Pelaburan China di Bintulu bukti keyakinan terhadap Malaysia

Wednesday, February 10, 2010


Najib Tun Razak bersama Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Pengarah GIIG Holdings Sdn. Bhd., Shahrir Shariff (tiga dari kanan) dan Naib Presiden Chalco, Zhi Hui (dua dari kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sarawak Smelter di Pullman Lakesidem, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 9 Feb. - Pelaburan China dalam projek peleburan aluminium di Bintulu, Sarawak merupakan manifestasi keyakinan republik itu untuk membuat satu pelaburan besar di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia memberi isyarat amat positif kepada suasana dan iklim pelaburan di Malaysia sekali gus menandakan ekonomi negara telah pulih.

''Saya berharap tahun ini merupakan tahun pemulihan ekonomi dan banyak lagi pelaburan dari luar negara akan mengalir ke negara kita.

''Projek peleburan itu memberi satu rangsangan kuat kepada projek pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

''Saya percaya industri yang menggunakan tenaga yang mendatangkan pendapatan serta berteknologi tinggi boleh ditempatkan di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian bersama antara GIIG Holdings Sdn. Bhd. dengan Aluminium Corporation of China Limited (Chalco) bagi membangunkan projek peleburan aluminium di Taman Industri Samalaju, Bintulu Sarawak, di sini hari ini.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; wakil Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Menurut Najib, projek yang bernilai AS$1 bilion (RM3.4 bilion) itu dijangka dimulakan tahun ini dan bakal siap antara dua hingga dua tahun setengah.

Dalam pada itu, Pengarah GIIG, Shahrir Shariff berkata, komitmen dan sokongan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak memberi keyakinan kepada syarikat terbabit bagi membangunkan projek tersebut.

Naib Presiden Chinalco iaitu pemegang syarikat Chalco, Zhang Chengzhong pula berkata, pembangunan projek kerjasama itu akan memberi kebaikan teknikal dan pasaran untuk mengguna pakai sumber tenaga tempatan.

''Pembangunan projek ini memberi peluang kepada Chalco untuk menyertai pembangunan sumber mineral serta industri berkaitan di Malaysia.

''Ia sekali gus meningkatkan tahap ekonomi di Sarawak," katanya.

Pembangunan projek peleburan aluminium di Sarawak itu merupakan idea Dr. Mahathir pada 2002 bertujuan menggunakan lebihan tenaga dari projek Bakun sekali gus memenuhi peningkatan permintaan industri aluminium di Asia.

Projek tersebut bakal membuka 2,100 peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk Sarawak. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya