Majukan segera Kampung Baru

Monday, February 8, 2010



DUA kanak-kanak ini antara generasi baru yang mengharapkan perubahan Kampung Baru bagi menjamin taraf hidup keluarga mereka lebih baik dari sekarang sejajar dengan pembangunan di sekeliling kampung tersebut.



KUALA LUMPUR 7 Feb. - Hasrat kerajaan mahu membangunkan kawasan Kampung Baru harus dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya dengan kata-kata sahaja.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM), Datuk Kamarudin Kachar berkata, pembangunan semula kawasan Kampung Baru sepatutnya dilakukan sejak 50 tahun lalu.



"Kampung Baru merupakan lambang kaum Melayu, justeru pembangunan kawasan itu secara langsung turut memberikan nafas baru kepada kita.

"Usaha kerajaan ini amat tepat bagi memastikan kaum Melayu tidak terus ketinggalan, mundur dan 'melepek' berbanding kaum-kaum lain di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mahu membangunkan semula Kampung Baru dan pada masa sama memastikan penduduk serta pemilik tanah tidak perlu berpindah.

Najib berkata, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan baru selepas mendapat persetujuan mereka.

Jelas Perdana Menteri, kerajaan juga bercadang mewujudkan sebuah badan khas dikelolakan oleh badan amanah kerajaan tanpa penyertaan swasta supaya penduduk Kampung Baru yakin dengan pembangunan yang dijalankan itu demi kepentingan mereka.

Kamarudin menambah, jika kerajaan berjaya melaksanakan program pembangunan Kampung Baru tersebut, kepercayaan kaum Melayu terhadap kerajaan pasti akan meningkat.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, apabila Kampung Baru berjaya dibangunkan, ia menjadi lambang kebangkitan kaum Melayu.

"Kampung Baru akan menjadi pusat bagi segala kegiatan orang Melayu dari segi ekonomi, kebudayaan, agama, politik dan sosial," katanya.

Justeru, Ibrahim amat berharap ia menjadi kenyataan kerana kaum Melayu telah lama ketinggalan dalam pelbagai aspek.

"Kita ada China Town dan Little India oleh itu Kampung Baru boleh dijadikan sebagai Malay Centre bagi segala bidang yang dapat memajukan orang Melayu," katanya.

Sementara itu Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar berkata, usaha kerajaan untuk membangunkan kampung berkenaan dapat membangunkan kaum Melayu secara keseluruhannya.

"Ia sekali gus dapat meningkatkan nilai hidup masyarakat Kampung Baru.

"Selain itu, ia merupakan langkah pertama kerajaan untuk membangunkan perkampungan Melayu yang memiliki nilai sejarah yang tinggi," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya