100 Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang 2012 - TPM

Friday, November 13, 2009

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI


Muhyiddin Yassin bertanyakan sesuatu kepada seorang warga emas Selamah Endut, 75, ketika melawat mangsa banjir Kampung Gunung yang ditempatkan sementara di Sekolah Kebangsaan Gunung, Alor Setar, semalam.


JITRA 12 Nov. - Kementerian Pelajaran menyasarkan untuk mewujudkan 100 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) menjelang 2012 menerusi pemilihan sekolah-sekolah terbaik yang menyerlah dalam semua aspek pendidikan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, status sekolah yang akan dianugerahkan SBT mesti mempunyai identiti tersendiri, unik dan mampu melahirkan pelajar cemerlang.

"Sekolah-sekolah ini mempunyai kekuatan dan tradisi budaya kerja cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta berdaya saing.

"Ia mampu melahirkan golongan lebih dinamik dalam usaha meneruskan kesinambungan pembangunan di negara ini," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup persidangan pertama serantau mengenai Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Sehubungan itu, kata Muhyiddin, dalam usaha meningkatkan prestasi dan inovasi pelajar, sekolah-sekolah tersebut akan mempunyai kuasa autonomi bagi menjalankan aktiviti kurikulum, pemilikan bajet dan pengurusan berasaskan sekolah.

Beliau seterusnya memberitahu, selaras dengan usaha mempromosikan budaya kerja yang tinggi, pihak kementerian akan memperkenalkan insentif kepada pengetua, guru besar dan guru-guru di SBT berasaskan penilaian berdasarkan prestasi.

"Sasaran terakhir adalah untuk menjadikan kecemerlangan SBT dalam pendidikan sebagai penanda supaya ia menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain," kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, bagi meningkatkan prestasi di sekolah-sekolah, prestasi di kalangan pihak pengurusan juga perlu dipertingkatkan.

Menurut beliau, guru besar dan pengetua mesti bersikap dinamik, bersemangat ketika menjalankan tugas, berdisiplin, mahir dalam mata pelajaran dan sentiasa mampu menghasilkan keputusan yang baik kepada sekolah masing-masing.

"Tanpa prestasi tinggi di kalangan pengetua atau guru besar, para pelajar tidak mampu menyerlah, pengurusan yang teruk dan kualiti sekolah merosot dan kita tidak boleh membenarkan ia berlaku di sekolah-sekolah," kata beliau. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya