Bangun Industri Rumpai Laut - Noh

Saturday, August 28, 2010

PUTRAJAYA 27 Ogos - Institut Penyelidikan Rumpai Laut Negara bakal ditubuhkan tahun depan bagi mengukuhkan pembangunan industri rumpai laut negara agar dapat bersaing di peringkat negara serantau.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, bagi tujuan itu kementerian akan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) melalui program pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi berkongsi kepakaran berkaitan industri itu.

''Penubuhan institut ini boleh memberi nilai tambah kepada penyelidikan yang sedang dijalankan di IPT yang telah pun mempunyai usahawan bersama mereka di samping kerjasama dengan pelabur luar.

''Dalam perancangan kajian ini, kita bukan setakat menanam rumpai laut malah membangunkan aktiviti-aktiviti hiliran dari pertanian ini yang memberi potensi besar dalam industri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama penyelidikan dan pembangunan rumpai laut antara Jabatan Perikanan dengan IPT awam.

Empat buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih dalam kerjasama penyelidikan itu.

Sebanyak RM15.1 juta diperuntukkan kepada empat buah universiti tersebut dalam bentuk geran bagi membangunkan kajian dan penghasilan produk berasaskan rumpai laut.

Noh berkata, program R&D itu juga akan mengenal pasti kawasan perairan lain di sepanjang rantaian nilai pengeluaran rumpai laut berbanding hanya tertumpu di Sabah.

"Kita akan mengenal pasti kawasan di Semenanjung seperti Langkawi, Pulau Pangkor dan Johor, selain di Sarawak untuk membangunkan industri ini," katanya.

dan memperbanyakkan pengeluaran spesiesnya berbanding dua sahaja di Sabah.

"Perairan di Sabah pula akan dijadikan Zon Industri Akuakultur Rumpai Laut yang diterajui oleh syarikat swasta untuk menyelaras semua aktiviti berkaitan seperti pengeluaran benih berkualiti, pengkulturan dan pemprosesan produk nilai tambah," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, pembangunan pertanian itu telah dibangunkan di kawasan seluas 20,000 hektar di Sabah dan bercadang untuk membuka lebih banyak kawasan di samping menambah tenaga kerja berbanding 1,200 pekerja sedia ada.

''Kementerian akan menggalakkan pembangunan projek-projek berkelompok berkonsepkan estet mini dalam kawasan zon tersebut yang akan melibatkan seramai 50 peserta bagi setiap 100 hektar kawasan," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya