Tukang Jahit Sibuk Siapkan Tempahan

Saturday, August 28, 2010

KUALA TERENGGANU 27 Ogos - Setiap kali Ramadan tiba, Arma Muda, 44, melalui hari-hari yang amat sibuk dan terpaksa bersaing dengan masa.

ARMA Muda menjahit pakaian yang ditempah pelanggan di kedainya di Kuala Terengganu.


Ia tentunya meletihkan tetapi rezeki pada bulan ini yang lazimnya menyamai apa yang diperoleh sepanjang tiga atau empat bulan tidak harus dilepaskan.

Arma bersyukur kerana masih diberi keupayaan kesihatan dan semakin diyakini hasil kerjanya oleh kalangan wanita.

Pengusaha kedai jahit AB Fashion itu yang beroperasi di tingkat atas Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di pusat bandar ini menerima tempahan menyiapkan hampir 300 pasang baju raya.

''Tempahan sudah tidak dapat diterima dua bulan sebelum Ramadan kerana bimbang baju-baju itu tidak dapat disiapkan sebelum ketibaan Aidilfitri.

''Apatah lagi tenaga kerja cuma saya dan seorang pembantu dalam ruang kedai yang sempit ini," ujarnya.

Katanya, kebanyakan pelanggan tidak menunggu saat akhir untuk menempah baju raya kerana mereka juga bimbang tempahan tidak lagi diterima.

Menurut Arma, dia akan memastikan tempahan pelanggan yang kebanyakannya baju kurung dapat disiapkan dalam keadaan sempurna dan memuaskan untuk dipakai pada hari raya.

Upah yang dikenakan untuk sepasang baju kurung adalah RM35 hingga RM45.

Dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang jahitan, hasil kerja tangan ibu kepada tiga orang anak itu terus meniti dari bibir ke bibir.

Pelanggannya bukan sahaja ramai pada musim perayaan tetapi juga pada musim cuti sekolah ketika banyak tempahan diterima bagi baju pengantin.

''Pelanggan yang berpuas hati dari segi mutu jahitan, tentunya akan mengesyorkan nama saya kepada rakan atau kenalan mereka," katanya.

Mengimbas kembali sejarah penglibatannya dalam bidang jahitan, dia memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada tahun 1990 dengan modal cuma RM4,500.

Kini setelah 20 tahun, Arma bercadang untuk memperbesarkan perniagaan dengan membangunkan premis yang selesa dan dapat menampung beberapa pekerja.

Pembinaan premis sendiri di Bukit Tunggal dekat sini yang telah dimulakan dijangka siap tahun depan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya