Kuala Tahan pengeluar nangka madu

Wednesday, October 21, 2009

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 20 Okt. - Kuala Tahan dekat sini bakal menjadi pengeluar nangka madu utama di Pahang apabila tanah terbiar seluas 50 hektar di tiga kampung di kawasan itu dimajukan dengan tanaman tersebut.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pahang Tengah, Zaharudin Said berkata, projek tanaman itu akan dilaksanakan oleh PPK Tembeling menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, nangka madu yang bakal diusahakan iaitu daripada klon CJ-USM 2000 (Mastura), CJ3 dan CJ6 ditanam di tanah milik ahli PPK di Kampung Gol, Kampung Padang dan Kampung Lubuk Payung.

''Projek ini menjadi pemangkin kepada pengeluaran makanan komersial di Tembeling dan akan merancakkan sektor pelancongan berasaskan pertanian di Taman Negara," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dividen kepada ahli PPK Tembeling di Kuala Tahan semalam.

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan tempoh selama dua tahun untuk mengutip hasil memandangkan tanah terbiar itu amat sesuai dengan tanaman nangka madu.

Tanaman nangka madu, katanya, berpotensi dimajukan berikutan permintaan yang semakin meningkat.

Jelas beliau, projek berkenaan akan diusahakan sendiri oleh petani manakala PPK Tembeling dengan bantuan kepakaran luar akan memberi bimbingan dari segi pengurusan dan pasaran.

Zaharudin berkata, peserta projek itu juga akan mengadakan perjanjian perladangan kontrak dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk tujuan pasaran.

''Kita juga membenarkan petani memasarkan sendiri nangka madu di kawasan berdekatan Taman Negara untuk memperkenalkan buah ini kepada pelancong yang singgah di sini," katanya.

Tambah beliau, tanaman nangka madu dilihat mampu meningkatkan pendapatan petani selagi mereka bersungguh-sungguh mengusahakannya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah PPK Tembeling, Shahril Daud berkata, projek nangka madu itu dilihat mampu melahirkan lebih ramai usahawan tani di kawasan Tembeling.

''Projek nangka madu merupakan percubaan awal melahirkan usahawan tani terutama di kalangan belia di sini," katanya.

Beliau menambah, penggunaan tanah terbiar secara optimum di samping perubahan sikap petani untuk meneroka pertanian komersial itu dapat mengubah taraf hidup mereka sekali gus menjadikan Tembeling sebagai kawasan pertumbuhan baru berasaskan pertanian dan pelancongan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya