Usahawan bumiputera akan terus dibangunkan

Friday, October 23, 2009

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberi jaminan bahawa pembangunan usahawan bumiputera akan diteruskan walaupun perkara itu tidak disentuh secara langsung dalam Bajet 2010.

Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir (gambar) berkata, sebagai kementerian yang mengambil alih tanggungjawab membangunkan usahawan bumiputera, pihaknya mempunyai pendekatan tertentu.

''Pendekatan ini bagi menggalakkan penglibatan bumiputera dalam keusahawanan di peringkat yang lebih tinggi selain meningkatkan kaedah lama,'' katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Gala Pelaburan dan Perniagaan Muslim Big 2010 anjuran OIC International Business Centre Sdn. Bhd. dengan ECommerce Gateway Pakistan Ltd. di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Muslim Big 2010, Datuk Dr. Raja Mohamad dan Pengerusi OIC International Business Centre, Tan Sri Elyas Omar.

Muslim Big 2010 yang buat kali pertama bakal berlangsung di Malaysia antara 4 hingga 6 Jun 2010 merupakan acara penting untuk komuniti peniagaan Islam global bertemu, berinteraksi dan menjalankan perniagaan.

Ditanya mengenai Bajet 2010, Mukhriz berkata, insentif bagi menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia merupakan antara inti pati bajet bagi mengekalkan persekitaran perniagaan negara.

''Saya tak boleh nak menyentuh secara khusus apa yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok, tetapi apa yang pasti kita perlu mengimbangi pelaburan luar negara dan pada masa yang sama memastikan bahawa industri keluaran produk dan perkhidmatan dalam negara kita membangun pesat sehingga ke peringkat global," katanya.

Beliau berkata, kebergantungan negara terhadap perdagangan meletakkan Malaysia pada keadaan yang agak mencemaskan kerana perdagangan dunia meleset.

Ujarnya, Malaysia perlu mencontohi Korea Selatan, Jepun dan Taiwan yang memberi perhatian terhadap industri tempatan dan tidak terlalu bergantung kepada perdagangan semata-mata. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya