Najib yakin penembusan jalur lebar capai sasaran

Sunday, January 31, 2010

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak yakin sasaran penembusan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar pada kadar 50 peratus menjelang akhir tahun ini dapat dicapai.

Perdana Menteri berkata, setakat ini, usaha kerajaan ke arah itu sudah memberi hasil memberangsangkan apabila berjaya mencatat penembusan jalur lebar isi rumah pada tahap 31.7 peratus akhir tahun lalu, berbanding sasaran 30 peratus.

Berikutan itu, katanya, kerajaan akan terus mempertingkatkan usaha dengan melaksanakan pelbagai strategi bagi membudayakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya menjadi sebahagian gaya hidup rakyat.

“Kita berada di landasan betul untuk capai sasaran itu akhir tahun ini dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Majlis Ekonomi akan memantau perkembangannya,” katanya selepas pelancaran Digital Pekan 1Malaysia, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Khalid Ramli.

Pelancaran Digital Pekan 1Malaysia sebagai ‘Daerah Digital’ pertama di negara ini adalah satu daripada inisiatif HSBB dan ICT dalam agenda Jalur Lebar Kebangsaan yang bermatlamat menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada rakyat.

Tujuh teras yang akan dilaksanakan bagi mewujudkan Digital Pekan merangkumi penyediaan infrastruktur dan akses, aplikasi dan pendidikan serta kandungan komuniti.

Teras itu ialah mewujudkan pusat sehenti maklumat ICT/jalur lebar, menyediakan komputer riba lengkap dengan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada penduduk terpilih, menyediakan perkhidmatan ‘wireless Pekan’ iaitu capaian percuma kepada internet tanpa wayar untuk jangka masa tertentu.

Program ‘Virtual Pekan Memoria’ iaitu program galakan pembangunan perisian seperti pertandingan blog, bercerita digital, Laman Komuniti Pekan, promosi dan kempen kesedaran menggalakkan penggunaan internet dan penyediaan serta pelaksanaan perkhidmatan e-Kerajaan iaitu e-Pekan. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya