Mesin padi bantu tingkat hasil

Wednesday, October 21, 2009


PESAWAH menggunakan mesin penanam padi model Yanmar VP6X bagi menggantikan kaedah tabur terus dalam satu demonstrasi di Kampung Tanjung Raden Tanah Merah, Pendang, Kedah, baru-baru ini.

PENDANG 20 Okt. - Para pesawah disaran menggunakan mesin menanam padi bagi meningkatkan hasil keluaran di samping membantu mengurangkan kos penanaman padi.

Pengedar mesin menanam padi model Yanmar VP6X, Md. Rodzay Md. Zain berkata, para pesawah perlu berani berubah dan berani menggunakan peralatan berteknologi bagi memastikan hasil padi mereka meningkat.

"Mesin menanam padi model Yanmar ini telah digunakan di Jepun serta Thailand dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pesawah di sana.

"Kedah dipilih menjadi negeri pertama di negara ini oleh syarikat Yanmar dari Jepun untuk membuat demonstrasi dan penerangan kepada petani mengenai cara-cara penggunaan mesin ini," ujarnya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, mesin menanam padi ini mempunyai banyak kebaikan dan ia mampu mengurangkan kos penanaman padi oleh pesawah.

"Dengan menggunakan mesin ini, kos untuk meracun rumpai mampu berkurangan sehingga 30 peratus.

"Ini kerana, jika pesawah menggunakan kaedah menabur, rumput akan tumbuh dahulu berbanding anak padi namun dengan menggunakan mesin menanam padi, anak benih yang berusia tiga minggu akan disemai dan rumput tidak sempat untuk tumbuh," ujarnya.

Jelasnya, masalah serangan siput gondang emas juga dapat dikurangkan jika pesawah menggunakan mesin menanam padi tersebut.

Katanya, ini disebabkan, anak padi yang disemai telah berusia tiga minggu dan batangnya menjadi keras dan sukar diserang oleh siput gondang emas.

"Masalah 'padi angin' juga dapat dikurangkan kerana, pesawah hanya memilih anak padi yang benar-benar bermutu untuk disemai.

"Dengan menggunakan mesin ini juga, masa untuk menyemai padi dapat dijimatkan kerana dengan hanya menggunakan 20 liter petrol, mesin ini dapat menyemai anak pokok padi sehingga dua hektar," tambahnya.

Jelasnya, dengan menggunakan kaedah menabur benih padi, dalam satu hektar, pesawah hanya mampu mendapat hasil sebanyak tiga tan sahaja.

"Namun jika mereka menyemai padi dengan menggunakan mesin menanam padi ini, hasil yang diperoleh akan meningkat sehingga enam hingga tujuh tan bagi satu hektar," katanya.

Md. Rodzy memberitahu, mesin berharga RM49,000 ini juga mampu dimiliki oleh pesawah di negara ini.

"Saya syorkan kepada pesawah di negara ini supaya beralih menggunakan mesin menanam padi ini untuk menambah hasil padi mereka," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya