5,329 usahawan PKS manfaat Skim Jaminan Pembiayaan

Thursday, November 19, 2009

Peruntukan RM7 bilion bantu peniaga habis digunakan

KUALA LUMPUR: Skim Jaminan Pembiayaan yang diperkenalkan kerajaan pada Mac lalu dengan peruntukan RM7 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas teruk akibat kegawatan ekonomi melanda dunia, mendapat sambutan menggalakkan daripada 5,329 usahawan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata peruntukan jaminan skim itu yang seharusnya berakhir bulan depan sudah habis digunakan dan memberi manfaat kepada 76 peratus usahawan bukan Bumiputera, manakala bakinya usahawan Bumiputera membabitkan sektor peruncitan, pemborongan, restoran, pembinaan dan pembuatan.

Beliau berkata, skim itu diuruskan bank perdagangan dengan Maybank mengeluarkan jaminan pinjaman terbesar RM1.4 bilion, diikuti AmBank (RM793 juta) dan SME Bank (RM181 juta).

"Skim ini berjaya meringankan beban ditanggung usahawan PKS dan saya harap semua PKS tidak terjejas teruk akibat masalah ekonomi melanda negara dan dunia.

"Program ini menyasarkan syarikat bersaiz sederhana yang mempunyai dana pemegang saham tidak melebihi RM20 juta yang memerlukan keperluan modal kerja perniagaan, bukan untuk pembiayaan semula atau pembiayaan semula kredit sedia ada dan perlu operasi dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (Pas-Hulu Langat), yang ingin tahu jumlah dana diperuntukkan bagi Skim Jaminan Modal Kerja yang diuruskan SME Bank, pihak yang menikmati faedah skim itu dan kaedah pembayaran balik.

Mengulas lanjut, Mustapa (BN-Jeli) berkata skim itu ialah skim jaminan automatik yang merangkumi pinjaman belum bayar tidak termasuk kadar faedah penalti.

"Hanya yuran jaminan 0.5 peratus atau RM500 (yang mana lebih tinggi dicaj secara tahunan dan 'upfront' berdasarkan jumlah pengeluaran), manakala tahun berikutnya yuran jaminan dicaj secara tahunan mengikut tarikh kemudahan pinjaman diluluskan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berhubung kurangnya usahawan Bumiputera mendapat pembiayaan skim berkenaan, Mustapa berkata, mereka menghadapi kesan teruk daripada kegawatan ekonomi berkenaan.

"Bila hadapi kesan teruk, mereka tidak dapat kembangkan perniagaan, mungkin tidak terdorong mendapat pinjaman. Ini adalah jaminan bukan pinjaman dan mereka pinjam dari institusi kewangan dan pihak berkenaan menjamin," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya