RM31 juta untuk basmi kemiskinan tegar pada 2010: Noh

Saturday, October 17, 2009

TANJONG KARANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM31 juta bagi pelaksanaan program Industri Asas Tani (IAT) bagi membasmi kemiskinan tegar di seluruh negara pada 2010.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata menerusi program itu, peserta akan diberikan bantuan modal, peralatan dan benih selain ceramah motivasi untuk menyedarkan mereka bahawa kemiskinan bukan diwarisi.

"Peserta program IAT akan mampu meraih pendapatan melebihi RM1,000 sebulan yang akan dapat mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan tegar," katanya semasa melancarkan program IAT di Desa Kasih, Sungai Kajang di sini, hari ini.

Beliau berkata, program IAT terbuka kepada golongan miskin tegar tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik masing-masing.

"Jabatan Pertanian dengan kerjasama lembaga zakat dan agensi berkaitan di negeri-negeri akan mengenal pasti mereka yang layak dibantu di bawah program IAT," katanya.

Noh berkata, bagi tujuan membasmi kemiskinan, kementeriannya juga telah memilih 100 keluarga dari 30 kawasan Parlimen terpilih di seluruh negara pada tahun ini untuk dijadikan anak angkat oleh agensi-agensi di bawah kementerian itu bagi melaksanakan projek penternakan ayam, kambing, lembu dan ikan.

Menerusi program itu, Noh berkata kementerian mengubah pendekatan pelaksanaan program dengan mengagihkan haiwan yang sudah hampir matang bagi membolehkan peserta mendapat hasil dalam masa yang lebih cepat.

"Sebagai contoh lembu susu yang telah mengeluarkan susu bukannya pemberian anak lembu yang akan mengambil masa untuk peserta menikmati hasil," katanya.

Mengenai projek IAT di Desa Kasih, beliau berkata 11 peserta wanita akan diberi bimbingan dalam perusahaan memproses makanan seperti baulu, kek dan kerepek secara berkelompok dengan sebanyak RM80,000 diperuntukkan bagi penyediaan bengkel dan RM62,000 untuk membeli peralatan.

Katanya, sebanyak 11 kawasan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Selangor juga telah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek IAT. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya