RM2 bilion setahun untuk subsidi makanan

Monday, October 19, 2009

BERA 18 Okt. - Kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi memberi subsidi bahan makanan harian seperti gula, roti dan tepung gandum untuk mengurangkan bebanan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, subsidi berkenaan diberi tanpa mengira bangsa dan agama.

''Ia selari dengan gagasan 1Malaysia yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu rakyat didahulukan pencapaian diutamakan,'' katanya.

Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kawasan Bohor Baharu di Dewan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Paya Serai, Kuala Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi subsidi gula pula, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM720 juta setahun.

''Kita buat semua ini hanyalah untuk membantu rakyat dan mereka patut memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan kerajaan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

''Kita lihat sahaja negeri yang diperintah oleh pembangkang, banyak projek yang tidak disiapkan dan janji masa pilihan raya lalu tidak ditunaikan,'' katanya.

Selain itu katanya, pihak kerajaan juga mempunyai perancangan jangka panjang untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

''Di bawah konsep 1Malaysia, kita mahu rakyat didahulukan. Kalau kerajaan tidak menjalankan program seperti ini, negara kita akan menjadi seperti negara lain yang mundur dan masih banyak kemiskinan,'' katanya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan supaya tanah paya di kawasan Kuala Bera di sini dijadikan sawah padi.

''Saya lihat banyak kawasan paya terbiar yang boleh digunakan untuk tanaman padi.

''Saya akan berbincang dengan pihak Felcra mengenai cadangan ini,'' katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya