Usahawan Bumiputera tetap dibela

Friday, January 22, 2010

Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman di New Delhi


NAJIB menerima kunjungan Setiausaha Agung Parti Kongres India, Rahul Ghandi, semalam.

Pelbagai jabatan, agensi khusus hulur bantuan: PM

KERAJAAN belum berhasrat mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tanggungjawab menjaga kepentingan usahawan Bumiputera kini dilaksanakan oleh pelbagai jabatan dan agensi khusus bagi memastikan kepentingan mereka sentiasa diberi keutamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata rakyat Bumiputera tidak perlu bimbang kerana pelbagai agensi seperti Mara dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) memang dipertanggungjawabkan bagi membangunkan dan meneruskan agenda membela usahawan Bumiputera.

"Walaupun tidak ada Kementerian Pembangunan Usahawan, ada agensi untuk membangunkan usahawan Bumiputera ditempatkan di kementerian lain seperti Mara di Kementerian Luar Bandar.

"Seorang Naib Presiden Umno (Menteri Pembangunan Luar) ditugaskan di situ. Jadi, tanpa kementerian (Kementerian Pembangunan Usahawan) ini pun agenda mewujudkan usahawan Bumiputera masih diteruskan.

"Kita juga ada instrumen baru seperti Ekuinas yang ditugaskan untuk membangunkan usahawan dan syarikat Bumiputera yang berpotensi. Kita tidak lupakan agenda ini...cuma ia disesuaikan dengan keadaan semasa," katanya di sini, semalam.
Ekuinas adalah entiti pengurus dana ekuiti swasta berkaitan kerajaan untuk mewujudkan gagasan syarikat Malaysia yang dapat berdaya saing hingga ke peringkat global dan pada masa sama memastikan penyertaan ekonomi Bumiputera yang lebih kukuh dan mapan.

Menerusi pelaburannya, Ekuinas memainkan peranan penting memperkasakan penyertaan ekonomi Bumiputera dan pada masa sama, membina perkongsian tulen di antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera, sekali gus bakal memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat serta ekonomi negara.

Baru-baru ini enam pertubuhan Melayu meluluskan resolusi menuntut kerajaan mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) bagi menjamin kepentingan dan masa depan usahawan Bumiputera.

Resolusi diluluskan pada Forum Usahawan Melayu Kini di Persimpangan: Digugat dan Digigit, anjuran bersama Gabungan NGO Usahawan Melayu, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM) serta Koperasi Ukhuwah dan Komuniti Bukuonline. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya