Kupon beras: Kemas kini senarai penerima

Monday, October 19, 2009

PETALING JAYA 18 Okt. - Ahli Jawatankuasa Majlis Pembangunan Pertanian (MPP) di seluruh negara diarahkan mengemas kini senarai penerima subsidi kupon beras sebelum November ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, MPP perlu mengadakan mesyuarat pada waktu terdekat untuk memastikan nama yang ada sudah cukup lengkap atau perlu ditambah dalam senarai penerima subsidi tersebut.

"Saya mengarahkan MPP di seluruh negara mengenal pasti golongan miskin dan miskin tegar di kawasan Parlimen masing-masing sebelum direkodkan sebagai penerima subsidi tersebut.

"Mereka juga perlu memastikan senarai penerima itu terdiri daripada semua lapisan masyarakat yang layak untuk diberikan subsidi beras secara terus melalui penggunaan sistem kupon," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Petaling Jaya di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM20,000 kepada Badan Program Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Taman Medan di sini.

Mulai 1 Disember ini, kerajaan akan memberikan subsidi beras secara terus kepada golongan berpendapatan rendah melalui penggunaan sistem kupon.

Pemberian kupon khas itu adalah menggantikan sistem pemberian subsidi beras kepada pengilang dan pemborong beras yang bernilai RM60 juta sebulan.

Menerusi program subsidi itu, kira-kira 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 sebulan di luar bandar akan menerima kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan.

Sementara itu, lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan di bandar dan RM1,000 sebulan di luar bandar akan menerima tiga kupon subsidi bernilai RM10 setiap satu enam bulan sekali.

Turut menerima beras percuma dan subsidi beras ialah kira-kira 15,000 keluarga Orang Asli di seluruh negara.

Menurut Noh, ahli MPP dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta mengenal pasti golongan sasar itu supaya tidak ada yang tercicir.

"Apabila kita mempunyai senarai yang lengkap, kita boleh menguatkuasakan sistem kupon itu secara berkesan," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya