Mangsa kebakaran dapat rumah PPR

Thursday, October 22, 2009


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) menyampaikan bantuan kepada Lim Saw Hua semasa melawat mangsa kebakaran di Jalan Klang Lama, kelmarin.

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Sembilan keluarga mangsa kebakaran di Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama di sini ditawarkan untuk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah yang terletak berhampiran dengan rumah mereka yang terbakar.

Tawaran tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin semasa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa terbabit di sini semalam.

"Kami memahami keperluan mangsa ini. Oleh itu, pihak kementerian telah berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memberikan mereka sebuah rumah bagi setiap keluarga di PPR Muhibbah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan itu.

Sumbangan adalah dalam bentuk wang tunai sebanyak RM800 bersama-sama barangan keperluan lain yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Raja Nong Chik berkata, beliau diberitahu bahawa kejadian itu berlaku sekitar pukul 7.15 petang 18 Oktober lalu ketika kaum India sedang merayakan Deepavali.

"Kejadian itu telah menyebabkan semua sembilan buah rumah penduduk hangus terbakar termasuk harta-benda di dalam rumah masing-masing.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kebakaran tersebut.

Sehingga kini, mangsa kebakaran masih belum mengetahui punca sebenar kejadian tersebut.

Raja Nong Chik berkata, bagi meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat, DBKL tidak akan mengenakan bayaran sewa rumah selama tiga bulan pertama kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

"Saya berharap, walaupun sumbangan ini tidak sama nilainya dengan kerugian yang ditanggung, tetapi sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka yang terlibat.

"Malah, DBKL juga telah bersetuju untuk menyediakan kenderaan kepada mangsa bagi memudahkan mereka berpindah ke rumah PPR itu nanti," katanya lagi.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang ditemui, M. Theresa, 39, berkata, ketika kebakaran berlaku, dia sekeluarga sedang menuju ke sebuah restoran yang berhampiran untuk makan malam.

"Kemudian, ada jiran yang memaklumkan kepada kami mengenai kejadian tersebut.

"Malangnya kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat sehingga memusnahkan rumah kami dan jiran-jiran yang lain," katanya.

Tambah ibu kepada tiga orang anak ini, semua dokumen pengenalan diri, pakaian serta keperluan sekolah anaknya turut musnah dalam kejadian tersebut.

Seorang lagi mangsa, Lim Saw Hua, 66, mendakwa kerugian yang dialaminya akibat kebakaran itu melebihi RM20,000.

"Saya berniaga menjual pakaian di pasar malam. Di dalam rumah saya ketika itu, ada barang jualan yang bernilai RM20,000 dan ia hangus terbakar selain harta benda lain.

"Terima kasih kepada semua pihak yang sudi menolong kami semua khususnya kepada menteri dan DBKL yang prihatin akan kesukaran yang kami alami," katanya lagi. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya