Perniagaan Keropok Keping Dan Lekor Di Terengganu Makin Pulih

Wednesday, December 29, 2010

Sesetengah pengusaha keropok di Kampung Losong di sini kini mampu mencatat jualan sehingga RM30,000 sebulan setelah perniagaan mereka jatuh merundum tahun lepas gara-gara dikaitkan dengan penyakit taun.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Kerepok Losong (PPKL) Abu Bakar Yusof berkata ini berikutan orang ramai kembali memberikan sambutan kepada makanan tradisional Terengganu itu.

"Tahun lepas, orang ramai tidak berani membeli keropok kering dan keropok lekor kerana isi ikan dikatakan mengandungi kuman kolera," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata disebabkan itu, jualan keropok hampir lumpuh dan merosot sehingga 60 peratus kerana orang ramai mengelak daripada makan keropok.

Katanya keadaan semakin pulih dan kini sesetengah peniaga mampu mencatat jualan yang memberangsangkan.

Abu Bakar berkata pada musim cuti sekolah ini, jualan keropok meningkat antara RM300 dan RM10,000 sehari berbanding hari biasa antara RM200 dan RM1,000 sehari.

Peniaga keropok di Kampung Losong terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori kecil, sederhana dan besar, tetapi mereka semua merupakan anggota persatuan.

Katanya harga keropok lekor telah naik 20 sen, iaitu daripada lima batang berharga RM1 kepada empat batang berharga RM1, berikutan harga bahan mentah naik.

Beliau berkata harga ikan untuk membuat keropok pula naik dua kali ganda, begitu juga sagu dijangka naik daripada RM35 seguni (28kg) kepada RM56.

Menurutnya kebanyakan sagu ini diimport dari Indonesia kerana Malaysia kekurangan sagu.

Abu Bakar berkata PPKL kini mempunyai seramai 65 anggota, termasuk pengusaha roti canai segera dan persatuan cuba membantu terutamanya peniaga kecil supaya terus berkembang. - BERNAMA

1 comments:

Iema Haron said...

salam..
bolh tak saya dapatkan no telefon pengerusi persatuan pengusaha keropok losong ni??

tq

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya