Najib minta petani tinggalkan pendekatan lama

Monday, November 2, 2009

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menggesa petani, penternak dan nelayan membuat pembaharuan dalam bidang pertanian yang diceburi bagi menjadikan mereka pengusaha tani yang berjaya.

Perdana Menteri berkata, mereka perlu meninggalkan pendekatan lama yang mungkin tidak sesuai pada masa ini jika ingin memperoleh pendapatan yang lumayan.

Dengan memberi contoh amalan lama orang Melayu yang menanam durian kampung melalui konsep "tanam, tinggal dan tuai", beliau berkata, pendekatan itu perlu diubah dengan mencari jenis durian yang mendapat pasaran tinggi.

"Kalau tanam durian jenis Musang King, tentu nilai besar kerana Fama akan beli. Fama ada kontrak dengan orang bandar yang nak buat jamuan durian dan tempah durian ini daripada mereka.

"Kalau orang kampung nak pendapatan lebih tinggi, kalau nak "tanam, tinggal dan tuai", tanamlah Musang King dan jangan tanam durian kampung kerana bila ada lambakan, durian (kampung) ini ada yang dijual RM1 sebiji," katanya ketika merasmikan Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Pengerusi Fama, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin.

Najib berkata, idea yang pro-aktif dan inovatif oleh Fama dalam memperkenalkan Karavan Pasar Tani atau pasar tani bergerak dapat memberi banyak faedah kepada petani serta pengguna.

Ia kerana konsep tersebut akan memudahkan pengguna untuk membeli terus produk pertanian yang berkualiti dan segar yang dibekalkan oleh petani, katanya.

Perdana Menteri berkata, jika petani ingin memperoleh pendapatan lumayan, mereka boleh menjual produk pertanian yang dilabelkan sebagai makanan istimewa atau "gourmet", yang mempunyai nilai yang tinggi.

"Ini menunjukkan bahawa bidang pertanian tidak semestinya menjanjikan pendapatan yang rendah sepanjang masa sebaliknya boleh memberi pendapatan yang tinggi," katanya.

Najib juga berkata, bidang pertanian akan terus mendapat perhatian dalam agenda pembangunan negara di bawah kepimpinannya kerana ia berkait rapat dengan perjuangan ayahandanya, Tun Abdul Razak ketika menjadi Perdana Menteri, yang memperjuangkan nasib golongan berkenaan.

Beliau berkata, dalam Bajet 2010 yang dibentangkannya baru-baru ini, kerajaan memperuntukkan RM6 bilion dalam bidang pertanian supaya sektor itu dapat memberikan masa depan yang lebih baik kepada golongan petani, penternak dan nelayan. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya