FAMA Perak sasar RM15 juta jualan pasar tani

Sunday, January 24, 2010

IPOH 23 Jan. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak mensasarkan jualan di pasar tani di negeri ini akan meningkat kepada RM15 juta tahun ini berbanding RM13 juta pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah FAMA negeri, Mukram Faizal Mustaza berkata, sasaran itu berikutan sebanyak lima pasar tani baru akan dibuka pertengahan tahun ini.

"Menjelang pertengahan tahun ini, lima lagi pasar tani akan dibuka di Batu Gajah, Manjung, Parit, Kuala Kangsar dan satu lagi lokasi di daerah Kinta yang sedang dikenal pasti.

"Ini menjadikan jumlah pasar tani di Perak meningkat kepada 25 kawasan. Kita yakin dengan pertambahan ini, jualannya juga akan meningkat.

''Selain itu, ia diharap turut memberi kesempatan kepada orang ramai mendapatkan barangan segar dengan harga yang amat berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Jom Sarapan Pagi FAMA di Pasar Tani Kampung Simee, di sini hari ini.

Mengulas mengenai program tersebut, ujar Mukram Faizal, ia bertujuan menggalakkan usahawan-usahawan makanan untuk berniaga di pasar tani dengan memperkenalkan konsep gerai makan.

Program yang diadakan sempena 25 tahun pembukaan Pasar Tani Kampung Simee itu akan berlangsung pada setiap hari Sabtu selama sebulan bermula hari ini sehingga 27 Februari ini.

Ia juga diharap mampu menarik lebih ramai pengunjung dengan menggalakkan orang ramai bersarapan selepas membeli barangan keperluan.

Menariknya kata Mukram Faizal, sepanjang program tersebut, pengunjung akan dapat menikmati sarapan pagi pada harga murah.

Selain itu, katanya, kempen promosi harga patut di setiap pasar tani yang diperkenalkan tahun lalu juga akan diteruskan bagi meringankan beban pengguna.

Kempen menekankan konsep jualan murah itu diadakan setiap bulan bagi membolehkan pengguna mendapatkan barang keperluan pada harga lebih rendah. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya