PPK, MPPP diberi 6 bulan sedia data ahli

Friday, November 13, 2009

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) di seluruh negara diberi masa enam bulan untuk menyediakan data lengkap mengenai ahli-ahli mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, data itu penting bagi mengetahui bilangan ahli PPK dan MPPP.

"Kita hendak tahu berapa jumlah sebenar ahli PPK, berapa ramai yang telah berjaya dan yang paling penting siapa yang perlu diberi bantuan.

"Dengan adanya data ini, ia mudah bagi PPK untuk menyusun dan membangunkan petani sesuai dengan hasrat kerajaan untuk membantu menambahkan pendapatan mereka sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran pertanian negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan Pemimpin dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Noh berkata, tempoh yang diberikan kepada PPK dan MPPP itu merupakan Indeks Penunjuk Prestasi (KPI) kepada LPP bagi memastikan hasrat tersebut berjaya.

Untuk lebih berdaya saing, katanya, PPK perlu ditadbir sebagai sebuah syarikat yang bukan sahaja menjaga kebajikan ahli-ahlinya, tetapi mampu menjana pendapatan pertubuhan tersebut.

"PPK perlu tunjukkan kepada rakyat sekiranya mereka menjadi ahli pertubuhan itu, mereka akan dapat dividen yang tinggi, kalau tidak rakyat anggap tidak ada faedah mereka menyertainya," katanya.

Tambahnya, PPK juga akan dikembangkan sayap apabila kerajaan berusaha menyediakan PPK di kawasan bandar.

"Kerajaan akan menubuhkan PPK di kawasan bandar selaras dengan perkembangan industri asas tani di kawasan itu yang mana 11 buah di Wilayah Persekutuan, manakala 33 buah lagi di bandar-bandar lain di seluruh negara. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya