Mara Rancang Lahir Usahawan Jutawan Menerusi 'Groom Big'

Tuesday, January 26, 2010

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan melaksanakan program 'Groom Big' yang bermatlamat melahirkan usahawan bergelar jutawan, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Muhamad hari ini.

Beliau berkata, program itu yang dijangka dilaksana sebelum akhir tahun ini akan mensasarkan usahawan sedia ada dan juga usahawan baru yang berpotensi.

"Saya tidak boleh dedahkan lagi maklumat terperinci mengenai program ini tetapi antara yang akan kita buat ialah mengadakan kursus bagi usahawan-usahawan itu untuk memajukan lagi perniagaan mereka," katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan agensi itu di sini hari ini.

Ibrahim yang memegang jawatan itu mulai 1 Januari lepas berkata, beliau juga merancang untuk memastikan lebih ramai pelajar tajaan Mara melanjutkan pengajian di luar negara.

"Kita perlu meletakkan sasaran pelajar tajaan Mara untuk memasuki universiti tersohor di seluruh dunia seperti Harvard, Cambridge dan Oxford, dan seterusnya menyarankan kepada pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dan kedoktoran, selain mengikuti kursus sijil-sijil profesional," katanya.

Bagi meningkatkan prestasi Mara secara keseluruhan, Ibrahim berkata, pihaknya sedang meneliti kemungkinan melantik konsultan untuk menilai agensi itu daripada semua aspek.

"Dengan cara ini kita dapat lihat hala tuju Mara seterusnya," kata beliau yang berazam untuk memelihara kualiti agensi yang ditubuhkan pada 1966 itu. - mStar online

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya