Produk Keluaran IKS Perlu Berkualiti Tinggi

Tuesday, January 19, 2010

SEREMBAN, 19 Jan (Bernama) -- Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini diminta menghasilkan produk yang bermutu tinggi memandangkan kerajaan telah pun mendapatkan tempat bagi memasarkan barangan mereka di pasaraya hypermarket antarabangsa, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Johari Baharum.

Beliau berkata kabinet sebelum ini telah membuat keputusan supaya 30 peratus daripada produk-produk yang dipasarkan di pasaraya di negara ini adalah produk bumiputera.

"Rangkaian hypermarket seperti Tesco, Giant, Carrefour ini adalah rangkaian antarabangsa dan jika produk-produk kita ini bermutu tinggi, kita juga boleh gunakan rangkaian ini untuk memasarkan produk kita di peringkat antarabangsa," katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Agro-Pemasaran 2010 di sini hari ini.

Katanya perkara itu tidak mustahil dicapai jika pengusaha IKS mementingkan kualiti produk, penjenamaan yang baik dan pembungkusan produk yang menarik sekaligus mampu bersaing dengan produk luar negara.

Johari berkata internet juga boleh dijadikan medium untuk memasarkan produk tempatan sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). --BERNAMA

Johaini 'terpikat' pada nanas sejak muda


Johaini Sarju (kiri) membantu pekerjanya memunggah nanas ke atas lori untuk dipasarkan di Kampung Semerah Darat, Semerah, Batu Pahat.


BATU PAHAT 18 Jan. - Dibesarkan dalam keluarga petani dan hidup susah membuatkan Johaini Sarju, 35, nekad untuk mengubah nasib keluarga dengan terus berbudi kepada tanah kerana yakin usahanya itu tidak akan sia-sia.

Seawal usia 16 tahun, Johaini sudah mula membantu ayahnya menanam nanas di kebun mereka di Kampung Semerah Darat, Semerah dekat sini dan terus menjadi petani selepas tamat tingkatan lima tanpa rasa ragu atau ingin bekerja makan gaji di kilang.

Malah anak muda itu tidak pernah terfikir untuk merantau mencari pekerjaan lain kerana yakin sektor pertanian mampu mendatangkan pendapatan tetap dan lumayan sekiranya diusahakan bersungguh-sungguh.

Melihat kegigihan dan ketekunan orang tuanya membanting tulang menanam nanas, Johaini bertekad untuk berjaya menjadi petani dan peraih nanas suatu hari nanti.

Tiga tahun lalu, dia mula menyewa tanah orang kampung yang terbiar dan berjaya menanam sehingga 300,000 pokok nanas Moris di tanah seluas 12 hektar di sekitar kawasan Semerah dan kini tanah yang disewanya melebihi 40 hektar.

Pengalaman ibu bapanya menanam nanas sejak lebih 20 tahun lalu menjadi aset penting untuk dia menjadi petani berjaya apatah lagi sentiasa mendapat sokongan padu daripada isteri, Azlina Enndi, 31, serta ahli keluarga yang lain.

Kini usahanya mampu dibanggakan dan dengan dibantu 16 pekerja, Johaini turut membekalkan kira-kira 10,000 biji nanas ke Kuala Lumpur pada setiap hari kecuali Jumaat.

Menurutnya, selain nanas jenis Moris dan Josephine yang berbuah besar dan manis, pihaknya juga menanam nanas merah yang sering digunakan masyarakat Cina untuk sesuatu keraian.

Johaini mengakui hasil yang diperolehinya cukup untuk membayar gaji pekerja, lori, sewa dan kehidupan mereka enam beranak dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan. - Utusan

Sektor pertanian diperkasa

Monday, January 18, 2010

BACHOK 17 Jan. - Pembangunan sektor pertanian yang melibatkan usaha meningkatkan taraf hidup petani akan terus diperkasakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, sektor itu antara yang dijangka diberi peruntukan besar kerana majoriti rakyat di luar bandar bergantung hidup kepada pertanian.

Beliau yakin dengan prinsip kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat, sektor itu antara yang akan diberi peruntukan terbesar menerusi Bajet RMK-10 pada 10 Jun nanti.

Menurutnya, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri sedang merangka pelan tindakan yang terperinci untuk memperkasakan sektor pertanian dengan pendekatan lebih strategik.

"Ia mungkin turut merangkumi penyediaan peruntukan pelbagai bentuk subsidi seperti baja padi, baja kapur, racun, upah tenggala, merata tapak sawah dan skim insentif peningkatan hasil sehingga RM2,500 setiap hektar seperti dinikmati oleh petani sekarang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan Kerajaan Persekutuan di Tapak Projek Tanaman Cili Fertigasi Kampung Beoh, dekat sini petang semalam.

Pada majlis berkenaan, lima peserta projek fertigasi cili menerima bantuan berjumlah RM279,000 bagi penyelengaraan ladang dan pengurusan tanaman, penyampaian subsidi harga padi kepada 248 petani dan skim pemilikan jentera kecil kepada 60 petani di kawasan berkenaan. - Utusan

Jemput CEO terbaik lonjak pelaburan

IPOH 17 Jan. – Kerajaan akan menjemput Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat terkemuka dunia sebagai tetamu dalam beberapa acara bertaraf antarabangsa di negara ini bagi melonjakkan bidang pelaburan.


Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, buat permulaan, tokoh-tokoh korporat itu akan dijemput menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang pada Mac ini.

Beliau berkata, tujuan mereka datang bukan sebagai pelancong semata-mata tetapi akan diberi peluang meneroka bidang pelaburan baru di negara ini.

“Mereka juga akan diberi peluang bertemu dengan menteri-menteri serta Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bagi mengadakan perbincangan mengenai peluang pelaburan.

“Ini langkah terbaru kerajaan dalam usaha menarik pelaburan asing. Kita akan gunakan program-program tertentu secara maksimum bagi tujuan meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra sempena Sambutan Jubli Perak dan pelancaran Tabung Pembinaan Bangunan Pejabat Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta di sini hari ini.

Husni berkata, bagi memastikan hasrat berkenaan tercapai, kementerian telah meminta Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengenal pasti 20 hingga 30 CEO terbaik dunia.

Jelas beliau, kumpulan itu akan dipilih berdasarkan senarai 500 syarikat terkemuka dunia yang disenaraikan majalah Fortune. - Utusan

Sektor Pertanian Tidak Diabai Dalam RMK10 - Awang Adek

Sunday, January 17, 2010

BACHOK, 17 Jan (Bernama) -- Sektor pertanian tidak akan diabai, sebaliknya akan terus diperkasa dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang akan dibentang 10 Jun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata sektor itu antara yang dijangka diberi peruntukan terbesar kerana sebahagian besar rakyat di luar bandar bergantung hidup kepada pertanian.

"Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sedang merangka pelan terperinci mengenainya," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan kerajaan di Kampung Beoh, di sini, pada hari Ahad.

Beliau berkata ini termasuk menyediakan peruntukan untuk pelbagai bentuk subsidi seperti baja padi, baja kapur, racun, upah tenggala, merata tapak sawah dan skim insentif peningkatan hasil sehingga RM2,500 setiap hektar.

"Ini tidak termasuk skim pemilikan jentera pembajak dan peralatan ladang tidak melebihi RM10,000 yang separuh daripada harga ditanggung oleh kerajaan," katanya yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok.

Sementara itu Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan Mohd Salim Sulaiman ketika berucap pada majlis itu, berkata LPP negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta tahun ini bagi menjayakan skim pemilikan jentera sendiri. -- BERNAMA

LKIM Wujud Ladang Laut Tingkat Pendapatan Nelayan

PASIR PUTEH, 17 Jan (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membelanjakan kira-kira RM100,000 untuk membina sebuah "ladang laut" di kawasan Laut Cina Selatan bagi meningkatkan pendapatan 2,000 nelayan tradisional di Kelantan.

Timbalan Pengarah LKIM Kelantan Muhamad Yusuf berkata ladang terletak kira-kira lima batu nautika dari pantai Kelantan itu membabitkan pembinaan tukun konkrit di kawasan seluas satu hektar.

"Nelayan Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh kini boleh menangkap ikan di kawasan itu," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan di Tok Bali di sini, pada hari Ahad.

Seramai 232 nelayan yang menganggotai Persatuan Nelayan Semerak, Pasir Puteh menerima elaun masing-masing sebanyak RM200 yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman, dan majlis pagi ini turut dihadiri oleh pengerusi persatuan itu Datuk Mohd Jelani Jaafar.

Muhamad Yusuf berkata ladang berkenaan juga dijangka mampu menarik kemunculan pelbagai spesies ikan, termasuk ke kawasan sekitarnya untuk bermain dan membiak pada skala yang lebih besar.

Menurutnya sebelum ini nelayan terpaksa menangkap ikan di merata tempat atau membina tukun sendiri daripada batang buluh dan daun kelapa dengan perbelanjaan yang besar.

Beliau berkata pihak LKIM sentiasa memantau ladang itu dengan mendapat khidmat juruselam sekurang-kurangnya sekali dalam setahun bagi memastikan tiada pencemaran dan tiada pukat hanyut yang tersangkut yang boleh menghalang ikan daripada membiak. -- BERNAMA

RM100 juta tingkat mutu Tadika Kemas

Kerajaan pastikan kanak-kanak di luar bandar dapat asas pendidikan kukuh

JITRA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan lebih RM100 juta tahun ini bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan kemudahan di Tadika Kemas seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata usaha meningkatkan kemudahan itu selaras hasrat kerajaan memastikan Tadika Kemas dapat bersaing dengan tadika lain, termasuk swasta dalam menyediakan pendidikan peringkat awal untuk kanak-kanak luar bandar.

"Kerajaan mahu kanak-kanak khususnya di luar bandar mendapat akses peluang pendidikan awal yang berkualiti kerana kita percaya pendidikan prasekolah perlu diberi perhatian.

"Jika kanak-kanak ada asas kukuh dari segi ilmu, ia memudahkan mereka mencapai kejayaan pada peringkat rendah dan menengah.

"Selain membuka Tadika Kemas yang baru, peruntukan itu digunakan untuk menaik taraf kemudahan sedia ada dan membaiki kualiti pengajaran, termasuk alat bantuan mengajar.
"Langkah itu juga seiring saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan kualiti pendidikan prasekolah ditingkatkan, terutama di luar bandar," katanya pada majlis perjumpaan bersama waris murid Tadika Kemas di kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh di Kodiang, dekat sini semalam.

Shafie yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, berkata kementerian itu juga memperuntukkan RM7.3 juta untuk pembangunan kemudahan Tadika Kemas di seluruh negeri ini sepanjang tahun ini.

"Ia termasuk RM5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan dan peralatan supaya sistem pendidikan itu dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini ada 738 kelas Tadika Kemas di negeri ini dengan murid melebihi 18,000 orang pada tahun ini, berbanding lebih 17,000 tahun lalu. - Berita Harian

Pok Ya gigih ke laut walaupun kudung kaki


ZAKARIA dibantu penduduk kampung untuk ke laut menangkap ikan.

Cacat tak halang Zakaria jadi nelayan, cari rezeki

KUANTAN: Kegigihan warga emas, Zakaria Uda, 62, dari Kampung Kempadang, di sini sanggup turun ke laut mencari rezeki walaupun kudung kedua-dua kaki seharusnya menjadi teladan kepada masyarakat, terutama generasi muda.

Zakaria atau lebih mesra dipanggil 'Pok Ya Kudung' tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai alasan untuk menagih simpati, sebaliknya terus berdikari menampung perbelanjaan kehidupan seharian keluarganya.

Bapa kepada lapan anak itu masih sanggup ke laut saban hari selepas kedua-dua kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis. Beliau kehilangan kaki kanan kira-kira 10 tahun lalu, disusuli kaki kirinya lima tahun kemudian.

"Pada awalnya agak sukar bergerak kerana sudah biasa dengan dua kaki tetapi kata orang, 'alah bisa tegal biasa'," katanya sambil bertekad tidak mahu mengharapkan ihsan orang selagi kudrat masih ada.

Selalunya, Pok Ya akan ke laut seawal jam 7 pagi, rutin yang dilakukan sejak menjadi nelayan sepenuh masa pada usia 30-an lagi.
ZAKARIA memenuhi masa lapang menjahit pukat di rumahnya.

"Saya sudah biasa dengan laut sejak kecil kerana arwah ayah juga nelayan. Tak tahu mengapa tetapi saya begitu sukakan laut, kalau duduk di rumah tak buat apa-apa pun bosan juga," katanya yang pernah bekerja sebagai pemandu lori pada awal 1960-an hingga 1970-an.

Walaupun mempunyai pendapatan tetap ketika itu, hatinya tetap ingin ke laut menyebabkan beliau nekad berhenti kerja dan menjadi nelayan sepenuh masa pada 1973 dengan membeli bot gentian kaca dan peralatan menangkap ikan hasil duit gaji yang disimpannya setiap bulan sepanjang menjadi pemandu lori.

Bot dan peralatan itu masih digunakannya sehingga kini walaupun kian uzur dan kurang selamat, tetapi masih mampu membantu Pok Ya mendaratkan purata 30 hingga 40 kilogram ikan sehari jika cuaca baik dan laut kurang bergelora.

"Jika cuaca kurang baik, hasil tangkapan sekadar cukup untuk duit minyak bot saja, tetapi jika rezeki murah boleh dapat hingga 100 kilogram ikan sehari. Saya juga bersyukur kerana kerajaan bagi insentif pendaratan ikan, subsidi petrol dan diesel yang membantu meringankan beban nelayan," katanya.
Pada hari biasa, isterinya, Basariah Mohd Noor, 61, akan setia menemani Pok Ya menaiki bot usang meredah laut.

"Dalam keadaan begini, apalagi boleh saya buat jika tak turun ke laut. Sekurang-kurangnya dapatlah membawa pulang sedikit rezeki untuk keluarga. Jika tidak ke laut pada musim tengkujuh, saya lebih suka menghabiskan masa membuat pukat atau mengambil upah membaiki pukat," katanya.

Enam daripada lapan anak pasangan itu sudah berkeluarga dan tinggal berasingan, manakala dua lagi, Zulfazli, 22, dan Nurulhuda, 19, tinggal bersama mereka, malah anak lelakinya itu kadangkala turut membantu Pok Ya di laut.

"Nurulhuda masih belajar di Kolej Profesional Mara (KPM)," katanya sambil berseloroh tiada perasaan takut menyelubunginya sepanjang berada di laut kerana jerung tidak berselera dengan manusia tidak berkaki, manakala hentaman ombak pula hanyalah air laut yang bergulung. - Berita Harian

Kunjungan Najib usaha terbaru tarik modal UAE

ABU DHABI: Lawatan rasmi empat hari Datuk Seri Najib Razak ke Abu Dhabi mulai semalam mampu meningkatkan lagi hubungan diplomatik dan dagangan dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), terutama menarik kemasukan dana pembiayaan asing.

Duta Malaysia ke UAE, Datuk Yahaya Abdul Jabar, berkata kunjungan Perdana Menteri dilihat usaha terbaru Malaysia untuk menarik lebih banyak penanaman modal UAE, terutama dana pembiayaan asing berikutan banyak pelabur negara rantau Teluk beralih ke rantau Asean.

Yahaya berkata, pelabur UAE komited untuk mengalirkan modal kira-kira AS$2.7 bilion ke Malaysia dan dijangka beberapa memorandum (MoU) termeterai menerusi kunjungan Perdana Menteri kali ini.

“Serentak dengan dasar liberalisasi kewangan, kita berusaha meningkatkan pelaburan UAE dalam projek koridor pembangunan wilayah serta sektor kewangan, terutama perbankan Islam.

“Kita sedang mengenal pasti beberapa pelabur UAE, termasuk Abu Dhabi Islamic Bank dan National Bank of Abu Dhabi untuk mempertimbangkan operasi perbankan Islam di Malaysia.

“Selain itu, National Bank of Abu Dhabi sudah memohon mendapatkan lesen bank dagangan di Malaysia serta sedang menunggu keputusan Bank Negara dan Kerajaan Malaysia.
“Kita mensyaratkan bank mega yang ingin beroperasi di Malaysia peru menanam modal AS$1 bilion (RM3.5 bilion) untuk memperkukuhkan usaha menjadikan Kuala Lumpur hab kewangan antarabangsa, terutama perbankan Islam,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, kelmarin.

Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang singgah daripada lawatan rasmi ke Arab Saudi tiba di sini, malam tadi. Sempena lawatan rasmi ke UAE, Perdana Menteri dijadual berucap pada sidang pleno Sidang Puncak Tenaga Masa Depan Dunia di Dewan Pameran Kebangsaan Abu Dhabi. - Berita Harian

Langkah basmi kemiskinan

Friday, January 15, 2010

PUTRAJAYA 14 Jan. - Kerajaan akan menubuhkan kumpulan fokus bagi membasmi kemiskinan di peringkat daerah dalam tempoh terdekat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kumpulan itu melibatkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai daerah dan pegawai berkaitan.


"Penglibatan ahli politik, pegawai daerah dan kepimpinan masyarakat setempat akan menjadikan usaha mengenal pasti golongan sasaran lebih telus dan terbuka.

"Ini kerana mereka lebih mengetahui dan mendalami masalah kawasan sendiri berbanding kami di peringkat Pusat ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baru kepada warga Kementerian Luar Bandar dan Wilayah di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Hassan Malik dan Datuk Joseph Entulu Belaun.

Sehubungan itu, Mohd. Shafie berharap tidak akan ada lagi individu yang tercicir dan dalam masa yang sama senarai nama yang dikemukakan itu tidak dipertikaikan mana-mana pihak.

"Apa yang kita perlukan ialah mereka yang benar-benar berhak dan bukannya atas desakan politik.
"Kegagalan mengenal pasti mereka yang layak akan menyebabkan berlaku pembaziran dan tidak akan mencapai sasaran kita," katanya.

Pada masa sama, kata Mohd. Shafie, pihaknya juga telah menubuhkan kumpulan fokus bagi pembangunan Orang Asli.

"Ia berperanan melonjakkan pembangunan Orang Asli dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, keusahawanan, infrastruktur dan kesihatan," katanya. - Utusan

PNM Akan Perluas Sudut Membaca 1Malaysia Di Perhentian Bas

Monday, January 11, 2010

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bercadang memperluaskan lagi kempen 'Program Membaca 1Malaysia: Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan' dengan menyediakan sudut bacaan di beberapa perhentian bas tidak lama lagi, kata Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar.

Beliau berkata pihaknya sedang dalam perbincangan dengan pihak pengurusan perhentian bas terpilih di sekitar Lembah Klang bagi melaksanakan tujuan itu di samping mengadakan tinjauan bagi memastikan lokasi yang sesuai untuk diletakkan sudut bacaan.

"Sudut bacaan ini kita akan letak di perhentian-perhentian bas sejak sudut bacaan yang kita lancarkan di gerabak-gerabak kereta api pada 7 Dis lepas mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para penumpang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan buku kepada PNM oleh GB Explorer Sdn Bhd dan Gemilang Publishing untuk 'Program Membaca 1Malaysia: Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan' di sini Isnin.

Katanya dalam meneruskan usaha memupuk semangat membaca di kalangan rakyat Malaysia, PNM turut menghantar sukarelawan ke hospital-hospital bagi program membaca bersama-sama pesakit.

Pada majlis itu Gemilang Publishing menyumbangkan sebanyak 750 buah buku yang mengandungi bahan bacaan untuk kanak-kanak dan dewasa dalam bahasa Malaysia dan bahasa Mandarin manakala GB Explorer menyumbangkan kira-kira 500 naskah majalah perniagaan berbahasa Mandarin setiap bulan.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Heng Seai Kei, Ketua Pegawai Eksekutif GB Explorer Sdn Bhd Dr Albert Tan, Ketua Editor Gemilang Publishing Lee Yoke Chan dan Pengurus Besar Antarabandar KTMB Moh Zain Taha.

Sementara itu, Heng berkata usaha yang dilakukan oleh dua syarikat penerbitan itu perlu diikuti oleh pihak lain khususnya dalam memberi sumbangan bahan bacaan agar program ini terus mendapat sambutan daripada orang ramai.

Katanya beliau juga berharap lebih banyak syarikat pencetakan dan penerbitan terutamanya Bahasa Inggeris dan Tamil akan tampil untuk turut serta dalam program sumbangan ini.

Dalam perkembangan lain, Heng yang merupakan Ketua Penerangan MCA meminta orang ramai dan pihak media tidak terlalu fokus kepada pemilihan baru MCA lagi.

Katanya perkara tersebut jika dibiarkan berlarutan hanya akan memburukkan keadaan parti dan tidak memanfaatkan sesiapa pun.

"Pada masa ini, tiada perkembangan baru berhubung pemilihan baru MCA. Kalau terdapat 21 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) meletakkan jawatan, baru boleh saya ulas," katanya.

Mengulas sama ada cara lain untuk menyelesaikan krisis parti berkenaan dan mengembalikan kepercayaan masyarakat Cina, Heng berkata semua pemimpin MCA patut meletakkan perselisihan mereka di belakang dan teruskan perjuangan ke depan demi kebaikan parti ini.

"Pemimpin MCA harus melupakan pertikaian antara satu sama lain dan mula bekerjasama untuk berkhidmat kepada masyarakat di negara ini.

"Sehubungan itu, saya yakin aktiviti-aktiviti yang memanfaatkan orang ramai ini akan mengembalikan kepercayaan orang Cina kepada kita," katanya. -- BERNAMA

FAMA Sasar Pengeluaran 50 Metrik Tan Madu Lebah Tahun Ini


KOTA BAHARU, 11 Jan (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mensasar pengeluaran madu lebah sebanyak 50 metrik tan tahun ini, meningkat sebanyak 10 peratus berbanding 45 metrik tan tahun lepas.

"Tahun ini kita sasar RM2.9 juta atau 50,000 kilogram madu dapat dikeluarkan dan dijual pada harga RM58 sekilogram," kata Ketua Pengarah Fama, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Awam Penggunaan Madu Lebah Asli Kedua di sini, Isnin.

Beliau berkata pada tahun lepas, 45 metrik tan madu dikeluarkan dengan nilai kira-kira RM2.475 juta terutama di kawasan Kuala Nerang, Kedah yang turut mempunyai kilang memproses madu lebah.

Beliau berkata kira-kira 400 orang pengusaha terlibat dalam industri madu lebah dengan pendapatan bulanan setiap orang daripada mereka tidak kurang daripada RM2,000 dan jumlah itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

Beliau berkata madu lebah Tualang kini mendapat tempat di hati pengguna berikutan khasihat yang lebih baik berbanding dengan madu import.

Mohamed Shariff berkata kajian Universiti Sains Malaysia mendapati madu Tualang boleh menjadi penawar kepada beberapa jenis penyakit termasuk kanser payu dara. -- BERNAMA

Pengusaha IKS disaran terokai China

JERLUN 10 Jan. – Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini disarankan untuk meneroka lebih meluas pasaran di China bagi mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Zon Dagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu telah membuka peluang pasaran kepada pengusaha tempatan untuk mula mengorak langkah memasarkan barangan mereka ke China.

“Melalui CAFTA lebih 9,000 produk telah dihapuskan cukai dan ia membuka peluang antara negara ASEAN termasuk negara ini untuk mengeksport lebih banyak produk ke China.

“Peluang perniagaan dengan China telah terbuka dan kerajaan mahu lebih ramai pengusaha IKS memberanikan diri untuk meneroka pasaran China yang begitu luas,” katanya selepas merasmikan program Agro Kasih-I di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, pada tahun lalu, jumlah dagangan antara negara ini dengan China ialah sekitar RM109 bilion dan dengan adanya CAFTA jumlah tersebut akan meningkat pada tahun ini.

“Usaha perlu dibuat untuk mempromosikan China kepada pengusaha IKS sebagai rakan dagangan terbaru negara ini.

“China bakal menjadi rakan dagangan keempat negara ini dan yang terbesar pada masa depan,” katanya. - Utusan

Tanam sayur menguntungkan

Sunday, January 10, 2010


AHMAD Shah Salim bercucuk tanam pelbagai jenis sayuran di sekeliling rumahnya di Kampung Sri Jaya, Sungai Nibong, Semerah, Batu Pahat.

BATU PAHAT 9 Jan. – Seorang pesara tentera tidak menyangka hobi menanam beberapa jenis sayur di sekeliling rumah kini bertukar menjadi sumber pendapatan yang agak lumayan.


Ahmad Shah Salim, 49, membuktikan berbudi pada tanah dapat memberi kehidupan yang baik kepada seseorang pesara tentera berbanding mengharapkan wang pencen semata-mata.

Dengan menanam pelbagai jenis sayuran seperti kacang panjang, timun, kacang buncis, cili dan kunyit, pulangan yang diperoleh beliau adalah cukup memuaskan lebih-lebih lagi jika harga semasa meningkat.

Setelah bersara daripada Skuadron Semboyan 3, Briged Kuching Sarawak, Ahmad Shah mulanya mengusahakan kebun kelapa sawit seluas 7.2 hektar milik keluarga.

Beliau kemudian bercucuk tanam beberapa jenis sayuran di kawasan lapang sekitar kebun tersebut yang terletak di belakang rumahnya untuk keperluan sendiri sahaja.

Dengan bantuan isteri, Junaidah Tukiran, 38, sayur-sayuran yang ditanam mula mendapat perhatian daripada masyarakat setempat.

‘‘Apabila hasil sayur melebihi keperluan kami, saya mula menjualnya kepada yang berminat terutama bila ada kenduri atau kepada pengusaha kedai makan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Melihat akan permintaan yang semakin meningkat, beliau kemudiannya menjadikan tanaman sayuran sebagai salah satu mata pencarian utama dengan mengusahakannya secara tetap melibatkan modal permulaan RM3,000 sejak tiga tahun lalu.

Tambahnya, beliau tidak memerlukan modal yang besar kerana menggunakan kaedah fertigasi dan melalui kaedah ini juga tidak memerlukan kawasan yang luas.

‘‘Ternyata, usaha itu membuahkan hasil yang agak lumayan. Daripada niat untuk kurangkan belanja harian, akhirnya tak sangka dapat tingkatkan taraf ekonomi,’’ ujarnya. - Utusan

Industri halal dunia kini cecah RM7.4 trilion


MUKHRIZ Mahathir melawat sebahagian gerai pameran di dalam Festival Pembangunan Usahawan Melayu Zon Selatan 2010 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor, semalam.

MUAR 9 Jan. - Usahawan Islam disaran merebut peluang dalam industri halal terutama sektor pemakanan memandangkan pasaran luas bagi sektor berkenaan di dalam dan luar negara.


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, perdagangan halal di pasaran global mencatatkan nilai RM7.4 trilion setahun dengan jumlah penduduk Islam di seluruh dunia 1.6 bilion.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dan kepakaran dalam industri itu memandangkan ia merupakan negara pertama di dunia membangunkan piawaian makanan halal mengikut Standard Halal Malaysia MS 1500:2004.

"Bagaimanapun sehingga 30 April 2009, hanya 423 syarikat atau 25 peratus daripada 1,686 permohonan persijilan adalah syarikat bumiputera.

"Ini membuatkan saya berfikir, logiknya industri makanan dan produk halal ini seharusnya dimonopoli orang Melayu kerana ia sinonim dengan Islam di negara ini tetapi yang berlaku adalah sebaliknya," kata.

Beliau berucap merasmikan Festival Pembangunan Usahawan Melayu Zon Selatan 2010 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Alattas dan Timbalan Yang Dipertua DPMM Johor, Syed Salim Syed Mohamed.

Mukhriz berkata, kejayaan usahawan bukan Islam menguasai industri halal wajar membuka minda usahawan Islam dan ia wajar dicontohi dalam budaya keusahawanan.

"Walaupun halal haram sesuatu perkara begitu asing bagi pengusaha bukan Islam, mereka ternyata berjaya menembusi pasaran ini malah lebih berjaya lagi.

"Contoh nyata ini harus dijadikan panduan oleh usahawan Melayu untuk terus melipatgandakan usaha tanpa ada rasa sedikit pun sifat mudah putus asa," katanya.

Muhkriz memberitahu, peranan industri kecil dan sederhana (IKS) memang diberi perhatian kerajaan memandangkan sumbangannya 30 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan 50 peratus peluang pekerjaan di negara ini.

"Penstrukturan SMIDEC (Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana) kepada SME Corp. bagi menyelaraskan peranan 18 kementerian dan 60 agensi kerajaan terlibat telah memperlihatkan betapa serius kerajaan dalam usaha ini.

"Kerajaan akan terus membantu serta membimbing para usahawan atau bakal usahawan untuk terus berdaya saing dan menjadi usahawan glokal menerusi bimbingan, bantuan modal serta khidmat nasihat teknikal," katanya. - Utusan

Penduduk gembira pengumuman baiki atap


BUMBUNG Pangsapuri Sri Anggerik yang rosak antara yang mendapat perhatian Perdana Menteri ketika hadir merasmikan Program Juara Rakyat di Bukit Sentosa, semalam.

PENGERUSI Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Cempaka, Zainuddin Yeob, 57, berkata penduduk terharu dan gembira mendengar pengumuman peruntukan RM15.6 juta untuk membaiki atap rumah yang bocor oleh Datuk Seri Najib Razak, sekali gus membuktikan kerajaan pimpinan beliau prihatin dengan masalah rakyat.

Katanya, kedatangan Perdana Menteri yang berjiwa rakyat itu sudah lama dinantikan dan bersyukur akhirnya masalah mereka diselesaikan dengan hanya satu lawatan saja.

"Di kawasan ini lapan daripada keseluruhan 54 blok pangsapuri mengalami kerosakan, kita bersyukur kerajaan memberi komitmen untuk membaik pulihnya. Sudah lama kami bersabar dengan masalah ini. Hanya Perdana Menteri tahu 'denyut' nadi rakyat di sini apabila sanggup turun padang meneropong serpihan bumbung yang bersepah di atas bangunan," katanya kepada Berita Minggu semalam.

Zainuddin berkata, pengumuman Perdana Menteri itu memberi kelegaan kepada 800 penduduk yang sentiasa mengharapkan pembelaan sewajarnya dan ia menjadi hadiah sempena tahun baru.

"Sebelum ini, hanya dua blok perumahan di sini berjaya diperbaiki kerajaan dua tahun lalu tetapi terhenti seketika apabila pemaju tidak menyelesaikannya. Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri menyelesaikan masalah rakyat di Bukit Sentosa," katanya.

Enam kawasan yang mengalami masalah sama ialah penghuni Pangsapuri Seri Ros, Seri Anggerik, Seri Cempaka di Bukit Sentosa dan Seri Lili, Seri Semarak di Bukit Beruntung Fasa 3.
Zainuddin Yeob
Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Anggerik 3, Mohd Amin Tan, 43, berkata persatuan menghantar memorandum menyatakan masalah sama kepada Perdana Menteri pada Oktober tahun lalu.

"Kami bersyukur perjuangan yang dilakukan memberi hasil yang baik. Terima kasih kepada wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim yang berkerja keras membantu penduduk. Selain itu, pendedahan masalah ini oleh Berita Harian memberikan kesan terbaik membantu penduduk," katanya. - Berita Harian

Peruntuk RM15.6j baik pulih 5,000 unit pangsapuri


RAKYAT pelbagai kaum yang hadir pada Program Juara Rakyat di Bukit Sentosa.

DATUK Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM15.6 juta untuk projek membaikpulih 5,000 unit rumah Pangsapuri Seri Anggerik dan Seri Cempaka di Bukit Beruntung yang mengalami kerosakan teruk, termasuk bumbung tercabut akibat dipukul ribut sejak lapan tahun lalu pada pelancaran program Juara Rakyat semalam.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu sejajar dengan prinsip 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan serta komitmen kerajaan membantu mereka yang bermasalah.

Katanya, projek membaik pulih itu akan diselenggara dan dipantau Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, termasuk mengeluarkan tender dan hal berkaitan.

"Saya melakukan lawatan ke kawasan berkenaan pagi tadi dan saya amat sedih dengan keadaan pangsapuri itu, kalau ikutkan ia tidak boleh didiami lagi. Malah separuh pemilik kediaman sudah berpindah keluar, namun terpaksa membayar ansuran rumah itu. Ini satu beban yang berat. Penduduk merayu kepada saya untuk mengambil tindakan kerana ia sudah melangkaui lapan tahun.

"Ini bukan satu masalah yang baru tetapi sekian lama tidak dapat diatasi dan saya mengambil keputusan mengumumkan peruntukan RM15.6 juta bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Terdahulu dalam ucapan ketika mengumumkan peruntukan membaikpulih berkenaan, Najib berkata, tinjauan beliau mendapati perumahan itu seperti kawasan rumah hantu yang mana kebanyakan rumah sangat daif dan beberapa blok pangsapuri bumbungnya sudah tercabut.
ANTARA sejumlah ramai wanita yang hadir memeriahkan majlis.

"Kalau ikutkan kawasan berkenaan tidak boleh didiami lagi. Saya diberitahu ada sebanyak 5,000 unit rumah di 52 blok pangsapuri di sana," katanya.

Beliau berkata, lawatan beliau ke kawasan perumahan itu adalah tinjauan rakyat atau 'walk about' yang dilakukan beliau sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Siri tinjauan rakyat ini banyak membantu saya mengatasi masalah rakyat dengan segera dan ia akan diteruskan di kawasan lain lagi di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, Umno dan Barisan Nasional akan akan terus membantu rakyat kerana parti itu yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat dan memastikan akan menjadi juara dalam mengatasi masalah rakyat.
"Sebagai juara rakyat kita akan sentiasa pastikan untuk sentiasa melakukan perkara yang baik untuk rakyat," katanya sambil menolak pandangan negatif sesetengah pihak ke atas keikhlasan parti itu membantu rakyat," katanya.

Perdana Menteri menjelaskan pemberian peruntukan itu dibuat setelah mengambil kira beban yang ditanggung penduduk selama ini, malah bagi mereka yang sudah berpindah, terpaksa menyewa rumah dan membayar ansuran.

Beliau berkata, dalam menangani aduan rakyat, kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil tindakan berdasarkan kemampuan kerana sesetengah isu boleh diselesaikan serta-merta tetapi ada juga masalah perlu dibawa ke dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK10) untuk penyelesaian.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lajim Ukin, berkata peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri itu membuktikan kerajaan membuat satu pendekata meyakinkan rakyat.

"Apa juga dijanjikan Perdana Menteri ditunaikan, malah beliau sendiri turun padang melawat kawasan berkenaan bukan sekadar mendengar laporan pegawai beliau. Ini satu tindakan yang akan memberi impak yang besar kepada rakyat walaupun kawasan berkenaan bukannya diwakili BN. Kita harap rakyat dapat menilai sejauh mana falsafah yang di bawa BN selama ini," katanya yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan sangat prihatin dan mengumumkan peruntukan yang sesuai untuk membaik pulih kediaman berkenaan. - Berita Harian

Malaysia Unjur Tarik Kedatangan 23.5 Juta Pelancong Pada 2009

PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) -- Malaysia mengunjurkan untuk menarik kedatangan 23.5 juta pelancong pada 2009, yang menjana kira-kira RM51 bilion perolehan pelancongan di sebalik unjuran lebih rendah dalam ketibaan pelancong antarabangsa di seluruh dunia bagi tahun berkenaan.

"Tahun lepas sememangnya amat mencabar bagi banyak negara," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya pada majlis Anugerah Pelancongan Malaysia 2008/2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini Sabtu malam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib memberi contoh ramalan Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), mengenai penurunan lima peratus dalam ketibaan pelancong antarabangsa di seluruh dunia bagi sepanjang tahun 2009 berbanding 2008.

"Bagaimanapun, Malaysia telah pun menunjukkan ketahannya berdepan cabaran sedemikian dengan sebenarnya mencatatkan pertumbuhan dalam ketibaan pelancong," katanya.

Hakikatnya, sasaran 19 juta ketibaan pelancong antarabangsa yang diramal pada 2009 dipenuhi menjelang Oktober, kata beliau.

Beliau berkata negara sekadar mencatatkan 5.5 juta ketibaan pelancong pada 1998, yang menyumbang pendapatan kira-kira RM8.5 bilion.

"Nampaknya krisis ini telah memperkukuhkan semula komitmen bagi menjalin kerjasama lebih rapat antara penggerak industri dan mendorong penggerak industri pelancongan supaya berinovasi serta mengekalkan pertumbuhan pelancongan.

"Prestasi memberangsangkan dalam mendepani kesukaran hanya membuktikan hakikat bahawa industri pelancongan berupaya mencatatkan pertumbuhan yang lebih besar.

"Dengan ketahanan, inovasi, kualiti produk dan standard perkhidmatan cemerlang, industri pelancongan, iaitu sebahagian daripada sektor perkhidmatan yang lebih besar, dilihat mempunyai peranan penting dalam perjalanan kita ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengulangi bahawa sejumlah RM899 juta akan diperuntukkan bagi melonjakkan industri pelancongan tahun ini.

Katanya kerajaan turut memperkenalkan liberalisasi 27 sub-sektor perkhidmatan seperti kesihatan, pelancongan dan pengangkutan.

"Kerajaan mengiktiraf peranan penting industri pelancongan sebagai sumber tukaran wang asing kedua terbesar kepada ekonomi kita," kata Perdana Menteri.

Pada majlis itu, bekas Menteri Pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menerima Anugerah Khas Perdana Menteri, yang baru diperkenalkan, manakala Presiden Persatuan Homestay Malaysia, Sahariman Hamdan, menerima Anugerah Menteri Pelancongan. -- BERNAMA

Penstrukturan Agensi Bukti Kerajaan Serius Bangun IKS Negara

Saturday, January 9, 2010

MUAR, 9 Jan (Bernama) -- Penstrukturan semula dan penyelarasan 18 buah agensi di bawah Perbadanan SME Malaysia yang akan dilaksanakan tahun ini membuktikan kerajaan serius di dalam membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata kesungguhan kerajaan itu juga terserlah apabila kerajaan memperuntukkan RM7 bilion dalam bajet belanjawan pada tahun ini.

"Pelbagai program telah disediakan semata-mata untuk meningkatkan daya saing IKS dan ini adalah bukti kerajaan serius dalam membantu usahawan IKS supaya ia mencapai tahap lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Pembangunan Usahawan Melayu Zon Selatan anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di Dewan Jubli Intan di sini pada Sabtu.

Menurut Mukhriz, pembabitan usahawan bumiputera dalam bidang IKS khususnya dalam industri makanan halal kini sudah semakin memberangsangkan.

Industri makanan halal dunia begitu besar di mana nilai perdagangan barangan tersebut berjumlah RM7.4 trilion dua tahun lalu.

Katanya, penduduk Islam dunia pada tahun 2008 berjumlah 1.6 bilion dan angka itu memberi peluang perniagaan yang besar terutama dalam bekalan makanan halal. -- BERNAMA

Usahawan IKS dapat manfaat

HULU SELANGOR 8 Jan. – Golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) turut mendapat manfaat daripada Program Juara Rakyat apabila berpeluang mempromosikan produk mereka sepanjang program itu berlangsung.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, program itu merupakan antara usaha kerajaan dalam menerapkan budaya keusahawanan di kalangan masyarakat bumiputera.

‘‘Melalui program sebegini, mereka dapat mempamerkan serta memperkenalkan produk-produk keluaran mereka di pasaran tempatan.

‘‘Pembabitan pengusaha IKS mendedahkan mereka tentang pengurusan sesuatu perniagaan untuk mendapat pulangan yang baik,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan 125 gerai pameran Program Juara Rakyat di Bandar Bukit Sentosa di sini hari ini.

Program tiga hari itu bermula hari ini sehingga Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan program itu esok.
Program Juara Rakyat dilaksanakan mengikut tema di setiap 191 Bahagian UMNO di seluruh negara pada setiap bulan.

Menurut Mohd. Shafie, program yang julung-julung kali diadakan itu melibatkan kira-kira 20 pengusaha IKS tempatan.

“Lebih 125 tapak gerai disediakan untuk peniaga IKS, agensi-agensi kerajaan dan swasta dan mereka mempunyai pelbagai cara untuk menarik perhatian pembeli sepanjang program ini,’’ ujarnya. - Utusan

Ibu bapa digesa utamakan pendidikan melebihi segalanya

Friday, January 8, 2010

SUKAU 7 Jan. - Golongan ibu bapa di daerah ini digesa mengutamakan pendidikan anak-anak melebihi daripada segala-galanya walaupun ada antara mereka yang masih hidup dalam kemiskinan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah berkata, faktor kemiskinan kini tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak mengutamakan bidang pendidikan.

Jelasnya, ini kerana kerajaan sudah menyediakan pelbagai bantuan kepada murid tidak berkemampuan termasuk program bantuan makanan berkhasiat.

"Untuk itu, kita akan cuba membantu menggalakkan agar lebih ramai bilangan anak-anak luar bandar berjaya dalam pendidikan kerana antara bandar dan desa bukan lagi satu halangan.

"Kita tidak perlu lagi memberi sebarang alasan kerana pelbagai bantuan disediakan kerajaan supaya tidak ada yang tercicir dalam pelajaran," katanya ketika berucap pada Majlis Malam Anugerah Cemerlang Sempena 2010 di Suan Lamba, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, melalui pendidikan sempurna akan dapat melahir generasi baru yang mampu mengubah nasib keluarga di kawasan ini yang rata-ratanya masih miskin.

Dalam pada itu katanya, UMNO Bahagian Kinabatangan akan terus mengadakan program turun padang dalam usaha mendekati serta mendengar masalah rakyat.

Katanya, usaha itu secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan antara parti tersebut dan masyarakat di peringkat akar umbi.

Sementara pada majlis itu, Ahmad Awang dan Kimrana Jafar dinobatkan sebagai tokoh ibu dan bapa Suan Lamba atas kejayaan mendidik anak masing-masing sehingga ke menara gading. - Utusan

Tingkat hasil tani Johor


Ahmad Maslan (dua dari kiri) menunjukkan enjin jentera yang disumbangkan kepada ahli PPK Pontian Tengah sambil disaksikan oleh pegawai-pegawai PPK pada majlis penyerahan geran padanan di Pontian, Johor, baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI


PONTIAN 7 Jan. - Seiring dengan usaha meningkatkan lagi pengeluaran makanan negara, pelbagai pihak telah menyahut saranan kerajaan bagi mengurangkan penggantungan kepada makanan import.

Program pengeluaran tanaman makanan itu juga menyahut Dasar Pertanian Negara (DPN3) bagi menjana penghasilan bahan makanan untuk kegunaan pasaran domestik yang mula dilaksanakan sejak tahun 1997.

Antara agensi yang turut memainkan peranan itu adalah Pertubuhan Peladang Negeri Johor yang mengusahakan pelbagai aktiviti ekonomi seperti perladangan, kilang kelapa sawit, ladang nanas dan lain-lain.

Ketika ini terdapat 28 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini yang aktif menjalankan pelbagai kegiatan bagi faedah ahli mereka di kawasan masing-masing.

Salah satu PPK yang giat menjalankan aktiviti ialah PPK Pontian Tengah yang memberikan galakan kepada ahli-ahlinya menceburi aktiviti pertanian, ternakan dan sebagainya.

Bagi menarik minat serta memudahkan mereka menjalankan projek masing-masing, petani dan peladang telah ditawarkan pembelian peralatan jentera kecil pertanian di bawah Program Matching Grant.

Menurut Pengerusi PPK Pontian Tengah, Rahmat Manidi, di bawah program tersebut, mereka ditawarkan pembelian peralatan dan jentera kecil dengan separuh harga.

Katanya, bagi program yang pertama kali itu, seramai 56 orang petani telah diberi peluang membeli peralatan tersebut untuk memudahkan mereka menjalankan kerja-kerja di ladang masing-masing.

Tambahnya, ia termasuk jentera pembajak kecil, mesin pemotong rumput, alat penyembur racun dan jentera pemotong untuk makanan ternakan.

Katanya, semua peralatan yang ditawarkan itu merupakan aset penting bagi memudahkan petani, peladang dan penternak untuk mempercepatkan kerja-kerja seharian mereka.

"Secara keseluruhannya, kos pembelian peralatan pertanian tersebut hampir RM200,000 dan sekiranya dibeli dengan harga sebenarnya ia mungkin mencecah hampir setengah juta.

"Langkah itu merupakan rangsangan dan pemangkin kepada para petani yang menjalankan kegiatan seperti menanam nanas, sayur-sayuran, tanaman kontan, kelapa sawit selain ternakan," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian peralatan pertanian dan jentera kecil yang dilakukan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di Kompleks Pertanian Bersepadu, Ayer Baloi, di sini baru-baru ini.

Tambah Rahmat, pihaknya gembira kerana usaha yang dilakukan oleh Ahli Jemaah Lembaga Pengarah, PPK Pontian Tengah telah berjaya membantu para petani yang sering berhadapan dengan masalah untuk membeli peralatan pertanian.

"Program ini juga mendapat kerjasama daripada Lembaga Peladang Pertubuhan (LPP) dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) yang begitu prihatin dengan masalah tersebut.

"Ini memandangkan harga sebenar peralatan pertanian sedia ada yang mahal yang menyebabkan mereka tidak mampu untuk membelinya," jelasnya.

Kata Rahmat, pihaknya menyambut baik program geran padanan sejajar dengan langkah menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan dan tidak lagi dilakukan secara sambilan.

Kata beliau, PPK sentiasa memberikan galakan dan dorongan kepada ahli-ahlinya untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing melalui kegiatan pertanian yang diceburi.

Dalam masa yang sama, PPK juga menyediakan pelbagai kemudahan sokongan seperti khidmat pasaran, pusat-pusat pengumpulan dan timbang kelapa sawit serta pengangkutan.

Sehubungan itu, sejajar dengan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, pihaknya akan memastikan keperluan dan kehendak para petani menjadi keutamaan sepanjang masa.

"Sekiranya mereka berjaya, tentunya sektor pertanian akan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara selain menjadi satu kerjaya yang membawa pulangan menguntungkan," jelasnya. - Utusan

NCIA Labur RM19.1 Juta Bagi Program Pembangunan Modal Insan

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melabur sebanyak RM19.1 juta bagi program pembangunan modal insan dengan kerjasama sektor swasta dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Sektor dan agensi yang terlibat ialah Sime Darby Berhad, Intel Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tradewinds Corporation Berhad dan Tanjung Rhu Resorts yang membuat pelaburan sebanyak RM30.8 juta bagi program itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Perjanjian dan Persefahaman bagi program tersebut yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di sini Jumaat.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Najib mempengerusikan mesyuarat keempat NCIA di tempat yang sama.

Program yang dijalankan merangkumi latihan kemahiran bagi sektor pengurusan pertanian, latihan industri berteknologi tinggi, hospitaliti dan pelancongan, pengendalian jentera berat dan penjagaan kesihatan. -- BERNAMA

Pasar raya disaran sedia rak khas pasar produk IKS pertanian

KUALA SELANGOR 7 Jan. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mencadangkan supaya pasar raya besar di negara ini mengkhaskan 30 peratus rak barangan jualan di rangkaian premis mereka untuk produk industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, cadangkan tersebut merupakan perkara yang difikirkan oleh pihaknya bagi membantu memasarkan dan meningkatkan pendapatan pengusaha produk IKS tersebut.

Beliau berkata, ia juga dapat membetulkan persepsi di kalangan pengguna bahawa produk berasaskan pertanian di negara ini juga mampu menyamai produk pertanian yang dikeluarkan oleh negara-negara luar.

Menurut beliau, penyediaan rak khas itu turut membantu para pengusaha produk pertanian tempatan berusaha meningkatkan kualiti serta bekalan mereka selaras dengan syarat yang mungkin ditetapkan oleh pihak pengurusan pasar raya.

''Masalah utama pengeluar produk IKS pertanian ini ialah pasaran yang agak terhad iaitu hanya di premis serta kedai-kedai tertentu sahaja sehingga menyukarkan pengguna mendapatkan produk-produk berkenaan untuk kegunaan mereka.

''Sehubungan itu kementerian merasakan jika ada 30 peratus rak pameran produk di pasar raya besar, ia memudahkan pengusaha memasarkan produk berasaskan pertanian mereka manakala pengguna senang mendapatkan produk yang diperlukan.

''Jadi, saya minta pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan pasar raya berhubung cadangan ini dalam tempoh terdekat," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Keusahawanan Pemasar Tani Peringkat Parlimen Tanjung Karang anjuran Fama di Dewan Serbaguna Sri Tiram Jaya, Tanjung Karang di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Noh meminta semua pengusaha produk IKS berasaskan pertanian supaya berusaha meningkatkan disiplin serta kualiti dalam pengeluaran mereka bagi memenuhi kehendak yang ditetapkan oleh pihak pasar raya besar.

Ujar beliau, ini termasuklah dari seri bekalan, pembungkusan dan sebagainya sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan.

Melalui pematuhan pengeluaran itu jelas beliau, produk yang dihasilkan dapat memenuhi kriteria jualan bukan hanya untuk pasaran dalam negara tetapi juga di luar negara memandangkan pasar raya besar yang beroperasi di negara ini mempunyai rangkaian meliputi seluruh dunia.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang turut memberitahu, pihaknya telah memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan program 'satu daerah, satu industri' bagi kawasan Tanjung Karang.

Kata beliau, pelaksanaan program tersebut merupakan salah satu usaha kementeriannya untuk mewujudkan satu identiti produk pertanian di kawasan itu selain mengalakkan penternak dan petani melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

''Kalau di Perak, ia terkenal dengan produk ikan pekasam manakala di Temerloh, Pahang dikenali dengan produk ikan patin. Jadi Tanjung Karang ini, kita ada banyak aktiviti pertanian sama ada padi, ternakan ikan keli dan serta ikan masin.

''Jadi, kita harap mereka yang berminat bolehlah mengemukakan permohonan peruntukan itu di bawah program ini kepada Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS). Permohohan ini juga terbuka kepada semua pihak dan ia bukanlah hanya penduduk Tanjung Karang sahaja," ujarnya. - Utusan

Fama bantu 1,000 wanita miskin

JERLUN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi melatih 1,000 wanita dari keluarga miskin di negara ini menjalankan perniagaan di pasar tani dalam usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata melalui program kebajikan produktif yang dilaksanakan kementerian itu akan membantu golongan susah yang berpendapatan kurang RM440 sebulan.

“Sebagai permulaan, kita sudah menyenaraikan seramai 100 wanita di Kedah untuk menjalani latihan dengan Fama sebelum mereka menjalankan perniagaan menjual pelbagai hasil tanaman di pasar tani.

“Kementerian akan memeriksa latar belakang peniaga terbabit sebelum mengambil mereka dalam program ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jalinan Rakyat di sini, semalam. - Harian Metro

FAMA Sediakan 1,000 Motosikal Roda Tiga Untuk Usahawan Kecil Tani

TANJUNG KARANG, 7 Jan (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan 1,000 unit motosikal roda tiga untuk dijual kepada mereka yang berminat menceburi perniagaan tani secara kecil-kecilan, menerusi kaedah sewa beli.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata usahawan tani yang berminat hanya perlu membayar wang pendahuluan RM300 dan ansuran bulanan RM100.

"Harga harga sebenar motosikal itu ialah RM7,500, tetapi menerusi program ini mereka hanya perlu bayar kepada FAMA RM3,500, manakala baki sebanyak RM4,000 itu ditanggung FAMA," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Bengkel Keusahawanan Pemasar Tani Parlimen Tanjung Karang, di sini hari Khamis.

Mengulas lanjut, Noh berkata penyediaan motosikal itu diharap dapat membantu peniaga kecil-kecilan untuk mengangkut hasil tani dan ternakan yang dibeli daripada penduduk kampung ke pusat pengumpulan hasil pertanian FAMA.

Noh yang juga Anggota Parlimen Tanjung Karang berkata pada peringkat awal usahawan kecil tani ini mampu meraih pendapatan bersih sekitar RM2,000 sebulan.

Menurut beliau program penjualan motosikal roda tiga secara sewa beli itu dilaksanakan FAMA mulai tahun lepas dengan 400 unit.

Pada majlis itu turut Noh menyerahkan 18 unit motosikal roda tiga kepada peniaga-peniaga terpilih. -- BERNAMA

Negara Mampu Jadi Pengeluar Madu Lebah Tualang Pasaran Global


KOTA BAHARU, 7 Jan (Bernama) -- Malaysia berusaha menjadikan madu lebah tualang sebagai makanan manis berkhasiat untuk pasaran dunia dengan mendapat pengiktirafan mutu kesihatan daripada universiti tempatan.

Negara dijangka menjadi pengeluar madu lebah tualang bermutu tinggi dunia setelah kajian Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian, di sini memperakui khasiat dan mutu madu lebah tempatan lebih baik berbanding madu import.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Mamat Yunos berkata kajian dijalankan oleh USM itu telah memakan masa selama tiga tahun, dan hasil laporan awal mendapati madu lebah tempatan bermutu tinggi dengan jaminan keaslian dan khasiat kepada pengguna.

"Kita masih meneruskan kajian lebih lanjut untuk mengetahui khasiatnya dalam mengubati pelbagai penyakit termasuk batuk," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari Khamis.

Beliau berkata permintaan tempatan terhadap madu lebah itu juga meningkat apabila Fama Kelantan berjaya memperoleh hasil jualan pada tahun lepas sebanyak RM500,000 yang dibekalkan oleh kilang madu lebah Fama di Kuala Nerang, Kedah.

Mamat berkata Fama Kelantan menyasarkan jualan bagi 2010 meningkat sebanyak 20 peratus atau kira-kira RM600,000 memandangkan permintaan terhadap madu lebah tempatan semakin meningkat.

Dalam mengukuhkan pasaran madu lebah tualang itu, katanya, Fama akan menganjurkan seminar dua hari Penggunaan Madu Lebah Asli Kebangsaan kedua yang bertemakan "madu penyakit segala penyakit manusia dan Al-Quran penyembuh segala penyakit hati" di sini pada 11 Jan ini.

Beliau berkata seminar dua hari akan membincangkan beberapa kertas kerja antaranya "kaedah dan teknik pemeliharaan lebah madu", "ciri-ciri piawaian madu lebah Malaysia", "rahsia kandungan madu lebah tualang" dan "madu dan kesihatan wanita menopaus".

Mamat berkata kebanyakan Madu Lebah Tualang dikeluarkan di Kedah dan Pahang yang dipungut oleh pengusaha madu lebah dari pokok tualang yang banyak terdapat di kawasan hutan simpan negeri itu.

"Bagaimanapun buat masa ini terdapat kekurangan bekalan ekoran kesukaran mendapat madu lebah tualang yang dikira berbahaya untuk mendapatnya," katanya.

Bagi tujuan menambah pengeluaran Fama juga membekal madu lebah peliharaan dan madu lebah dari pokok gelang yang mempunyai rasa agak masam tetapi khasiat kandungan yang sama. -- BERNAMA

Serah Senarai Pemohon Subur Sebelum 15 Feb -Noh

TANJUNG KARANG, 7 Jan (Bernama) -- Semua senarai nama dan borang permohonan mereka yang layak menerima bantuan di bawah program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) perlu diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selewat-lewatnya 15 Feb ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) perlu menghantar senarai dan borang itu bagi membolehkan kementerian mengemaskini senarai penerima subsidi beras itu yang pelaksanaannya kini ditangguh.

"Kalau kementerian tidak menerima senarai daripada MPPP ni, kita akan gunakan nama-nama yang sedia ada pada kementerian (iaitu 248,000 keluarga yang berdaftar dengan kementerian setakat ini)," katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Noh merasmikan Bengkel Keusahawanan Pemasar Tani Parlimen Tanjung Karang, di sini hari Khamis.

Pelaksanaan Subur yang sepatutnya dibuat pada 1 Dis lepas, ditangguh berikutan terdapat sesetengah pihak yang meminta kerajaan memastikan tiada golongan sasar yang tercicir.

MPPP ditubuhkan di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara untuk mengukuhkan pelaksanaan pembangunan industri pertanian negara sehingga ke peringkat akar umbi.

MPPP diterajui sama ada oleh anggota Parlimen kawasan, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ketua Parti Komponen Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen pembangkang. -- BERNAMA

Najib Mahu Belia Terapkan Komitmen Tinggi Untuk Capai Kejayaan

Thursday, January 7, 2010

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Golongan belia di negara ini digesa agar terus menerapkan komitmen tinggi untuk mencapai bukan sahaja kejayaan diri, tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha berterusan juga perlu untuk menyuntik para belia dengan semangat dan keberanian dalam menghadapi cabaran serta mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

Justeru, katanya, kerajaan akan terus menyokong gerakan belia dalam melahirkan generasi belia yang lebih berjaya.

"Saya senang hati melihat gerakan belia dan kerajaan tidak boleh dipisahkan. Ia merupakan rakan setia, rakan kongsi sama-sama dalam perjuangan untuk membina generasi belia yang menpunyai jati diri yang kukuh.

"Kerajaan hari ini akan tetap menyokong dan membantu perjuangan saudara saudari untuk kejayaan belia masa depan," katanya pada majlis makan malam pelancaran Pertubuhan Alumni Majlis Belia Negara (MBM) dan perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan MBM ke-58 di sini, Rabu malam.

Najib berkata walaupun belia seringkali dikatakan sebagai aset negara, namun ia tidak akan membawa makna jika tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk penghayatan yang membawa kepada perubahan diri walaupun negara menyediakan prasarana, sistem dan peluang terbaik untuk mereka.

"Segala-galanya bergantung kepada keberanian kita. Keberanian untuk berubah, keberanian untuk mencari dan untuk berusaha. Ini mesti kita kukuhkan dan terapkan di kalangan belia," katanya.

Perdana Menteri yang turut melahirkan rasa puas hati dengan penubuhan Alumni MBM, berkata beliau percaya alumni sedemikian masih relevan dan berharap ia dapat terus menyumbang kepada pembangunan belia negara ini, walaupun pada dasarnya pemimpin dan ahli yang akan menyertai alumni ini telah melepasi had umur 40 tahun.

Pada majlis itu, Najib turut menerima Anugerah Khas MBM.

Turut hadir ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek serta pemimpin-pemimpin baru dan lama MBM. -- BERNAMA

Matrade kenal pasti usahawan berdaya maju

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengenal pasti usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini yang berpotensi memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Matrade berkata, pihaknya akan memantau keupayaan dan kebolehan usahawan PKS terpilih sebagai pembekal yang berwibawa menjadi pengeksport baru.

Setakat ini, Mydin Mohamed Holdings Bhd bersetuju bekerjasama dengan Matrade dalam mengenal pasti usahawan PKS yang terpilih.

Satu sesi pemadanan perniagaan tiga hari bersempena pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2009 di Melaka pada Disember lalu, mencatatkan kutipan jualan RM9.65 juta.
Wakil 73 syarikat usahawan PKS yang terbabit dalam sesi SDSI ini diberi taklimat oleh Mydin Mohamed Holdings Bhd, GCH Retail (M) Sdn Bhd, Tesco, The Store dan Matrade untuk memberi pengetahuan kepada mereka bagi menjadi pembekal kepada pasar raya tempatan dan luar negara. - Harian Metro

RM200j untuk biaya sektor PKS

BANK Simpanan Nasional (BSN) akan terus memfokus membantu usahawan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembang perniagaan mereka menerusi skim pembiayaan mikro yang ditawarkan.
Naib Presiden merangkap Ketua Mikro Kewangannya, Nilammasri Ja’afar, berkata seperti 2009, tahun ini BSN turut mensasarkan untuk menyalurkan RM200 juta pinjaman kepada PKS dan percaya dengan produk berkenaan lebih ramai usahawan dapat dibantu untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, sehingga 30 Oktober 2009, sebanyak 6,948 pinjaman bernilai RM102.2 juta diluluskan BSN.

Katanya, selain itu 7,036 pinjaman bernilai RM102.1 juta turut disalurkan pembayarannya kepada peminjam yang berkenaan terutama usahawan kecil dan mikro. “Kami menyeru kepada semua usahawan kecil yang memenuhi syarat pinjaman supaya berurusan dengan mana-mana pejabat dan cawangan BSN di seluruh negara untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya.

Nilammasri berkata, BSN mensasarkan menjadi peneraju dalam pembiayaan mikro menjelang akhir tahun ini, sekali gus melengkapkan peranan sebagai sebuah bank komuniti.

Menurutnya, sehingga 30 Oktober 2009, BSN menerima 17,448 permohonan atau 1,750 purata sebulan dengan nilai RM446 juta. Beliau berkata, ketika ini 50 peratus daripada pembiayaan yang disalurkan di bawah skim itu untuk sektor peruncitan, perkhidmatan (40 peratus) dan pembuatan (10 peratus).

Sementara itu, BSN menyediakan pinjaman antara RM5,000 dan RM50,000 di bawah skim pembiayaan mikro yang ditawarkan pada kadar faedah menarik serta hanya mengambil tempoh dua minggu untuk proses kelulusan.

Selain membantu usahawan PKS, penyaluran pembiayaan itu juga membantu memacukan lagi pertumbuhan portfolio mikro kewangan BSN secara efektif tahun lalu.

BSN menguruskan pembiayaan melalui 49 pejabat (Pusat Mikro Kewangan) dan juga melalui 376 cawangan BSN di seluruh Malaysia. Menerusi pusat itu segala permohonan dan pemantauan dapat dilakukan dengan sistematik, teratur dan pantas. - Harian Metro

Tumpu bukan makanan berimpak tinggi - Noh

Wednesday, January 6, 2010

PUTRAJAYA 5 Jan. - Bermula tahun ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi lebih penekanan kepada sektor pertanian bukan makanan berimpak tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, tiga projek dalam sektor pertanian jenis berkenaan dikenal pasti untuk tujuan tersebut iaitu projek ikan hiasan, sarang burung walit dan rumpai laut.

Katanya, tumpuan dan usaha menjayakan projek berkenaan perlu dipertingkatkan memandangkan ia dapat menjana pendapatan tinggi kepada negara.


"Projek sarang burung walit dan ikan hiasan misalnya mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha dan industri.

"Namun masih ramai tidak menyedari keuntungan yang boleh mereka peroleh melalui projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan bulanan warga kementerian itu dan tahun baru 2010 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menterinya, Datuk Wira Johari Baharom dan Datuk Rohani Abdul Karim serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mokhtar Ismail.

Noh berkata, sistem biosekuriti perlu dilaksanakan dalam projek ikan hiasan tempatan bagi menjamin kualitinya serta membolehkannya dieksport ke luar negara.

Beliau menjelaskan, melalui sistem biosekuriti itu, ikan hiasan perlu dipelihara dalam bangunan atau tempat tertutup dan bukannya di kawasan terbuka untuk mengelakkan jangkitan kuman.

"Spesies ikan koi dan emas tempatan tidak dapat dieksport disebabkan tiadanya perlaksanaan menyeluruh mengguna pakai sistem tersebut di dalam negara. "Sesuatu yang merugikan kerana kita terpaksa mengeksport ikan hiasan tempatan melalui Singapura," jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, bagi suku ketiga tahun 2009, sektor pertanian mengalami penguncupan sebanyak 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Pertumbuhan negatif ini disumbang oleh penurunan dalam sektor bukan makanan sebanyak 5.0 peratus," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementeriannya akan berusaha meningkatkan hasil pengeluaran sektor makanan untuk menjana pendapatan negara.

Noh memberitahu, pihaknya juga akan memberi tumpuan untuk meningkatkan pendapatan petani, nelayan dan penternak sedia ada.

"Kami akan berusaha memperkenalkan aktiviti tambah nilai kepada mereka untuk tujuan tersebut.
"Jika matlamat ini dapat dicapai, defisit perdagangan sektor pertanian tentu dapat dikurangkan," katanya. - Utusan

Perak negeri pertama guna teknologi bio keluar produk farmasi


PENGERUSI Perakbio Corporation Sdn. Bhd., Datuk Hamdi Abu Bakar (kanan) bertukar dokumen persefahaman dengan Dr. Y. Manevardan Reddy sambil diperhatikan Zambry Abd. Kadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Saamya Biotech (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Saamya Biotech (Malaysia) Sdn. Bhd. di Ipoh, Perak, kelmarin.

IPOH 5 Jan. - Perak akan menjadi negeri pertama mengeluarkan produk farmasi menggunakan teknologi bio berteraskan proses fermentasi di negara ini selepas kilang Saamya Biotech (Malaysia) Sdn. Bhd. di Taman Farmasi, Seri Iskandar dekat sini memulakan operasinya tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, projek tersebut yang dijalinkan dengan kerjasama Saamya Biotech (India) Ltd. dan anak syarikat kerajaan negeri, Perakbio Corporation Sdn. Bhd. akan menjadi salah satu mercu tanda industri bioteknologi negara.

Beliau berkata, kilang tersebut akan mengeluarkan produk bio farmasi bernilai tinggi kira-kira 750 kilogram setahun dengan 1 gram berharga RM50,000.
''Projek ini akan memakan belanja hampir RM100 juta dan sudah dimulakan pembinaan perkara-perkara asas dan ia dijangka siap pada 2011.

''Ini merupakan satu lagi kejayaan usaha kerajaan negeri menarik pelaburan ke negeri ini dan terima kasih kepada para pelabur yang terus berkeyakinan untuk melabur di negeri ini," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perakbio Corporation Sdn. Bhd, Saamya Biotech (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Saamya Biotech (Malaysia) Sdn. Bhd. di sini malam tadi.

Menurut Zambry, Perak tidak boleh lagi bergantung kepada ekonomi konvensional tetapi perlu mengembangkan sumber asli yang ada di negeri ini menerusi teknologi-teknologi baru seperti bioteknologi.

''Teknologi bio merupakan teknologi yang baru kepada kita dan projek teknologi bio menggunakan proses fermentasi ini merupakan yang pertama di Malaysia setakat ini.

''Kita perlu melihat secara kreatif untuk terus mengembangkan sumber-sumber asli yang banyak terdapat di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Saamya Biotech India, Dr. Y. Manevardan Reddy berkata, projek tersebut bakal memberikan lebih 130 peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi khususnya kepada rakyat Perak.

''Buat permulaan, kita akan gunakan tenaga kerja yang dibawa dari India dan pada masa sama melatih tenaga kerja tempatan mengenai teknologi ini.

''Selepas tempoh beberapa tahun apabila pekerja tempatan sudah mempunyai pengetahuan, semua tenaga kerja dari India ini akan digantikan dengan pekerja tempatan," katanya. - Utusan

Perda lahir tenaga mahir

BUTTERWORTH 5 Jan. - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) akan menumpukan strategi melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi mengisi permintaan sektor industri sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Pengurus Besarnya, Datuk Azmi Lateh berkata, strategi itu penting bagi menampung permintaan
sektor industri yang menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Jelasnya, beberapa langkah sudah diatur bagi memastikan pelaksanaan RMK-10 turut merangkumi pembangunan program-program kemahiran terutama melalui institut latihan Perda, Perda-Tech.

''Perda menyedari wujudnya keperluan mendesak supaya kita melahirkan lebih ramai golongan tenaga mahir untuk mengisi sektor industri yang semakin berkembang.

''Justeru, penyusunan program termasuk pengisian kursus di Perda-Tech akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan ia terus relevan dengan keperluan industri," katanya pada majlis penyampaian bantuan kelengkapan sekolah di sini baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Perda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim.

Azmi berkata, selain pembangunan tenaga kerja berkualiti, pihaknya turut menumpukan kepada pembangunan akademik bagi melahirkan lebih ramai pelajar berpengetahuan tinggi.

''Usaha kita sebelum ini sudah menunjukkan hasil apabila Pulau Pinang berjaya menjadi salah sebuah daripada tiga negeri yang mencatatkan keputusan terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)," katanya.

Sementara itu Azhar berkata, pihaknya optimis permohonan Perda untuk mendapat peruntukan sebanyak RM900 juta bagi pelaksanaan program RMK-10 akan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan.

''Bajet kali ini jauh lebih besar berbanding hanya RM164 juta pada RMK-9 kerana Perda memerlukan dana kewangan lebih tinggi bagi menampung semua kos pembangunan yang kebanyakannya tertumpu kepada usaha membantu penduduk berpendapatan rendah di Pulau Pinang," katanya. - Utusan

Padi diserang bena perang


Keadaan padi yang rosak akibat diserang bena perang.


JITRA 5 Jan. - Belum pun keperitan menanggung kerugian kerana tanaman musnah akibat banjir hilang, para pesawah di negeri ini kini diancam pula dengan serangan makhluk perosak yang menjejaskan hasil pengeluaran padi mereka.

Makhluk perosak terutama bena perang dan hawar seludang dikatakan menyerang tanaman sejak tiga minggu lalu mengakibatkan banyak padi yang sedang membesar, musnah.

Apa yang membimbangkan petani adalah mereka akan mengalami kerugian lebih besar jika usaha untuk membendung serangan haiwan perosak berkenaan tidak berkesan atau dipandang sambil lewa oleh pihak terlibat.

Antara yang terjejas dengan serangan haiwan pemusnah tanaman tersebut ialah pesawah-pesawah di Unit Pertanian Kecil Kampung Pida 3.5, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) B2 Sanglang, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini.

Ketua Unitnya, Hassan Ahmad, 61, berkata, masalah serangan makhluk perosak itu berlaku setiap musim dengan kali ini mengakibatkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan 400 relung sawah padi di kawasan tersebut rosak.

Keadaan itu, katanya, amat merunsingkan para pesawah kerana pendapatan mereka yang hanya bergantung kepada penjualan hasil padi terjejas teruk.

"Semasa proses penanaman, pelbagai langkah termasuk menggunakan racun telah dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan oleh MADA, tetapi tidak berhasil.

"Serangan musuh tanaman ini mengakibatkan pesawah-pesawah mengalami kerugian besar," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Keluhan itu turut dikongsi oleh seorang pesawah, Mohd. Yusoff Razak, 41, yang mengalami kerosakan padi hampir 20 peratus daripada keseluruhan 12 relung sawah yang diusahakannya akibat diserang bena perang.

Menurutnya, bagi pesawah yang semata-mata mengharapkan hasil padi sepertinya, agak sukar untuk membeli racun bagi melawan serangga perosak itu secara kerap kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

"Bagi racun untuk bena perang, kami terpaksa mengeluarkan modal sendiri kerana ia tidak diberi subsidi oleh kerajaan.

"Harga bagi seliter racun ini bernilai kira-kira RM190 dan semburan pula perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali selain terpaksa memberi upah kepada pekerja.

"Berapa banyak yang kami dapat untung jika masalah ini berterusan?" katanya yang mempunyai empat anak berusia lima tahun sehingga 16 tahun.

Seorang lagi pesawah, Ismail Awang, 51, pula kecewa kerana masalah berkenaan seolah-olah tiada penghujungnya berikutan ia berlaku hampir setiap tahun meskipun pelbagai cara telah dilakukan bagi mengatasinya.

Lebih memeritkan, katanya, kemusnahan tanaman akibat serangan makhluk perosak dan penyakit hawar seludang atau dipanggil penduduk setempat sebagai 'reput tangkai' itu ditanggung sepenuhnya oleh petani.

"Jika padi musnah akibat banjir, pesawah akan diberi ganti rugi. Tetapi jika kerana serangan makhluk perosak terpaksa ditanggung sendiri," katanya.

Rakannya, Saway Kassim, 50, berharap kerajaan akan memandang serius masalah terbabit kerana ia mampu menjejaskan hasil pengeluaran padi negara secara keseluruhan. - Utusan

ADUN Sementa usahakan tanaman nanas

KLANG 5 Jan. - Berbudi pada tanah takkan rugi. Kata-kata itu menjadi pegangan Datuk Abd. Rahman Palil yang kini memanfaatkan setiap inci tanah di kawasan rumahnya dengan tanaman nanas.

Usaha itu baru sahaja dijalankan pada awal tahun ini di atas tanah seluas 1.6 hektar di Jalan Wan Hassan, Batu 4 Jalan Kapar, bersebelahan Galeri Sementa yang merupakan kediamannya.

Projek itu turut mendapat kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi mengembangkan lagi industri penanaman nanas di Sementa.

"Ia juga digunakan oleh pihak LPNM untuk mengajar para petani kecil yang berminat mempelajari penanaman nanas bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka sebelum berkecimpung dalam tanaman ini.


"Projek ini bukan untuk mendapat keuntungan semata-mata tetapi juga kerana ingin memanfaatkan tanah ini agar tidak terbiar," katanya kepada Utusan Malaysia yang meninjau ke kebunnya, baru-baru ini.
Ujar Abd. Rahman, beliau memilih nanas kerana ia merupakan tanaman tidak bermusim dan mudah dikendalikan bersesuaian dengan tugasnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa.

Tambahnya, kelasakannya, tidak memerlukan penjagaan rapi atau kos pengendalian yang tinggi turut mendorong beliau memilih untuk menanam nanas.

Setakat ini, katanya, beliau hanya menanam satu jenis nanas sahaja iaitu N36 (kacukan Josephine dan Sarawak) yang benihnya diperoleh daripada LPNM.

Abd. Rahman memberitahu, beliau bakal menuai hasil pertama tanaman nanasnya pada awal tahun hadapan kerana tempoh matang tanaman itu hanya 12 bulan.

Sementara itu, menceritakan penglibatan awalnya dalam tanaman nanas, Rahman berkata, beliau sememangnya sangat berminat dalam bidang pertanian.

"Selepas melihat tanah kosong di sebelah rumah, terlintas di fikiran untuk memulakan projek pertanian yang memberi manfaat.

"Pada awalnya saya mahu orang kampung yang mengusahakannya tetapi mereka seperti tidak berminat dan akhirnya saya putuskan untuk mengusahakan sendiri tanaman ini.

"Alhamdulillah, saya mendapat sokongan seratus peratus daripada pihak LPNM dan dibantu dengan tiga orang pekerja sehingga usaha ini boleh diteruskan tanpa banyak rintangan," katanya.

Beliau merancang untuk memberikan sebahagian daripada hasil tanaman itu nanti kepada penduduk kampung sebagai satu amal jariah dan juga sebahagian lagi untuk dijual.

Abd. Rahman berharap tanaman nanasnya itu akan berkembang dan boleh menjadi contoh kepada orang ramai khasnya di kawasan Sementa untuk mencuba aktiviti seumpamanya. - Utusan

Projek tebatan mesti diberi keutamaan

Tuesday, January 5, 2010


SEBAHAGIAN kawasan pekan Rantau Panjang yang ditenggelami air setiap kali air di Sungai Golok melimpah.

KOTA BHARU 4 Jan. - Sungai Golok sepanjang 95 kilometer menjadi sebahagian besar daripada sempadan yang memisahkan Kelantan dan Thailand dari sudut geografi dan politik, selain daratan dan laut.

Dua jambatan di Bukit Bunga-Buketa dan Rantau Panjang-Sungai Golok menjadi penghubung bagi laluan secara sah dan agak terkawal di samping khidmat feri di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Sungai sempit yang mengalir pekat itu dengan penempatan di sepanjang dua tebingnya masih menjadi penghubung pertalian masyarakat di pinggir sempadan dan membantu menjana sosioekonomi setempat.

Namun, ia juga mengheret kebimbangan berterusan terhadap kegiatan penyeludupan yang menjejaskan hasil negara dan mengancam rakyat seperti dadah dan juga jenayah.

Setiap kali banjir pula, sungai yang kerap melimpah itu turut menenggelamkan kawasan pinggir, melumpuhkan beberapa kawasan termasuk pekan Rantau Panjang dan memusnahkan banyak kawasan tanaman.

Justeru, isu keselamatan, apabila sempadan sungai itu mudah dibolosi dan banjir melanda setiap tahun menjadi persoalan yang seolah-olah tiada kesudahannya.

Timbul juga tanggapan bahawa sempadan negara semakin susut ekoran hakisan tebing yang dikatakan kian ketara.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Mohamed Rosle Mamat berkata, isu sempadan negara tercetus di mana-mana sahaja.

Katanya, di Kelantan, isu ia mudah dibolosi disebabkan kawasan sempadan yang luas selain kegiatan sindiket yang mempunyai kaitan dengan penduduk tempatan.

''Masalah seumpama ini timbul di mana-mana negara bersempadan dan sukar dibanteras sepenuhnya, malah oleh negara-negara kuasa besar apabila membabitkan sempadan mereka," ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya bersama 12 agensi penguatkuasaan di sempadan sentiasa mengambil langkah perlu dari semasa ke semasa termasuk mengadakan program kesedaran kepada masyarakat setempat bagi menanganinya.

Namun, katanya, projek tebatan banjir sungai yang menjadi keutamaan untuk disegerakan kini bukan sahaja dapat turut membantu mengurangkan kesan bencana alam tetapi juga menangani keselamatan sempadan.

Dalam taklimatnya kepada media baru-baru ini, beliau percaya, projek bernilai RM1.2 billion ini akan diberikan keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menjelaskan projek itu lebih lanjut, Pengarah Pelaksana Projek Persekutuan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, Mat Rahim Ismail berkata, projek berkenaan sudah dicadangkan sekian lama.

Ia turut merangkumi pembinaan lencongan sungai, tembok (ban) banjir, kunci air, jalan baru serta meninggikan laluan keselamatan.

Katanya, pelaksanaan projek tebatan banjir di sepanjang 95 kilometer sungai terbabit dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan peruntukan sebanyak RM500 juta diperlukan bagi menjayakan fasa pertama.

"Reka bentuk projek yang bermula dari Pengkalan Kubor di Tumpat hingga Kampung Jenob, Jeli ini hampir siap dan bergantung kepada kelulusan kerajaan menerusi RMK-10.

"Pelaksanaan fasa satu projek terbabit memberi tumpuan bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku setiap kali musim tengkujuh di pekan Rantau Panjang dan beberapa penempatan di Tumpat.
''Projek ini adalah keutamaan kami dan termasuk dalam kategori mesti dilakukan," katanya.

Mat Rahim berkata, selain sistem perparitan dalam pekan, lencongan sungai dicadangkan dibuat di Kampung Kubang Rambutan bagi mengurangkan paras Sungai Golok setiap kali banjir.

''Air sungai akan dilencongkan ke Sungai Lanchang sebelum masuk semula ke Sungai Golok selepas melepasi Pekan Rantau Panjang.

''Malah tembok penghalang banjir akan dibangunkan sekitar pinggir tebing pekan itu dan juga ban yang boleh turut membantu pemantauan dari segi penyeludupan.

''Keperluannya amat mendesak demi kepentingan masyarakat. Jika hujan lebat di selatan Thai atau Jeli, air sungai Golok akan melimpah ke kawasan tebing sebelah kelantan kerana ban di negara jiran adalah tinggi," ujarnya.

Katanya, pembinaan ban-ban akan menjadi benteng limpahan air Sungai Golok yang akan dibina pada paras seimbang dengan apa yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa Thailand.

Ban-ban ini juga akan menjadi sebahagian daripada jalan-jalan keselamatan yang ditingkatkan sepanjang pinggir sempadan.

''Kawasan yang sering ditakungi air semasa banjir seperti di beberapa penempatan di Tumpat akan disediakan parit pengumpul yang membolehkan air dipam keluar ke Sungai Golok apabila parasnya tinggi," ujarnya.

Dari segi kawalan hakisan pula, beliau berkata, di bawah projek menstabilkan tebing, ia telah turut dilakukan secara berperingkat-peringkat sejak RMK-6 lagi di 13 lokasi strategik sepanjang sungai itu berdasarkan peruntukan yang ada.

''Kita menggunakan kaedah menambak dengan batu-batu besar yang memberi ruang kepada tumbuh-tumbuhan kecil untuk terus menghijaukan persekitaran di samping dapat mengelak tujahan air di dasar sungai.

''Kaedah kita menyebabkan projek membenteng sungai di beberapa lokasi di tebing negara jiran di kawasan penempatan penduduknya lebih terserlah di beberapa lokasi.

''Selain longgokan batu biasa, kita juga menyediakan struktur batu dalam raga (gapion), di samping kepingan konkrit.

''Kita telah menyelesaikan 80 peratus proses penstabilan tebing di kawasan tumpuan melalui kaedah-kaedah itu," katanya. - Utusan

90 KIRMT ceburi akuakultur


SEBAHAGIAN daripada rumpai laut yang diternak di kawasan perairan Nala, Tungku, Lahad Datu.


LAHAD DATU 4 Jan. - Sebanyak 90 ketua isi rumah miskin tegar (KIRMT) terdiri daripada nelayan di beberapa buah kampung sekitar Tungku akan dibantu melibatkan diri dalam program penternakan ikan dalam kolam dan penanaman rumpai laut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Datuk Mohd. Suhali Said berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan pendapatan keluarga tersebut sekali gus mengeluarkan mereka daripada kemiskinan tegar.

Katanya, program di bawah projek Mini Estet Sejahtera kelolaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar itu akan diselia oleh Jabatan Perikanan dan Pejabat Daerah.

''Kebanyakan mereka akan mengusahakan ternakan tersebut di sekitar perairan Nala dan kawasan Pusat Akuakultur Negara Zon Bakapit seluas 14,569 hektar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan peralatan di bawah Projek Peningkatan Pendapatan Ekonomi Setempat Kampung Nala Tungku di sini semalam.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu, Mat Jaidin; Penolong Pegawai Daerah Tungku, Ibrahim Abdul Hakim; Pegawai Perikanan Lahad Datu, Talib Hassan dan Ketua Anak Negeri, Abdillah Hamzah.

Suhaili berkata, dengan pengwujudan Pusat Akuakultur Kebangsaan akan menjadikan Tungku hab kepada segala aktiviti akuakultur negara.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk setempat akan memanfaatkan kelebihan itu dalam meningkatkan status kehidupan masing-masing.

Mengenai bantuan yang disalurkan, Suhaili berkata, penerima digalakkan sentiasa merujuk kepada jabatan berkaitan bagi memastikan peralatan yang disalurkan dapat dimanfaat secara maksimum.

Beliau menjelaskan, daripada 90 peserta KIRMT, sebanyak 50 akan terbabit dalam projek penternakan ikan dalam kolam manakala baki 40 terlibat dalam projek penanaman rumpai laut.

Sementara itu Talib memberitahu, lebih 90 peratus rumpai laut dari Lahat Datu datang dari daerah Tungku.

Katanya, di peringkat negeri, Lahad Datu merupakan pengeluar rumpai laut kedua terbesar selepas daerah Semporna. - Utusan

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya