepanjang tiga atau empat bulan tidak harus dilepaskan.

Arma bersyukur kerana masih diberi keupayaan kesihatan dan semakin diyakini hasil kerjanya oleh kalangan wanita.

Pengusaha kedai jahit AB Fashion itu yang beroperasi di tingkat atas Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di pusat bandar ini menerima tempahan menyiapkan hampir 300 pasang baju raya.

''Tempahan sudah tidak dapat diterima dua bulan sebelum Ramadan kerana bimbang baju-baju itu tidak dapat disiapkan sebelum ketibaan Aidilfitri.

''Apatah lagi tenaga kerja cuma saya dan seorang pembantu dalam ruang kedai yang sempit ini," ujarnya.

Katanya, kebanyakan pelanggan tidak menunggu saat akhir untuk menempah baju raya kerana mereka juga bimbang tempahan tidak lagi diterima.

Menurut Arma, dia akan memastikan tempahan pelanggan yang kebanyakannya baju kurung dapat disiapkan dalam keadaan sempurna dan memuaskan untuk dipakai pada hari raya.

Upah yang dikenakan untuk sepasang baju kurung adalah RM35 hingga RM45.

Dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang jahitan, hasil kerja tangan ibu kepada tiga orang anak itu terus meniti dari bibir ke bibir.

Pelanggannya bukan sahaja ramai pada musim perayaan tetapi juga pada musim cuti sekolah ketika banyak tempahan diterima bagi baju pengantin.

''Pelanggan yang berpuas hati dari segi mutu jahitan, tentunya akan mengesyorkan nama saya kepada rakan atau kenalan mereka," katanya.

Mengimbas kembali sejarah penglibatannya dalam bidang jahitan, dia memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada tahun 1990 dengan modal cuma RM4,500.

Kini setelah 20 tahun, Arma bercadang untuk memperbesarkan perniagaan dengan membangunkan premis yang selesa dan dapat menampung beberapa pekerja.

Pembinaan premis sendiri di Bukit Tunggal dekat sini yang telah dimulakan dijangka siap tahun depan. - Utusan

Peluang Lanjut Pelajaran

Friday, August 20, 2010

KUALA LUMPUR 19 Ogos - UMNO Bahagian Lembah Pantai membuka peluang kepada pelajar- pelajar yang kurang menyerlah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dengan menawarkan tempat untuk mereka.
Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) menyaksikkan penyerahan cek daripada Mohd. Ikhsan Samsudin (dua dari kiri) kepada Muhamad Rafizam dari Kolej Saito pada program Aspirasi Kerjaya anjuran Biro Ekonomi UMNO Bahagian Lembah Pantai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, langkah itu diambil kerana golongan itu diyakini mampu menjadi tenaga kerja yang mahir dan cekap menerusi pendidikan dan latihan yang berterusan.

Katanya, ia juga bagi memastikan golongan pelapis negara itu tidak tercicir hanya kerana tidak memperoleh keputusan yang baik.

"Keadaan ekonomi dunia belum pulih sepenuhnya daripada kegawatan menyebabkan peluang pekerjaan semakin kecil.

"Perkara ini tentu lebih menyukarkan kepada lepasan SPM bukan sahaja kerana kelulusan akademik yang lebih rendah tetapi juga ketiadaan pengalaman kerja.

"Oleh itu, dengan adanya program pengajian terbuka kepada mereka, ia pasti akan membantu mereka untuk mencapai kejayaan pada masa depan," katanya pada program Aspirasi Kerjaya di sini baru-baru ini.

Program tersebut mendapat kerjasama daripada Kolej Saito serta Tuan Zakir Training and Consultancy yang bertindak sebagai pusat pengajian dan konsultan.

Menyifatkan ia ibarat peluang kedua bagi golongan berkenaan, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu berkata, program berkenaan juga adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan rakyat.

Beliau berkata, bagi memudahkan lagi, mereka yang berjaya ke kolej berkenaan layak untuk mendapat kemudahan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Bukan itu sahaja, Biro Ekonomi UMNO Lembah Pantai turut bermurah hati menyumbang sebanyak RM100,000 kepada pelajar-pelajar yang akan mengikuti program berkenaan.

Pengerusinya, Ir. Mohd. Ikhsan Samsudin berkata, sumbangan tersebut terbuka kepada 200 orang pelajar pertama yang mendaftarkan diri.

"Mereka akan mendapat wang saku sebanyak RM500 seorang yang akan membantu mereka membayar yuran pendaftaran di kolej berkenaan.

"Ini kerana kebanyakan daripada orang ramai di sini yang kami temui mempunyai masalah kewangan sehingga membataskan anak mereka untuk meneruskan pengajian," katanya.

Namun, beliau memberitahu, orang ramai sebenarnya hanya perlu membayar RM100 sebagai pendaftaran dan bakinya akan dibayar selepas mendapat wang pendahuluan daripada Mara.

Pihaknya menyasarkan seramai 600 orang akan mengikuti program berkenaan. - Utusan

Golongan Miskin Di Melaka Disaran Sertai Kobemas

Wednesday, August 18, 2010

MELAKA 17 Ogos - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta golongan miskin di negeri ini menyertai Koperasi Bela Masyarakat (KOBEMAS) bagi memperbaiki taraf hidup mereka.

Beliau berkata KOBEMAS yang baru dilancarkan 12 Ogos lepas akan menjalankan pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan tahap ekonomi keluarga miskin seterusnya membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Miskin tegar tidak ada lagi tetapi golongan miskin masih ada, sesiapa yang layak menerima bantuan kemiskinan tetapi tidak dapat sila jumpa wakil rakyat atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung masing-masing," katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Ihya Ramadan anjuran Tabung Haji (TH) pada hari Selasa.

Setakat ini, katanya terdapat kira-kira 21,000 orang di Melaka menerima pelbagai jenis bantuan kemiskinan termasuk ibu tunggal yang berjumlah RM58 juta setahun di mana 80 peratus daripadanya disumbangkan kerajaan persekutuan manakala baki 20 peratus daripada kerajaan negeri.

Pada majlis itu, seramai 200 orang yang kurang bernasib baik masing-masing menerima bantuan wang tunai RM500 dan hamper daripada TH bagi memudahkan mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba.

Ketua Pegawai Teknologi Maklumat TH, Mohd Yassin Tahir berkata bagi program tersebut TH memperuntukkan RM100,000 untuk disampaikan kepada golongan yang kurang bernasib baik di seluruh negara.

Mengenai keanggotaan TH di Melaka, beliau berkata setakat 29 Julai lepas, TH Melaka mencapai sasaran ahli baru sebanyak 42,000 orang.

Seorang penerima sumbangan, Madjelan Abu Bakar, 70, berkata beliau bersyukur mendapat sumbangan tersebut dan akan menggunakan wang itu untuk menguruskan belanja keluarganya pada Ramadan ini.

Suteris Noh, 45, yang kudung kaki kanan akibat dilanggar lori pada tahun 2006 berterima kasih kepada TH dan akan menggunakan wang itu untuk persiapan lima anaknya menyambut Aidilfitri. - BERNAMA

Kemudahan Internet kampung

Tuesday, August 17, 2010

PEKAN 16 Ogos - Pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lalu di Kuala Lumpur membuka era baru dalam menyediakan kemudahan Internet kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Lebih bermakna, pelancaran dasar baru itu bukan sahaja memberi tumpuan terhadap keperluan di bandar malah masyarakat di desa dan pedalaman bakal menikmati kemudahan tersebut.
Golongan warga emas dan kanak-kanak sekolah tidak melepaskan peluang melayari kemudahan Internet pada majlis perasmian Pusat Jalur Lebar Komuniti Kampung Ubai dan Karnival Jalur Lebar di Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Inisiatif tersebut bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah masyarakat berpengetahuan ke arah menuju ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan itu menyasarkan sehingga akhir tahun ini sebanyak 50 peratus kadar penembusan jalur lebar beroperasi di seluruh negara.

Setakat ini, negara telah mencapai 37.9 peratus bagi penembusan jalur lebar isi rumah di peringkat nasional manakala 21.2 peratus pula di Pahang.

Bagi warga kota dan bandar, mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan kemudahan Internet kerana terdapat pelbagai premis menyediakan kemudahan tersebut.

Tetapi bagaimana pula dengan masyarakat di luar bandar dan pedalaman? Sudah tentu masalah liputan yang terhad dan hanya menggunakan telefon sekadar untuk berkomunikasi dengan orang luar.

Menyedari kepentingan Internet kepada masyarakat, SKMM menggunakan Dana Peruntukan Perkhidmatan Sejagat (PPS) yang mana peruntukan jalur lebar diperluaskan ke kawasan berkenaan termasuk telefon asas (menerusi rangkaian tetap dan mudah alih), perpustakaan jalur lebar komuniti (CBL) dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK).

Kampung Ubai, Pekan merupakan salah satu daripada 37 PJK di Pahang yang beroperasi di kawasan itu.
Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan SKMM, Datuk Jailani Johari berkata, pemilihan kampung itu adalah bukti usaha kerajaan dan SKMM mempromosi jalur lebar bukan hanya tertumpu kepada masyarakat di kawasan bandar tetapi di luar bandar.

Menurutnya, pemilihan kampung itu dibuat kerana tidak ramai penduduknya yang mempunyai kemudahan jalur lebar di rumah masing-masing.

"Oleh demikian kerajaan dan SKMM menawarkan perkhidmatan PJK untuk kegunaan semua lapisan masyarakat di kawasan yang berdekatan dengan pusat itu.

"Bagi memastikan penggunaan kemudahan secara berterusan, pelbagai aktiviti dijalankan di PJK untuk menggalakkan masyarakat menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berharap kewujudan PJK di kampung itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling dalam membantu melahirkan masyarakat berilmu.

Dalam pada itu mengenai operasi PJK di Pahang, Jailani memberitahu, jumlah keahlian berdaftar dengan PJK ialah 8,000 ahli iaitu purata tidak kurang daripada 200 ahli bagi setiap PJK.

Katanya, statistik terkini menunjukkan seramai 132,000 pengunjung termasuk ahli dan bukan ahli PJK telah menggunakan komputer dan Internet di semua 37 PJK di Pahang.

Jelasnya, PJK yang beroperasi di Pahang dan seluruh negara menyediakan kelengkapan yang baik termasuk capaian Internet jalur lebar berkelajuan dua mega bit per saat (Mbps).

"Bagi membantu penduduk kampung memahami penggunaan itu, seorang penyelia daripada masyarakat setempat dilantik untuk menguruskan setiap PJK, memberi latihan dan menjalankan promosi bagi menggalakkan penduduk setempat menggunakan kemudahan itu," katanya.

Jailani berkata, langkah tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merapatkan jurang digital, menambah kemahiran diri dan meluaskan pengetahuan individu.

Tambahnya, menerusi penggunaan PJK seperti itu, masyarakat akan diberi pendedahan tentang teknologi jalur lebar dan ICT.

Perasmian PJK di Kampung Ubai itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail. - UTUSAN



Share
|






 

Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan dilancar

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan skim khairat kematian untuk warga kota yang dikenali dengan nama Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, skim itu bertujuan mengurangkan kesedihan dan meringankan beban mereka yang kematian ahli keluarga.
Muhyiddin Yassin menyampaikan bantuan kepada Safura Hamdan sambil diperhatikan oleh penerima bantuan yang lain selepas melancarkan Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan semalam.

Beliau mengakui, dalam kesibukan mengejar kemajuan ekonomi, memang terdapat golongan yang tersisih daripada arus pembangunan.

"Mereka termasuklah golongan mudah miskin yang hidup di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
"Dengan peningkatan kos sara hidup, golongan ini menghadapi kesukaran menampung perbelanjaan harian.

Tanpa bantuan kerajaan dan mereka yang prihatin, golongan ini akan terus dihimpit kemiskinan," katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran skim itu dan majlis berbuka puasa peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Skim khairat kematian itu amat unik kerana ia terbuka kepada semua warga Wilayah Persekutuan tanpa mengira kaum atau agama selagi memenuhi syarat yang ditetapkan.

Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) selaku pengurus skim akan menyumbang RM2,500 kepada penama setelah membayar yuran RM5 yang hanya perlu dilunaskan sekali sahaja seumur hidup.

Syarat untuk mendapat khairat itu ialah:

l Berusia antara 21 tahun hingga 75 tahun
l Bermastautin di Wilayah Persekutuan
l Berdaftar sebagai pengundi di Wilayah Persekutuan
l Mengemukakan dua orang penama.

Pada majlis sama juga, YWP menyampaikan bantuan Ihya' Ramadan sebanyak RM80,000 kepada 320 individu yang tidak bernasib baik dengan setiap seorang akan menerima RM250.

Dalam pada itu, YWP turut memperuntukkan RM235,000 untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan seperti anak- anak yatim, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan mereka yang berpendapatan rendah. - UTUSAN



Share
|






 

Tawar khidmat mekanik bergerak

Saturday, August 7, 2010

KOTA BHARU 6 Ogos - Sekiranya motosikal anda pancit atau mengalami kerosakan kecil di tengah jalan, jangan panik kerana seorang mekanik bergerak sedia memberikan bantuan tanpa mengira waktu atau lokasi dengan caj berpatutan.

Mohd. Halimi Puteh menukarkan tiub motosikal seorang pelanggannya di Kota Bharu, semalam.

Pengguna hanya perlu membuat panggilan dan menyatakan lokasi. Dalam tempoh kurang 15 minit mekanik tersebut akan bergegas ke lokasi untuk memberikan perkhidmatan.

Bermula dengan niat sekadar ingin membantu, Mohd. Halimi Puteh, (gambar) 37, dari Kampung Baung Pengkalan Chepa di sini, akhirnya menjadikan pekerjaan tersebut sebagai sumber pendapatan untuk menyara keluarga sejak 15 tahun lalu.

Mohd. Halimi yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun itu memberitahu, dia mampu membaiki antara 10 hingga 16 motosikal sehari dengan bayaran antara RM12 hingga RM15, bergantung kepada jenis kerosakan.

"Peringkat awalnya saya buat secara sambilan sekitar tahun 1995. Masa itu saya merupakan orang pertama yang menjalankan perkhidmatan ini dan sambutan diberikan amat menggalakkan.

"Berdasarkan maklum balas itulah, saya nekad untuk berhenti bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel milik seorang rakan di Jalan Kuala Krai dan terlibat dengan kerjaya baru ini sepenuh masa," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd. Halimi berkata, sungguhpun pendapatan yang diperoleh tidak menentu, namun dia tetap bersyukur dan gembira dengan usahanya itu.

Malah dia mengakui tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat, sebaliknya berbangga kerana dapat membantu penunggang-penunggang motosikal di saat mereka amat memerlukan bantuan.

"Setakat ini hasil yang diperoleh cukup untuk menampung keperluan keluarga dan membesarkan anak saya.

"Biasalah adat orang berniaga ada kalanya kita dapat lebih, ada kala dapat kurang. Tetapi bagi saya itu bukan soalnya yang penting ia memberikan kepuasan," ujarnya.

Mohd. Halimi memberitahu, sejak menjalankan perkhidmatan mekanik bergerak itu, dia belum pernah menerima panggilan palsu atau ditipu oleh pelanggan yang hendak mendapatkan perkhidmatannya.

"Alhamdulillah, sepanjang 15 tahun menjalankan perkhidmatan ini, tidak pernah berlaku perkara yang tidak diingini.

"Namun begitu saya tetap berhati-hati dan sentiasa berdoa agar segalanya berjalan dengan selamat.
"Saya berpegang kepada prinsip buat kerja dengan ikhlas dan jangan sesekali menipu pelanggan. Ini kerana sekali kita menipu pelanggan mereka tidak akan percaya dan menggunakan khidmat kita lagi," jelasnya.

Tambah Mohd. Halimi, dia berhasrat untuk memperluaskan lagi perkhidmatannya ke daerah lain sekiranya ada individu yang berminat menjadi rakan kongsi. - Utusan

Golongan miskin terima RM1.4j

Subahan Kamal menyerahkan bantuan wang tunai kepada golongan kurang berkemampuan pada majlis di Kampung Selayang Indah, Selayang, semalam.
SELAYANG 5 Ogos - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan tunai kira-kira RM1.4 juta setiap bulan kepada golongan memerlukan di Selangor.

Daripada jumlah itu, RM300,000 disalurkan setiap bulan kepada golongan miskin di seluruh Selayang dan daerah Gombak berjumlah 1,500 orang yang telah dikenal pasti setakat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer, Datuk Subahan Kamal berkata, jumlah itu sudah pasti meningkat setiap bulan berikutan usaha berterusan pihaknya mencari lebih ramai orang miskin.

Menurutnya, pertambahan itu dapat dilihat apabila pada tahun lalu, 1,200 orang merupakan penerima bantuan tetapi telah meningkat sebanyak 300 orang lagi setakat Julai tahun ini.

"Kalau dulu rakyat datang berjumpa pemimpin untuk mendapatkan bantuan tetapi kini kami yang turun padang mencari mereka.

"Mungkin pemimpin BN (Barisan Nasional) yang dahulu melakukan kesilapan, mereka menunggu rakyat datang berjumpa mereka. Ini konsep yang salah.

"Tetapi kini tidak lagi, pemimpin-pemimpin BN sekarang adalah golongan muda dan mereka komited dengan kerja mereka sebagai wakil rakyat," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan JKM kepada golongan miskin dalam satu majlis di Pejabat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Selayang Indah di sini hari ini.

Kira-kira 80 orang penerima hadir pada majlis itu, manakala bakinya akan menerima bantuan yang akan dihantar ke rumah mereka, kata Subahan.

Setiap penerima mendapat bantuan antara RM200 hingga RM300 setiap bulan, yang disampaikan setiap tiga bulan sekali.

Katanya lagi, pihaknya juga akan membantu pesakit daripada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan bantuan Tabung Pesakit Kronik Kementerian Kesihatan.

Katanya lagi, pihaknya juga akan melawat golongan miskin dari rumah ke rumah sepanjang bulan puasa nanti untuk menghulurkan bantuan berupa keperluan dapur dan sebagainya. - Utusan

Elak lahirkan pemimpin 'robot'

SEREMBAN 5 Ogos - Pihak sekolah perlu menyeimbangkan aspek akademik dan pengisian minda supaya institusi itu tidak melahirkan pemimpin masa depan yang hanya mengikut arahan tanpa mengemukakan idea kreatif dan bijak bertindak.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara ini tidak memerlukan 'insan robot' menjadi pemimpin dalam membela rakyat, sebaliknya seorang pemimpin yang dapat menggabungkan kebijaksanaan, nilai rohaniah dan seni bagi memikul tanggungjawab tersebut.

''Bukan tujuan saya untuk mengkritik sesiapa tetapi adalah mustahak untuk kita melihat corak kepimpinan masa hadapan.

''Ini kerana, jika kita tidak berhati-hati dan hanya tertumpu kepada aspek kecemerlangan semata-mata tanpa mengira pengisiannya, mungkin pelajar atau generasi muda yang bakal menjadi pemimpin memiliki jiwa yang kosong," katanya.

Mohamad bercakap kepada pemberita selepas menutup program 'Utusan Sukma Sepagi Bersastera' di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau, dekat sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad; Pengarah Eksekutif Utusan Publications & Distributors (UP&D), Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar; Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said; Tokoh Sastera, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Mahaya Mohd. Yassin.

Program yang diadakan sempena Minggu Sastera Utusan ini menyasarkan khalayak pelajar luar bandar.

Melalui program ini, para pelajar berpeluang berinteraksi secara bersemuka dengan karyawan tanah air dan organisasi sastera.

Mohamad menambah, sekiranya pihak sekolah hanya memfokuskan kepada aspek pendidikan sahaja, dibimbangi ia akan menjadi kilang yang sekadar menghasilkan 'insan robot' yang sekadar menerima arahan.

''Lebih membahayakan lagi, apabila mereka keluar menjadi pemimpin yang tidak dapat menjiwai hati nurani rakyat," jelasnya.

Sehubungan itu, kata beliau, amat penting setiap pelajar mempunyai jiwa dan minda yang seimbang untuk membangunkan negara.

Dalam pada itu, Mohamad memuji langkah Kumpulan Utusan dan UP&D yang bersungguh-sungguh membangunkan sastera di negara ini dan pada masa sama membentuk jiwa pelajar menjadi insan yang lebih kreatif dan mempunyai minda kelas pertama.

''Kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan terhadap Kumpulan Utusan dan saya berharap pada masa hadapan ia dapat dikembangkan dengan lebih baik, termasuklah memikirkan cara untuk menghidupkan Bulan Sastera dan Hadiah Sastera Negeri Sembilan bersama PEN," katanya.

Katanya, seni dan aspek sastera ini amat penting kepada pelajar dan sesiapa sahaja kerana ia mempunyai keunikan tersendiri.

''Sebab itulah orang suka tengok Tiger Woods main golf dan Roger Federer main tenis termasuklah Diego Maradona yang menyepak bola.

''Semua ini disebabkan tokoh berkenaan mempunyai seni dan gaya yang dikagumi oleh kita semua. Kadang-kala orang terlepas pandang aspek seni ini," kata Mohamad. - Utusan

Guna pendekatan lebih inovatif

PUTRAJAYA 5 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru peneraju agensi-agensi agama Islam di peringkat Persekutuan dan negeri supaya menggunakan pendekatan lebih inovatif dalam membangunkan sistem pengurusan yang cekap dan strategik.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia boleh dilakukan melalui institusi agama, pengurusan zakat, baitulmal, masjid dan sistem waqaf.

Kata beliau, peneraju agensi-agensi berkenaan perlu memulakan langkah transformasi dengan menyemarakkan budaya ilmu dan melaksanakan program yang lebih inovatif untuk memacu kemajuan ummah.

‘‘Hasilkan lebih banyak produk halal yang inovatif, pengurusan syariah dan perundangan serta perbankan Islam yang mampu memberi impak maksimum kepada rakyat.

‘‘Garap minda inovatif kita dengan melaksanakan program yang dapat menarik golongan muda mendekati Islam dan mampu menghayati ajaran Islam yang sebenar dan seterusnya menghasilkan generasi yang mampu memberi impak besar ke arah pembangunan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini malam ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz dan mufti-mufti negeri.

Sehubungan itu, Muhyiddin berharap agensi-agensi Islam di negara ini dapat menerajui usaha untuk membangunkan minda inovasi yang berasaskan acuan Islam khususnya di kalangan generasi muda.

Kata beliau: ‘‘Selayaknya pendidikan yang kita berikan kepada generasi muda adalah pendidikan yang boleh membangunkan potensi mereka untuk menemukan dan mengembangkan rahsia yang tersembunyi di sebalik penciptaan Allah SWT.

‘‘Seseorang yang kreatif dan berinovasi akan mampu menjulang bukan sahaja kecemerlangan diri dan keluarganya malah kegemilangan organisasi dan negaranya serta mencapai segala impian yang dicita-citakan.”

Mengakui banyak inisiatif baru yang memerlukan perubahan, beliau berkata, rakyat Malaysia perlu berubah untuk menjadi bangsa berinovasi yang menjuarai perlumbaan global ke arah kemajuan dan kemakmuran.

‘‘Kita juga perlu berubah menjadi warga organisasi yang lebih produktif dan inovatif.

‘‘Lantaran itulah, dengan semangat 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk memacu penghasilan inovasi secara menyeluruh.

‘‘Ini khususnya dalam bidang inovasi Islam yang amat signifikan dengan kedudukan Malaysia sebagai model negara Islam yang progresif di dunia,” kata beliau. - Utusan

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya