Pelan Induk PKS akan dirangka

Saturday, February 13, 2010

PUTRAJAYA 12 Feb. – Satu pelan induk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh 2011 hingga 2020 akan dirangka bagi menyepadukan peranan sektor itu dalam Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dilancar tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelan induk itu akan menjurus kepada mewujudkan satu ekosistem yang boleh membantu kemajuan PKS secara menyeluruh.

‘‘Ia akan melihat kepada segala keperluan PKS dari segi kewangan, pembinaan kapasiti, sokongan logistik dan keperluan lain dalam sektor itu.

‘‘Ini bagi membolehkan sesebuah syarikat kecil berkembang menjadi syarikat yang berjaya di peringkat domestik dapat melangkau ke peringkat serantau dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan Ke-10 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Menurut Perdana Menteri, pertumbuhan tahunan PKS di negara ini berjaya melangkau lebih tinggi berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 9.2 peratus.

‘‘Majlis ini juga mengambil kira bahawa dari segi sumbangan PKS kepada KDNK kira-kira 32 peratus dengan pembangunan keseluruhannya sebanyak 99.2 peratus,” kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sektor perkhidmatan merupakan segmen paling maju dalam PKS selain pertanian dan pembuatan yang turut akan diberikan perhatian dalam pelan induk berkenaan.

Najib berkata, kerajaan juga akan melihat semula soal kemudahan pinjaman yang diperlukan oleh usahawan kecil dan sederhana.

‘‘Salah satunya ialah kemudahan khidmat nasihat yang disediakan oleh Bank Negara kepada mereka yang sukar mendapat pembiayaan.

‘‘Jadi saya sarankan syarikat PKS yang tidak mendapat pinjaman agar menggunakan khidmat kaunseling kerana ini membolehkan mereka berhubung dengan bank untuk dipertimbangkan kemudahan dana,” katanya.

Sementara itu Najib berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga akan mengkaji tentang keperluan dana kepada PKS.

‘‘Kita akan umumkan bila sampai masanya nanti,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelan induk berkenaan, Najib berkata, ia turut merangkumi soal bantuan eskport selain akan mengkaji semula definisi PKS.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memberikan fokus kepada konsep pertumbuhan dalam PKS yang menekankan inovasi dan teknologi baru.

‘‘Kita juga setuju supaya dalam sistem pendidikan terutama di peringkat pengajian tinggi seperti politeknik dapat diwujudkan latihan keusahawanan termasuk pengurusan PKS.

‘‘Ini amat penting kerana kalau kita tidak mempunyai kemampuan uruskan perusahaan kecil walaupun mendapat dana, perusahaan kita tidak mungkin berjaya,” katanya.

Terdahulu, majlis itu meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (PSMB) bagi menyelaras latihan dan pembangunan modal insan PKS. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya