Kumpulan Rakan Siswa Malaysia ditubuh

Wednesday, October 21, 2009


RAIS Yatim meyarungkan keris kecil sebagai simbolik semasa merasmikan Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma) sambil diperhatikan oleh isterinya, Datin Seri Maznah Rais, Fuad Hasan (kanan) dan Prof. Hamzah Abd. Rahman di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 20 Okt. _ Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini melancarkan Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma) yang bermatlamat untuk memupuk semangat cintakan negara di kalangan mahasiswa di negara ini.

Katanya, Karisma akan melaksanakan beberapa program melibatkan beberapa peringkat dengan fasa pertama membabitkan 700 pelajar di enam buah universiti.

Antara universiti yang terbabit ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Islam Antarabangsa (IIC) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

''Dengan penubuhan Karisma ia dapat memberi latihan dan pendedahan kepada pelajar universiti untuk mencapai visi dan hasrat kerajaan bagi melahirkan pemimpin pelajar yang berkaliber.

''Kita menyasarkan jumlah ahli Karisma akan mencapai kira-kira 1,000 ahli menjelang 2009,'' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Karisma di Universiti Malaya di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Tan Sri Hassan dan Pemangku Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Hamzah Abd Rahman.

Karisma ditubuhkan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang bermatlamat untuk mengukuhkan semangat cintakan negara di kalangan pelajar-pelajar universiti.

Ia berperanan sebagai sebuah badan penggerak bagi melatih pelajar universiti melalui aktiviti dan program yang berteraskan pembangunan dan cintakan negara.

Rais memberitahu, Karisma akan diperluaskan ke universiti lain dan ia bergantung pada tahap pencapaian badan penggerak itu.

''Program ini membuktikan kerajaan amat prihatin dan tidak lupa tanggungjawab sosial mereka terhadap generasi pemimpin di universiti,'' katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya