ExxonMobil belanja lebih RM6 juta bantu golongan susah

Thursday, October 22, 2009


Fatimah Merican dan Chong Chee Seong ketika Wawancara Khas Bersama Utusan Malaysia di Menara ExxonMobil, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Okt. - ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (ExxonMobil) membelanjakan lebih RM6 juta bagi menganjurkan ratusan projek kemasyarakatan dikenali Projek Komuniti untuk membantu golongan susah di negara ini.

Pengarah Eksekutif Urusan Perniagaannya, Fatimah Merican berkata, peruntukan itu dikeluarkan ExxonMobil sejak 15 tahun lalu bagi menampung keperluan pelbagai projek amalnya termasuk bantuan kepada anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

''Kami mula menganjurkan projek amal secara besar-besaran setiap tahun bermula 1994 bagi mendapatkan dana membantu rumah-rumah kebajikan yang dihuni golongan susah.

''Idea memulakannya tercetus sempena sambutan 100 tahun ExxonMobil di Malaysia yang mana pengurusan syarikat terfikir bagaimana membolehkan setiap kakitangan syarikat kami menyertai kerja amal,'' katanya.

Beliau berkata demikian sempena Wawancara Khas Bersama Utusan Malaysia di Menara ExxonMobil di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Projek Komuniti ExxonMobil 2009, Chong Chee Seong.

Fatimah berkata, projek ini memberi peluang kepada kakitangan syarikat menyumbang idea dan tenaga untuk menjalankan tanggungjawab sosial membantu golongan yang kurang bernasib baik.

''Ada kakitangan yang dilihat ingin membantu golongan susah tetapi tidak tahu bagaimana menyumbang. Jadi dengan projek begini, kakitangan dan keluarga dapat mencapai impian ini.

''Malah selepas menjalankannya setiap tahun, ia dilihat menimbulkan kesedaran tinggi di kalangan kakitangan untuk membantu individu memerlukan apabila mereka menyumbang bantuan secara peribadi kepada pihak berkenaan,'' katanya.

Pada masa sama, katanya, bagi memberi pembaharuan dan perbezaan, syarikat akan melantik individu berlainan sebagai pengerusi projek itu setiap tahun.

Menurut Fatimah, apa yang membanggakan syarikat, semua kakitangannya sentiasa komited menyertai setiap projek yang dianjurkan tanpa paksaan dan berkorban masa dan tenaga memastikannya berjalan lancar.

''Secara ikhlas, kami menganjurkan projek ini hanya untuk membantu golongan susah dan mendidik kakitangan untuk sentiasa bantu-membantu, bukannya untuk mendapat nama atau penghargaan.

''Lebih membanggakan, ada syarikat korporat lain mengikuti langkah kami dan kami berharap lebih banyak syarikat menyertainya kerana ini akan meningkatkan taraf hidup golongan susah di Malaysia,'' tambahnya.

Sementara itu, Chee Seong berkata, sepanjang projek itu, pelbagai acara sama ada yang dibuka hanya kepada kakitangan atau orang ramai akan dianjurkan bagi mengumpul dana.

Jelasnya, bagi tahun ini misalnya, pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk cucian kereta amal, jualan teh tarik yang dibancuh pengurusan tertinggi syarikat, larian amal, jualan kraftangan dan cenderahati. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya