Kenal pasti setinggan perlu rumah

Sunday, November 1, 2009

Oleh ANI AWANG


ZAMBRY Abd. Kadir (empat dari kiri) dan Mustapha Kamal Abu Bakar (tiga dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian daripada penerima Sijil Perakuan Layak Menduduki di Ipoh, semalam.


IPOH 31 Okt. – Kerajaan negeri mengarahkan Bahagian Perumahan dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengenal pasti penduduk kawasan setinggan yang memerlukan rumah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan kerajaan negeri membina segera rumah bagi keperluan golongan tersebut.

Katanya, langkah itu menjadi sebahagian dasar kerajaan untuk menangani setinggan sifar di negeri ini.

“Bajet 2010 yang saya umumkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu lalu, berteraskan pembangunan iaitu memastikan perumahan rakyat menjadikan keutamaan kepada kerajaan negeri.

“Saya tidak mahu golongan miskin tegar ini tidak memiliki rumah. Mereka juga perlu memiliki kediaman dan hidup dalam keadaan yang selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sijil Perakuan Layak Menduduki (CF) kepada 73 pemilik rumah di Taman Klebang Putra di Chemor dekat sini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Projek yang dimajukan di taman itu adalah pembangunan bercampur membabitkan kawasan seluas 96 hektar dengan pelaburan berjumlah RM300 juta.

Setakat ini, sebanyak 1,325 unit rumah telah dijual.

Zambry seterusnya berkata, Perak kini mempunyai kira-kira 3,000 keluarga miskin tegar.

“Kajian akan dibuat bagi memastikan jumlah sebenar golongan itu bagi membolehkan kerajaan mendaftarkan mereka melalui e-Kasih untuk memudahkan mereka dibantu,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama semua wakil rakyat untuk membantu mendaftar golongan miskin di kawasan masing-masing bagi memastikan jumlah sebenar golongan tersebut di negeri itu. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya