Penguasaan Ilmu Dan Bahasa Penting - Dr Mahathir

Monday, January 25, 2010

SINTOK: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penguasaan ilmu sains dan matematik akan menjamin setiap bidang ilmu yang berkembang setiap hari dapat dikuasai dan negara tidak akan ketinggalan dalam arus kemajuan global.



Katanya untuk mencapai matlamt itu, menguasai lebih dari satu bahasa selain bahasa kebangsaan, menjadi kunci kejayaan sesebuah negara.

"Banyak ilmu baru berasaskan sains berkembang setiap hari. Banyak darinya ditulis dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris. Jika rakyat hendak belajar mereka mesti menguasai lebih banyak bahasa.

"Ilmu dan bahasa juga berkait dengan ekonomi. Jika ketinggalan kedua-duanya, kita tidak mampu mengejar negara yang semakin maju," kata Dr Mahathir sewaktu menyampaikan ucaptama pada Kolokium Pendidikan Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Kolokium itu bertemakan 'Pendidikan Pada Masa Hapadan' dianjurkan bersama oleh Persatuan Kecemerlangan Pendikan Kedah (Cerdik), UUM, Jabatan Pelajaran Kedah dan Majlis Guru Besar Kedah.

Dr Mahathir berkata fenomena yang berlaku sekarang di mana ramai bangsa berhijrah dan berlaku secara timbal-balik kerana perkembangan perhubungan menjadi semakin mudah dan sukar pula untuk dihalang.

"Masa depan semua negara akan terdiri daripada rakyat pelbagai bangsa. Contohnya, Amerika sendiri tidak dapat menghalang kemasukan kaum Hispanik. Ini bermakna pengaruh ilmu dan jenis pendidikan masa depan ditentukan mereka," katanya.

Menurut Dr Mahathir, hubungan ekonomi dengan bangsa asing akan lebih berkesan dan mudah berkembang melalui pengetahuan dan penguasaan bahasa yang luas.

Ketika menjawab soalan peserta yang menyentuh soal imbuhan, gaji dan kenaikan pangkat untuk memotivasikan pendidik, beliau berkata tidak akan ada pihak yang akan berpuas hati dengan ganjaran yang diterima.

"Secara perbandingan, saya rasa 100 juta rakyat Indonesia akan berhijrah ke Malaysia jika diberi peluang kerana rakyat negara ini lebih bernasib baik dalam banyak perkara," kata Dr Mahathir.

Katanya kualiti graduan yang dilahirkan oleh universiti tempatan masih memuaskan yang terbukti terdapat ramai pelajar asing menuntut di Malaysia.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata sistem pendidikan negara ini masih relevan tetapi nilai-nilai mulia dan pembentukan karektor perlu dititikberatkan dalam sistem pendidikan dari awal bagi melahirkan rakyat yang berdisplin.

"Ibu bapa sekarang tidak banyak masa untuk anak-anak kerana bekerja. Sebab itu didikan yang melebihkan nilai agama sangat penting supaya kelak mereka tidak menggunakan ilmu untuk tujuan yang merosakkan," kata Dr Mahathir.

Katanya pengajaran pembentukan karektor menjadi semakin penting untuk memupuk nilai, disiplin diri dan timbang rasa. - mStar online

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya