Rangsang saiz pelaburan swasta

Saturday, January 30, 2010

KERAJAAN bercadang menukar status sekurang-kurangnya 15 hingga 17 syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan (MoF) sebagai syarikat persendirian bertujuan bagi meningkatkan pelaburan sektor swasta.

LANCAR...Ahmad Husni (kanan) bersama Ahmad Zukri melancarkan cawangan BIMB yang ke-100, semalam.
LANCAR...Ahmad Husni (kanan) bersama Ahmad Zukri melancarkan cawangan BIMB yang ke-100, semalam. 
 
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata buat masa ini, kerajaan mengenal pasti beberapa syarikat yang dimiliki MoF untuk disenaraikan di Bursa Malaysia atau dijadikan syarikat persendirian.

Katanya, matlamat utama kerajaan berkaitan cadangan itu untuk meningkatkan saiz pasaran.

“Kerajaan mungkin akan menukar syarikat berkenaan sama ada menerusi pemindahan langsung atau penyenaraian ke pasaran saham. “Bagaimanapun, kerajaan belum ada mekanisme untuk melaksanakan inisiatif berkenaan. “Matlamat utama sekarang ialah meningkatkan saiz pasaran, bermakna kita perlu mempunyai tawaran saham awam permulaan (IPO) yang baru.

“Justeru, kami melihat kemungkinan mengenainya dan perkara itu dikaji kementerian,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. Terdahulu, Husni melancarkan cawangan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yang ke-100 di Damansara.

Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat. Menurutnya, proses penyenaraian dan penswastaan itu dipercayai menjadi antara langkah diambil kementerian bagi memastikan ekonomi negara berkembang pada kadar lima peratus tahun ini.

Mengenai pertumbuhan ekonomi tahun ini, Ahmad Husni berkata, Malaysia yakin mencapai pertumbuhan lima peratus.

Beliau berkata, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang positif dijangka berlaku menjelang suku terakhir 2009 selepas tiga suku berturut-turut mengalami penguncupan semasa tahun berkenaan. - Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya