Projek di tapak LKIM tetap akan diteruskan - Noh

Monday, November 30, 2009


Noh Omar bertikam lidah dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu sewaktu berbincang dan menyelesaikan isu setinggan yang menduduki tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pasir Penambang di Kuala Selangor, semalam. - utusan/Mohd. Shaharani Saibi

KUALA SELANGOR 29 Nov. - Projek penempatan semula empat rumah setinggan di tapak pembangunan Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pasir Penambang di sini akan diteruskan mengikut rancangan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, di bawah projek pemindahan semula itu empat rumah setinggan dan sebuah tokong di kawasan berkenaan akan dipindahkan ke satu kawasan seluas satu ekar yang disediakan.

Katanya, di bawah program penempatan semula itu juga pihak pengurusan tokong berkenaan diberi pampasan bernilai RM15,000 manakala pemilik rumah setinggan yang terlibat diberikan hampir RM80,000.

"Jika kerajaan negeri tetap berkeras mahu projek penempatan semula ini dihentikan, saya sedia bawa perkara ini untuk diselesaikan oleh mahkamah," katanya selepas menghadiri sesi dialog bersama empat pemilik rumah setinggan itu, wakil pengurusan tokong berkenaan, serta para penduduk yang tinggal berhampiran projek berkenaan, dan majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu.

Baru-baru ini projek penempatan semula projek itu yang bermula 10 November lepas diarah berhenti oleh Majlis Daerah Kuala Selangor atas arahan Liu, dan ia menimbulkan kemarahan penduduk kawasan berkenaan.

Liu berkata, arahan itu dibuat kerana kerajaan negeri menawarkan satu jalan penyelesaian yang dirasakan lebih sesuai, dan jika ia tidak dipersetujui penduduk.

Perkara itu terpaksa dibawa ke mesyuarat exco kerajaan negeri supaya satu jalan penyelesaian baru dapat dicari. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya