Malaysia termasuk dalam 10 destinasi pelancongan nilai terbaik

Wednesday, November 4, 2009

LONDON 3 Nov. - Malaysia muncul antara 10 destinasi pelancongan yang memiliki nilai terbaik dunia, menurut buku panduan firma pelancongan Lonely Planet hari ini.

Syarikat tersebut melalui buku panduan terbarunya, Pelancongan Terbaik 2010 menyatakan, negara ini merupakan pilihan bijak bagi para pelancong yang memilih percutian harga murah.

''Malaysia tersenarai kerana ia menawarkan pelbagai destinasi menarik pada harga yang amat berpatutan,'' menurut kenyataan buku tersebut.

Selain Malaysia, buku panduan pelancongan terkemuka itu turut menyenaraikan Iceland dan London sebagai destinasi nilai terbaik berikutan kejatuhan kadar mata wang ekoran krisis ekonomi.

Buku panduan pelancongan bergambar tahunan Lonely Planet itu juga menyatakan, kejatuhan ekonomi di Iceland bermakna pulau itu tidak lagi tergolong dalam kategori mahal, sekali gus meletakkan negara itu di tangga teratas destinasi nilai terbaik dunia.

''Adakah anda selalu impikan untuk menjelajah negara yang penuh keajaiban dan misteri ini? Ingin menerokai litupan air batu dan gunung berapi dan berendam di dalam mata air panas? Tidak dapat berbuat demikian kerana harga yang sangat tinggi? Anda bernasib baik, 2010 adalah tahun anda,'' ujar buku panduan berkenaan.

Menurut Lonely Planet, kedudukan London sebagai destinasi mahal juga sudah berakhir.

''Sekian lama menjadi satu destinasi pelancongan mahal dengan harga yang tidak munasabah, London kini muncul sebagai destinasi mampu untuk pelancong luar negara serta penduduk tempatan. Kadar pertukaran mata wang yang menggalakkan bermaksud pelancong hanya perlu membayar separuh harga bagi penginapan dan makanan berbanding yang dibayar beberapa tahun lalu.

Negara jiran, Thailand mengekalkan kedudukan sebagai destinasi yang sentiasa menawarkan nilai terbaik.

Menurut buku panduan itu: ''Ia merupakan salah satu percutian jangka panjang paling murah bagi rakyat Eropah yang bercuti... pelancong dapat menikmati percutian melalui pemilihan penginapan.''

Syarikat yang berpangkalan di Britain itu turut menyenaraikan Afrika Selatan, India, Mexico, Bulgaria, Kenya dan Las Vegas di Nevada,

''Afrika Selatan bukan sahaja destinasi dengan cuaca yang menakjubkan, pemandangan luas terbentang yang tidak terusik, pasir pantai yang nyaman, hidupan liar luar biasa dan aktiviti lasak, namun kos hidup di sana juga rendah, jadi ia amat bernilai untuk wang anda,'' ulas Lonely Planet.

Sepuluh negara lain yang disenarai sebagai pilihan para pelancong tahun depan adalah El Salvador, Jerman, Greece, Malaysia, Maghribi, Nepal, New Zealand, Portugal, Surinam dan Amerika Syarikat (AS).

Bandar-bandar yang menjadi pilihan pelancong pula meliputi Abu Dhabi (Emiriyah Arab Bersatu), Charleston (Carolina Selatan), Cork (Ireland), Cuenca (Ecuador), Istanbul (Turki), Kyoto (Jepun), Lecce (Itali), Sarajevo (Bosnia), Singapura dan Vancouver (Kanada).

Sepuluh lokasi atau daerah terbaik pelancongan yang disenaraikan Lonely Planet adalah Alsace, Perancis; Bali, Indonesia; Fernando de Noronha, Brazil; Goa, India; Koh Kong Conservation Corridor, Kemboja; Tasik Baikal, Rusia; Oaxaca, Mexico; Africa Selatan; The Lake District, England dan barat daya Australia Barat. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya