Pendaftaran hak cipta dipercepat

Thursday, March 18, 2010


KUALA LUMPUR 17 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mempercepatkan proses pendaftaran hak cipta dan cap dagangan bagi membolehkan produk ciptaan tempatan terutamanya pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dilindungi daripada sebarang peniruan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, bagi mengatasinya, sebanyak 50 pemeriksa baru akan ditambah dan dilatih selain meningkatkan peralatan berteknologi tinggi yang akan dibangunkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).


Katanya, hasil perbincangan bersama pihak industri juga telah mencapai kata sepakat untuk mempercepatkan pindaan ke atas empat akta penting berkaitan hak cipta, cap dagangan, paten, dan reka bentuk perindustrian.

"Kita menyasarkan akta berkaitan hak cipta dan reka bentuk perindustrian akan dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Jun ini sementara cap dagangan dan paten pada November atau Disember.

"Bagi paten misalnya, tempoh pendaftaran akan dipercepatkan daripada 39 kepada 32 bulan sementara cap dagangan akan dikeluarkan dalam masa 12 bulan berbanding 18 bulan ketika ini menjelang 2012," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perundingan KPDNKK bersama Sektor Swasta Tahun 2010 - Isu Harta Intelek di sini hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe serta Pengarah Urusan MyIPO, Kamel Mohamad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pengambilan masa agak lama untuk sesuatu paten didaftarkan adalah disebabkan oleh peraturan antarabangsa yang mengkehendaki sesuatu ciptaan itu dipamerkan terlebih dahulu untuk sebarang bantahan.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian akan memperbanyakkan kursus kesedaran kepada pihak industri terutamanya PKS memandangkan pemahaman mereka mengenai kepentingan mempatenkan produk masih rendah.

Tambahnya, sepanjang 1986 hingga 2009, hanya 1,484 paten tempatan didaftarkan biarpun ia berupaya melindungi hak ciptaan sesuatu produk daripada diciplak.

"Masih ramai lagi yang tidak memahami mengapa produk mereka perlu dipatenkan.

"Ini kerana apabila mereka mengalami kerugian disebabkan pihak lain menciplak hasil ciptaan mereka, mereka tidak boleh membawa kes tersebut ke mahkamah," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya