RM15b bantu syarikat bermasalah

Monday, February 8, 2010

BUTTERWORTH 7 Feb. – Kerajaan menyediakan dana RM15 bilion untuk membantu syarikatsyarikat yang menghadapi masalah kewangan bagi membiayai projek mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (gambar) berkata, penyediaan dana melalui Tabung Insentif Kewangan Swasta (PFI) itu adalah sebahagian daripada pelan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).



Menurut beliau, usaha mewujudkan dana itu bertujuan memastikan syarikat yang menghadapi masalah kewangan dapat meneruskan projek mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Antara projek yang terlibat seperti pembinaan universiti, hospital dan perumahan serta pembuatan mesin yang pastinya memerlukan modal yang besar.

“Jadi melalui PFI, modal mungkin tidak lagi menjadi masalah untuk mereka dan semua projek yang dijalankan dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata demikian selepas merasmikan Hari Kerjaya dan Keusahawanan di Dewan Besar Sungai Dua di sini hari ini.

Pada majlis itu, Nor Mohamed turut melancarkan laman web Parlimen beliau iaitu www.normohamed.my bagi memudahkan penduduk di kawasan itu mengetahui aktiviti dan program yang dijalankan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, laman web sudah menjadi satu tuntutan seiring dengan perkembangan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan wajar dijadikan penghubung antara rakyat dan kerajaan.

Mengenai laman web beliau, Nor Mohamed berkata, ia akan membolehkan penduduk di kawasan itu menyalurkan segala bentuk aduan atau masalah dengan lebih mudah dan cepat.

“Ini adalah penting dalam meningkatkan kecekapan dan tahap perkhidmatan saya kepada rakyat. Saya harap penduduk di kawasan Tasek Gelugor menggunakan saluran alternatif ini dengan sebaik-baiknya,” katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya