Malaysia lakar kejayaan dalam kewangan Islam: PM

Tuesday, November 3, 2009

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia melakar kejayaan penting dalam bidang kewangan Islam yang pada akhir suku kedua tahun ini, menyumbang hampir 19 peratus daripada jumlah aset perbankan.

Perdana Menteri berkata, sehingga akhir Ogos lalu, pasaran modal Islam turut mencecah RM803 bilion, mewakili 54 peratus daripada pemodalan pasaran Bursa Malaysia.

"Jumlah pembiayaan kini sebanyak RM115 bilion yang juga 15.5 peratus daripada portfolio kewangan dalam industri perbankan. Pembiayaan bersih tidak berbayar kekal rendah pada 2.4 peratus," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) Keenam di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia juga berusaha meningkatkan hubungannya dengan sektor kewangan Islam yang lain menerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

"Untuk tujuan itu, Malaysia sudah menjalin perjanjian menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai pihak untuk usaha sama dan pembabitan yang lebih baik dalam kewangan Islam untuk manfaat bersama," katanya.

Najib berkata Malaysia akan terus memimpin cara untuk meningkatkan capaian dalam kewangan Islam dan lebih banyak MoU akan dimeterai dengan pihak lain di seluruh dunia pada masa depan.

Katanya, kewangan Islam adalah elemen penting dan strategik dalam pemulihan ekonomi dunia daripada krisis kewangan yang telah menjejaskan kepercayaan terhadap institusi perbankan dan kewangan.

"Meskipun kewangan Islam terlepas daripada krisis yang berpunca daripada amalan pembiayaan dan inovasi kewangan yang tidak berhemat, kita tidak mampu duduk selesa," katanya.

Najib turut menggariskan bebrrapa pemacu utama bagi memastikan daya pulih kewangan Islam dalam menahan impak krisis semasa dan akan datang.

"Pertama, pastikan inovasi dalam kewangan Islam terus berasaskan pada Maqasid al Shariah (objektif Syariah) yang berperanan sebagai bahagian penting dalam paradigma perniagaan kewangan Islam dalam merealisasikan manfaat untuk rekyat.

"Selain itu, pastikan inovasi disokong oleh tadbir urus yang kukuh yang mendukung kebenaran institusi kewangan Islam," katanya.

Beliau berkata, sistem pengurusan risiko juga perlu bersesuaian untuk melindungi inovasi dalam kewangan Islam.

Katanya, infrastruktur sokongan dan menyeluruh seperti undang-undnag, kawal aturan dan kerangka kerja pemantauan perlu ada bagi menangani elemen unik pembangunan industri kewangan Islam.

"Ia perlu disokong oleh aturan institusi bagi menyelesaikan segera, berkesan dan berkos efektif bagi institusi kewangan yang bermasalah dan kerangka kewangan bersih dan selamat serta sistem insurans deposit," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya