Golongan miskin terima RM1.4j

Saturday, August 7, 2010

Subahan Kamal menyerahkan bantuan wang tunai kepada golongan kurang berkemampuan pada majlis di Kampung Selayang Indah, Selayang, semalam.
SELAYANG 5 Ogos - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan tunai kira-kira RM1.4 juta setiap bulan kepada golongan memerlukan di Selangor.

Daripada jumlah itu, RM300,000 disalurkan setiap bulan kepada golongan miskin di seluruh Selayang dan daerah Gombak berjumlah 1,500 orang yang telah dikenal pasti setakat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer, Datuk Subahan Kamal berkata, jumlah itu sudah pasti meningkat setiap bulan berikutan usaha berterusan pihaknya mencari lebih ramai orang miskin.

Menurutnya, pertambahan itu dapat dilihat apabila pada tahun lalu, 1,200 orang merupakan penerima bantuan tetapi telah meningkat sebanyak 300 orang lagi setakat Julai tahun ini.

"Kalau dulu rakyat datang berjumpa pemimpin untuk mendapatkan bantuan tetapi kini kami yang turun padang mencari mereka.

"Mungkin pemimpin BN (Barisan Nasional) yang dahulu melakukan kesilapan, mereka menunggu rakyat datang berjumpa mereka. Ini konsep yang salah.

"Tetapi kini tidak lagi, pemimpin-pemimpin BN sekarang adalah golongan muda dan mereka komited dengan kerja mereka sebagai wakil rakyat," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan JKM kepada golongan miskin dalam satu majlis di Pejabat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Selayang Indah di sini hari ini.

Kira-kira 80 orang penerima hadir pada majlis itu, manakala bakinya akan menerima bantuan yang akan dihantar ke rumah mereka, kata Subahan.

Setiap penerima mendapat bantuan antara RM200 hingga RM300 setiap bulan, yang disampaikan setiap tiga bulan sekali.

Katanya lagi, pihaknya juga akan membantu pesakit daripada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan bantuan Tabung Pesakit Kronik Kementerian Kesihatan.

Katanya lagi, pihaknya juga akan melawat golongan miskin dari rumah ke rumah sepanjang bulan puasa nanti untuk menghulurkan bantuan berupa keperluan dapur dan sebagainya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya