RM20j projek bazar, kedai wakaf

Wednesday, January 20, 2010

PUTRAJAYA 19 Jan. – Sebanyak RM20 juta akan dibelanjakan bagi membangunkan Bazar Wakaf Majlis Agama Islam Negeri dan Kedai Wakaf Rakyat (Wakaf Mart) di seluruh negara tahun ini.

Projek itu dilaksanakan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama majlis agama Islam negeri-negeri di kawasan masjid terpilih dan tanah wakaf yang strategik.

Sehingga kini, sebanyak 44 masjid di seluruh negara dikenal pasti bagi pelaksanaan projek bazar wakaf yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Azri Ahmad berkata, bazar wakaf adalah ruang niaga tiga hingga lima unit dengan keluasan kira-kira 15 x 10 meter yang didirikan di dalam kawasan masjid.

Katanya, ia memberi peluang kepada usahawan Islam, golongan fakir dan asnaf yang berdaya maju meraih pendapatan dengan menjalankan perniagaan pada kadar sewa yang murah.

``Konsep bazar ini boleh dilihat di Masjid Amru Ibni Al-As Bandar Baru Sentul yang telah beroperasi dan memberi manfaat kepada orang ramai.

``Projek ini akan dilaksanakan di 44 masjid di seluruh negara bakal memberikan kesan yang besar kepada ekonomi umat Islam.

``Ia juga adalah satu usaha untuk mengimarahkan masjid yang selama ini lebih banyak tertumpu kepada ibadah khusus,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Yayasan Waqaf Malaysia yang ditubuhkan hasil resolusi Konvensyen Wakaf Kebangsaan pada 12 hingga 14 September 2006 dan dirasmikan pada 14 Februari 2008 bergerak membangun dan memajukan harta wakaf di negara ini.

Ia berhasrat menjadi sebuah badan amal yang terulung dalam membangunkan aset-aset wakaf sebagai pemacu sosio ekonomi ummah.

Selain wakaf hartanah, YWM turut mempromosikan wakaf tunai sebagai sumber dana utama yang mana lebih ramai umat Islam terutamanya yang tidak memiliki hartanah boleh mengambil bahagian.

Azri memberitahu, peruntukan RM20 juta yang diterima oleh YWM itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2010, tahun lalu.

Katanya, peruntukan itu dipohon YWM melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) bertujuan melaksanakan projek kecil berimpak besar kepada masyarakat.

Mengenai Wakaf Mart, beliau menjelaskan, ia adalah kedai runcit yang menyediakan barangan halal keperluan harian dengan harga yang berdaya saing.

Tambahnya, Wakaf Mart akan menjadi tumpuan umat Islam kerana ia bukan saja menawarkan harga yang kompetitif tetapi diyakini kerana semua bekalan akan dipastikan halal.

Menurutnya, Wakaf Mart akan didirikan kawasan masjid atau di atas tanah wakaf yang strategik.

``Kajian kesesuaian lokasi akan dilaksanakan bagi memastikan ia meliputi kawasan kepadatan penduduk tinggi, akses ke jalan utama atau pengangkutan awam serta jauh daripada pasar raya besar,” katanya.

Azri berkata, Wakaf Mart akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat selepas beberapa isu utama seperti sumber bekalan atau pengilang dan tawaran harga dikenal pasti. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya