Golongan Miskin Di Melaka Disaran Sertai Kobemas

Wednesday, August 18, 2010

MELAKA 17 Ogos - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta golongan miskin di negeri ini menyertai Koperasi Bela Masyarakat (KOBEMAS) bagi memperbaiki taraf hidup mereka.

Beliau berkata KOBEMAS yang baru dilancarkan 12 Ogos lepas akan menjalankan pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan tahap ekonomi keluarga miskin seterusnya membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Miskin tegar tidak ada lagi tetapi golongan miskin masih ada, sesiapa yang layak menerima bantuan kemiskinan tetapi tidak dapat sila jumpa wakil rakyat atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung masing-masing," katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Ihya Ramadan anjuran Tabung Haji (TH) pada hari Selasa.

Setakat ini, katanya terdapat kira-kira 21,000 orang di Melaka menerima pelbagai jenis bantuan kemiskinan termasuk ibu tunggal yang berjumlah RM58 juta setahun di mana 80 peratus daripadanya disumbangkan kerajaan persekutuan manakala baki 20 peratus daripada kerajaan negeri.

Pada majlis itu, seramai 200 orang yang kurang bernasib baik masing-masing menerima bantuan wang tunai RM500 dan hamper daripada TH bagi memudahkan mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba.

Ketua Pegawai Teknologi Maklumat TH, Mohd Yassin Tahir berkata bagi program tersebut TH memperuntukkan RM100,000 untuk disampaikan kepada golongan yang kurang bernasib baik di seluruh negara.

Mengenai keanggotaan TH di Melaka, beliau berkata setakat 29 Julai lepas, TH Melaka mencapai sasaran ahli baru sebanyak 42,000 orang.

Seorang penerima sumbangan, Madjelan Abu Bakar, 70, berkata beliau bersyukur mendapat sumbangan tersebut dan akan menggunakan wang itu untuk menguruskan belanja keluarganya pada Ramadan ini.

Suteris Noh, 45, yang kudung kaki kanan akibat dilanggar lori pada tahun 2006 berterima kasih kepada TH dan akan menggunakan wang itu untuk persiapan lima anaknya menyambut Aidilfitri. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya