PNM Akan Perluas Sudut Membaca 1Malaysia Di Perhentian Bas

Monday, January 11, 2010

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bercadang memperluaskan lagi kempen 'Program Membaca 1Malaysia: Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan' dengan menyediakan sudut bacaan di beberapa perhentian bas tidak lama lagi, kata Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar.

Beliau berkata pihaknya sedang dalam perbincangan dengan pihak pengurusan perhentian bas terpilih di sekitar Lembah Klang bagi melaksanakan tujuan itu di samping mengadakan tinjauan bagi memastikan lokasi yang sesuai untuk diletakkan sudut bacaan.

"Sudut bacaan ini kita akan letak di perhentian-perhentian bas sejak sudut bacaan yang kita lancarkan di gerabak-gerabak kereta api pada 7 Dis lepas mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para penumpang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan buku kepada PNM oleh GB Explorer Sdn Bhd dan Gemilang Publishing untuk 'Program Membaca 1Malaysia: Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan' di sini Isnin.

Katanya dalam meneruskan usaha memupuk semangat membaca di kalangan rakyat Malaysia, PNM turut menghantar sukarelawan ke hospital-hospital bagi program membaca bersama-sama pesakit.

Pada majlis itu Gemilang Publishing menyumbangkan sebanyak 750 buah buku yang mengandungi bahan bacaan untuk kanak-kanak dan dewasa dalam bahasa Malaysia dan bahasa Mandarin manakala GB Explorer menyumbangkan kira-kira 500 naskah majalah perniagaan berbahasa Mandarin setiap bulan.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Heng Seai Kei, Ketua Pegawai Eksekutif GB Explorer Sdn Bhd Dr Albert Tan, Ketua Editor Gemilang Publishing Lee Yoke Chan dan Pengurus Besar Antarabandar KTMB Moh Zain Taha.

Sementara itu, Heng berkata usaha yang dilakukan oleh dua syarikat penerbitan itu perlu diikuti oleh pihak lain khususnya dalam memberi sumbangan bahan bacaan agar program ini terus mendapat sambutan daripada orang ramai.

Katanya beliau juga berharap lebih banyak syarikat pencetakan dan penerbitan terutamanya Bahasa Inggeris dan Tamil akan tampil untuk turut serta dalam program sumbangan ini.

Dalam perkembangan lain, Heng yang merupakan Ketua Penerangan MCA meminta orang ramai dan pihak media tidak terlalu fokus kepada pemilihan baru MCA lagi.

Katanya perkara tersebut jika dibiarkan berlarutan hanya akan memburukkan keadaan parti dan tidak memanfaatkan sesiapa pun.

"Pada masa ini, tiada perkembangan baru berhubung pemilihan baru MCA. Kalau terdapat 21 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) meletakkan jawatan, baru boleh saya ulas," katanya.

Mengulas sama ada cara lain untuk menyelesaikan krisis parti berkenaan dan mengembalikan kepercayaan masyarakat Cina, Heng berkata semua pemimpin MCA patut meletakkan perselisihan mereka di belakang dan teruskan perjuangan ke depan demi kebaikan parti ini.

"Pemimpin MCA harus melupakan pertikaian antara satu sama lain dan mula bekerjasama untuk berkhidmat kepada masyarakat di negara ini.

"Sehubungan itu, saya yakin aktiviti-aktiviti yang memanfaatkan orang ramai ini akan mengembalikan kepercayaan orang Cina kepada kita," katanya. -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya