Peluang Lanjut Pelajaran

Friday, August 20, 2010

KUALA LUMPUR 19 Ogos - UMNO Bahagian Lembah Pantai membuka peluang kepada pelajar- pelajar yang kurang menyerlah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dengan menawarkan tempat untuk mereka.

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) menyaksikkan penyerahan cek daripada Mohd. Ikhsan Samsudin (dua dari kiri) kepada Muhamad Rafizam dari Kolej Saito pada program Aspirasi Kerjaya anjuran Biro Ekonomi UMNO Bahagian Lembah Pantai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, langkah itu diambil kerana golongan itu diyakini mampu menjadi tenaga kerja yang mahir dan cekap menerusi pendidikan dan latihan yang berterusan.

Katanya, ia juga bagi memastikan golongan pelapis negara itu tidak tercicir hanya kerana tidak memperoleh keputusan yang baik.

"Keadaan ekonomi dunia belum pulih sepenuhnya daripada kegawatan menyebabkan peluang pekerjaan semakin kecil.

"Perkara ini tentu lebih menyukarkan kepada lepasan SPM bukan sahaja kerana kelulusan akademik yang lebih rendah tetapi juga ketiadaan pengalaman kerja.

"Oleh itu, dengan adanya program pengajian terbuka kepada mereka, ia pasti akan membantu mereka untuk mencapai kejayaan pada masa depan," katanya pada program Aspirasi Kerjaya di sini baru-baru ini.

Program tersebut mendapat kerjasama daripada Kolej Saito serta Tuan Zakir Training and Consultancy yang bertindak sebagai pusat pengajian dan konsultan.

Menyifatkan ia ibarat peluang kedua bagi golongan berkenaan, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu berkata, program berkenaan juga adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan rakyat.

Beliau berkata, bagi memudahkan lagi, mereka yang berjaya ke kolej berkenaan layak untuk mendapat kemudahan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Bukan itu sahaja, Biro Ekonomi UMNO Lembah Pantai turut bermurah hati menyumbang sebanyak RM100,000 kepada pelajar-pelajar yang akan mengikuti program berkenaan.

Pengerusinya, Ir. Mohd. Ikhsan Samsudin berkata, sumbangan tersebut terbuka kepada 200 orang pelajar pertama yang mendaftarkan diri.

"Mereka akan mendapat wang saku sebanyak RM500 seorang yang akan membantu mereka membayar yuran pendaftaran di kolej berkenaan.

"Ini kerana kebanyakan daripada orang ramai di sini yang kami temui mempunyai masalah kewangan sehingga membataskan anak mereka untuk meneruskan pengajian," katanya.

Namun, beliau memberitahu, orang ramai sebenarnya hanya perlu membayar RM100 sebagai pendaftaran dan bakinya akan dibayar selepas mendapat wang pendahuluan daripada Mara.

Pihaknya menyasarkan seramai 600 orang akan mengikuti program berkenaan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya